Tuesday, November 11, 2008

SEMANGAT YANG PATUT KITA CONTOHI..

Harapan 'mangkuk beras Asia'


Selepas hampir setengah tahun dilanda siklon Nargis, penduduk Delta Irrawaddy sudah tidak sabar ingin kembali bertani di sawah.


--------------------------------------------------------------------------------

SELEPAS enam bulan siklon Nargis menghentam negara Myanmar dan membunuh lebih 130,000 rakyat negara itu, penduduk Delta Irrawaddy yang tinggal di kawasan paling teruk diserang, masih mengharapkan bantuan untuk terus hidup.

"Kami mendapat beras dan kacang daripada badan kebajikan Care Myanmar, air minuman dari langit dan ikan dari anak sungai ini," kata Maung Oo, lelaki berkulit gelap yang memandang lopak banjir yang mengalir di bawah pondok sementaranya yang diperbuat daripada buluh dan tarpaulin.

Di sekitar perkampungan itu, kira-kira 40 kilometer ke selatan Yangon, sawah yang masih ditenggelami air dan tidak disemai menimbulkan keraguan kenyataan Pertubuhan Makanan dan Pertanian di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyebut bahawa 97 peratus kawasan yang diserang taufan di delta tersebut yang dahulunya dikenali sebagai 'mangkuk beras Asia' boleh diusahakan lagi.

"Kami tidak sabar untuk bertani semula kerana kami tidak suka hidup dengan hanya bergantung pada kebajikan. Ini bukan bermakna kami tidak bersyukur.

"Apa yang sebenarnya ialah kami tidak mahu bergantung kepada orang lain. Tetapi secara ikhlas, saya katakan bahawa ia hanya angan-angan kosong pada ketika ini kerana situasi tidak membenarkan kami berdikari lagi," kata Maung Oo.

"Mungkin mengambil masa empat minggu lagi, sebelum saya boleh mula bercucuk tanam semula," tambahnya.

Musim monsun yang teruk melanda delta tersebut dalam masa empat bulan lalu juga telah menggelisahkan penduduk kampung.

Setiap ribut yang berlaku mewujudkan ketakutan berulangnya serangan siklon seperti yang berlaku pada 2 Mei lalu yang telah mengakibatkan paras air meningkat setinggi empat meter.

"Kami berasa amat takut apabila keadaan berangin. Kini, kami sentiasa mendengar radio untuk mengetahui bahaya yang mungkin datang," kata isteri Maung Oo, Ma Nu, sambil memegang set wayarles asas yang berkuasa bateri.


MANGSA Nargis kini telah mula menjalani kehidupan normal di kediaman mereka.

--------------------------------------------------------------------------------

Seorang lagi petani, Bo Sein, 70, mengadu bahawa benih padi yang diberikan untuk penanaman semula merupakan campuran pelbagai jenis yang matang pada masa berbeza, menjadikannya sukar untuk dituai.

"Mungkin kerana ia datang daripada sumber berbeza. Tetapi hasilnya, sementara sesetengah pokok sudah bersedia untuk dituai, ada yang belum," katanya.

Sejak peristiwa Nargis yang memberi kesan kepada 2.4 juta penduduk, hampir satu juta orang telah menerima bantuan makanan, sekolah telah dibuka semula, haiwan ternakan diganti dan perlindungan kecemasan telah diberikan kepada lebih 1.7 juta penduduk, kata kumpulan koordinasi utama itu.

Tripartite Core Group, yang melibatkan PBB, Myanmar dan jiran-jiran serantaunya, berkata, terdapat keperluan berterusan bantuan dan sokongan jangka masa panjang. Tetapi hanya 53 peratus daripada rayuan bantuan sebanyak RM1.7 bilion yang berjaya dikumpul.

"Terdapat kawasan-kawasan terpencil yang tidak dicapai sepenuhnya. Kehidupan yang terselamat amat mudah terjejas, terutama bagi mendapatkan air yang bersih, perlindungan yang mencukupi dan memulihkan punca pencarian," kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.

Di kawasan yang dilanda siklon, beberapa rumah baru yang ditaja oleh penderma persendirian di bawah naungan pemerintahan tentera junta telah dibina daripada kemusnahan itu.

Meskipun demikian, dalam sesetengah kes, ia telah diberikan kepada mereka yang mempunyai hubungan terbaik, dan bukannya mereka yang amat memerlukannya.

"Bukan semua penduduk serba kekurangan yang mendapat rumah-rumah itu dan tidak semua yang memperolehnya adalah golongan susah," kata seorang penduduk Latkhitegon, perkampungan selatan Yangon yang telah menerima 10 buah rumah kayu baru.

"Mereka mendapat rumah itu kerana mereka terdiri daripada golongan VIP," kata lelaki yang enggan dikenali kerana takut dikenakan tindakan akibat kenyataannya.


KEKANGAN kewangan dan sumber makanan menyebabkan masih ramai yang mendiami kem bantuan PBB.

--------------------------------------------------------------------------------

Thayet Thonebin, sebuah perkampungan di selatan Yangon di mana separuh daripada 340 penduduknya telah terbunuh akibat Nargis, berada dalam keadaan yang lebih baik apabila menerima 32 buah rumah baru sumbangan Kementerian Tenaga dan syarikat petroleum Malaysia, Petronas.

Sungguhpun demikian, mereka yang terselamat masih dihantui perasaan malu kerana terpaksa bergantung pada sumbangan kerana kekurangan kerja dan prospek.

"Kami berasa sangat malu kerana terpaksa hidup dengan kebajikan sepanjang masa. Kini, kami terpaksa bergantung kepada mereka untuk bekalan beras pula.

"Orang seperti saya, paling teruk menerima kesan. Siklon itu telah melumpuhkan ekonomi di seluruh negara dan kerja yang ada amat sedikit untuk kami," kata Maung Tun, seorang buruh. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...