Monday, December 1, 2008

Penumpang terkandas cari alternatif untuk keluar dari Thailand

Ahad November 30, 2008

BANGKOK: Satu-satunya lapangan terbang yang beroperasi sesak teruk manakala tiket kereta api ke Malaysia sehingga 10 Dis pula habis pula, warga asing yang terkandas mula hilang sabar dan dompet juga semakin menipis ketika mereka mencari apa jua jenis pengangkutan untuk pulang ke tanah air.


Terdapat hanya 48 penerbangan yang dijadual pada Ahad di Lapangan Terbang Utapao dekat Pattaya, meningkat daripada 18 penerbangan pada Sabtu, namun jauh berbeza berbanding 400 penerbangan harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi yang ditutup oleh beribu-ribu penunjuk perasaan bersekali dengan Lapangan Terbang Don Muang yang mengelolakan laluan domestik.


Malaysia Airlines (MAs) menjadualkan tiga penerbangan hari ini. Satu daripada penerbangan MAS semalam terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur ekoran kesesakan di Utapao.


Kedutaan Malaysia di Bangkok menguruskan perjalanan dengan bas bagi penumpang yang terjejas yang mahu pulang ke tanah air menerusi Hatyai.


Bas kedua berlepas dari Bangkok hari ini manakala bahagian konsular dibuka pada Ahad bagi mengendalikan beratus-ratus warga asing yang ingin melakukan perjalanan ke Malaysia sebelum menaiki penerbangan sambungan di sana.


Kekurangan tempat duduk menjadi masalah utama syarikat penerbangan dan lebih 100,000 penumpang terkandas, yang boleh meningkat sehingga lebih 300,000 orang dalam beberapa hari akan datang jika penutupan lapangan terbang itu berterusan.


V. Pathmanaathan, yang datang ke sini bersama isterinya, ibu mertua dan tiga anak, berang dengan syarikat Go Insure yang enggan melayani permintaannya untuk mendapatkan bayaran balik kerana kelewatan penerbangan dan bil hotelnya.


"Saya mengambil insurans itu bersama tiket AirAsia supaya saya mendapat satu bentuk perlindungan dalam keadaan seperti ini.


Sebaliknya bukan membantu, mereka pula meminta saya menggunakan hotel yang disediakan oleh kerajaan Thai untuk penumpang yang terkandas," kata pengurus pembangunan perniagaan Nivas Marketing (M) Sdn Bhd.


Pathamanaathan, yang datang ke Novotel Bangna Hotel tempat Thai AirAsia mewujudkan kemudahan daftar masuk sebelum penumpang dibawa dengan bas ke Utapao, berkata mereka masih belum mendapat tempat duduk dalam penerbangan penyelamat syarikat penerbangan itu.


AirAsia mengadakan penerbangan penyelamatnya yang ketiga hari ini, membawa pulang 180 penumpang manakala 72 orang lagi berada dalam senarai menunggu.


Beberapa penumpang pula kecewa kerana mereka tidak dapat menghubungi talian hotline syarikat penerbangan itu.


"Saya hampir kehabisan wang dan saya masih tidak tahu bilakah ada penerbangan untuk saya memandangkan hotline tidak dapat dihubungi.


Kakitangan AsiaAsia di sini berkata mereka akan menghubungi saya sebaik sahaja ada tempat duduk... buat masa ini saya tidak tahu nak buat apa kerana duit hampir habis," kata Jill Lum, yang datang ke sini dari Kuala Lumpur pda 25 Nov untuk menghadiri persidangan Yoga. Seorang lagi penumpang, yang hanya ingin dikenali sebagai Lim, berkata beliau pergi ke stesen kereta api untuk membeli tiket ke Pulau Pinang tetapi diberitahu bahawa semua tiket habis dijual sehingga 10 Dis.


Maimunah Gholam, yang datang bersama keluarga untuk melawat saudaranya di sini, berkata penerbangannya ke Johor Baharu dibatalkan dan mereka masih tidak memperoleh tempat duduk dalam penerbangan penyelamat.


"Tidak ada sesiapapun yang menghubungi kami dan agak memenatkan untuk menghubungi talian hotline kerana talian itu sentiasa sibuk," katanya.


Seorang jurutera dari Pulau Pinang, K. Puveantheran berkata namanya hilang daripada manual penumpang yang disahkah bagi penerbangan AirAsia hari ini meskipun mendapat pengesahan semalam, dan memutuskan untuk menginap di hotel yang sama bagi memastikan beliau mendapat tempat dalam penerbangan seterusnya.


Sungguhpun penerbangan keluar boleh dikira, ramai yang membuat urusan alternatif untuk keluar dari negara ini, termasuk menyewa bas, kereta dan van bagi melakukan perjalanan ke sempadan Thai-Malaysia.


"Syarikat saya hanya menyewa bas bagi menghantar lebih 130 kakitangan yang datang dari pelbagai negara untuk menghadiri mesyuarat di sini. Kuala Lumpur dan Pulau Pinang adalah pilihan yang paling dekat bagi setiap orang sekarang," kata seorang eksekutif sebuah syarikat gas. Malah jet peribadi turut dicari oleh warga asing yang berada, dengan kebanyakan mereka melakukan penerbangan ke Kuala Lumpur dan Singapura. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/30/mstar_berita/20081130165333&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...