Monday, December 1, 2008

‘Susuk emas’ kimia beracun

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


BAHAYA...seorang pegawai penguat kuasa Farmasi merampas
botol kosmetik berisi kimia terlarang.



KUALA LUMPUR: Hanya dengan memperalatkan rasa ghairah untuk kekal jelita di kalangan wanita, terdapat segelintir syarikat kosmetik dikesan menipu mangsa termasuk di kalangan kenamaan dan artis dengan menawarkan rawatan botol ‘susuk emas’ menggunakan sejenis kimia beracun yang diimport dari luar negara.

Hasil risikan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, syarikat terbabit yang menyedari kimia beracun hidrokuinon diharamkan Kementerian Kesihatan mula mencari jalan menggunakan bahan kimia lain yang dicampurkan ke dalam produk kosmetik.

Difahamkan kimia berkenaan yang diibaratkan sama seperti susuk emas menjadi buruan wanita ‘atasan’ yang sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit setahun semata-mata untuk menjalani rawatan terbabit.

Sumber Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM berkata, kewujudan produk berasaskan kimia berbahaya ini mula disedari selepas pihaknya mendapat maklumat daripada beberapa mangsa yang menerima kesan negatif daripada kimia terbabit.

“Siasatan mendapati, kimia terbaru yang digunakan di dalam produk kosmetik terbabit dikenali sebagai asid azelaic yang disalah guna sebagai pemutih kulit bagi menggantikan hidrokuinon.

“Asid azelic asalnya sejenis racun yang digunakan untuk merawat penyakit kulit serius atau jerawat batu dikenali sebagai acne vulgaris,” katanya.

Menurutnya, racun azelic ini biasanya perlu mendapatkan rawatan doktor bertauliah sebelum boleh digunakan.

“Oleh kerana itu ia tidak boleh didaftarkan sebagai produk kosmetik dan penggunaan kimia ini hanya dibenarkan di bawah pengawasan doktor pakar.

“Biasanya, ramai pelanggan yang tidak berdosa menjadi mangsa berikutan kimia yang digunakan ini menyebabkan kulit wajah rosak selain menyebabkan faktor terjadinya penyakit barah dalam tempoh jangka panjang,”
katanya.

Menurutnya, kegiatan itu dibongkar selepas lima pegawai penguat kuasa farmasi dari Ibu Pejabat Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM menjalankan operasi ke atas beberapa premis pengedar produk kecantikan terbabit di sekitar Subang Jaya, Cheras dan ibu kota.

“Semua premis dan salun kecantikan terbabit diperiksa selepas maklumat mendapati ia dijadikan tempat untuk merawat dan menjual produk kimia berkenaan.

“Hasil pemeriksaan itu, sejumlah botol kecil berisi dua jenis produk kosmetik beracun dirampas dengan nilai pasaran dianggarkan lebih RM20,000,”
katanya.

Menurutnya, pegawai penguat kuasa Farmasi yang menjalankan pemeriksaan agak terkejut apabila diberitahu sebotol produk kosmetik terbabit dijual secara borong pada harga RM600.

“Namun pemilik salun yang mendapatkan bekalan kosmetik beracun ini akan menaikkan harga dengan mengenakan caj RM1,000 bagi setiap botol produk terbabit termasuk kos rawatan.

“Bagi menarik perhatian pelanggan, pengedar kosmetik beracun terbabit turut menjual kimia terbabit dalam peket kecil yang diedarkan sebagai pek percubaan pada harga RM88 sepeket,”
katanya.

Menurutnya, pada masa sama kimia berkenaan yang mudah meresap ke dalam kulit turut bertindak balas dengan darah dan mendatangkan mudarat kepada kesihatan terutama wanita berusia.

Menurutnya, sekiranya produk kosmetik ini digunakan tanpa nasihat doktor, ia boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti kulit menjadi kemerah-merahan, melecet, kebas dan rasa terbakar.

“Bagi sesetengah kes, ia membabitkan kesesakan pernafasan haya terutama kepada pesakit asma,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081201093427/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...