Monday, December 1, 2008

Pekan Rantau Panjang lumpuh

Oleh Isma Ismail dan Ismail Muhamad
am@hmetro.com.my



RANTAU PANJANG: Pekan Rantau Panjang lumpuh apabila dinaiki air kira-kira 0.5 meter sejak pagi semalam berikutan limpahan air Sungai Golok.

Kebanyakan kedai di pekan berkenaan dimasuki air menyebabkan kebanyakan peniaga menutup perniagaan mereka bagi mengemas dan menyelamatkan barangan perniagaan.

Selain itu, jalan masuk ke pekan berkenaan berhampiran Kompleks Kastam dan Kuarantin (KIK), Rantau Panjang mula ditutup kepada semua kenderaan ringan bermula tengah hari semalam.

Tinjauan Harian Metro di kawasan berkenaan turut mendapati beberapa bas pelancong dan kenderaan yang dipercayai mahu ke pekan berkenaan untuk membeli-belah terpaksa berpatah balik selepas jalan berkenaan ditutup.


Paras air di Rantau Panjang, Sungai Golok dan Tambatan Diraja, di sini, semalam menunjukkan peningkatan kesan daripada pengaliran air dari kawasan hulu Kelantan.


Berdasarkan bacaan paras air di Rantau Panjang sehingga jam 6 petang semalam mencatatkan 10.32 meter dan melepasi paras bahaya yang ditetapkan iaitu sembilan meter.

Begitu juga bacaan air di Tambatan Diraja menunjukkan peningkatan iaitu 4.39 meter dan sudah melepasi paras barjaga-jaga iaitu tiga meter.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara negeri Kelantan, Deputi Superitendan Mohd Nasir Ismail, berkata peningkatan paras air di Rantau Panjang dan Tambatan Diraja itu kerana keadaan air di Hulu Kelantan seperti Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli mula menunjukkan penurunan, semalam.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan paras air di Rantau Panjang dan Tambatan Diraja meningkat sejak pagi semalam.

Menurutnya, sehingga jam 3 petang semalam, seramai 1,483 mangsa banjir masih lagi ditempatkan di 27 pusat pemindahan banjir di kawasan Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Katanya, daripada jumlah 1,483 mangsa banjir dan seramai 604 daripadanya ditempatkan di Kuala Krai, 450 orang di Jeli, 350 orang di Tanah Merah manakala 77 orang di Pasir Mas.

“Mereka ditempatkan di 27 pusat pemindahan banjir di empat kawasan terbabit dengan sembilan di Jeli, lapan di Tanah Merah, tujuh di Kuala Krai dan tiga di Pasir Mas.

“Penempatan mangsa banjir dilakukan di pusat pemindahan yang ditetapkan di kawasan terbabit,” katanya di Bilik Gerakan Banjir Negeri di Kota Darulnaim, semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081201091119/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...