Monday, December 1, 2008

U-Tapao jadi jalan keluar pelancong


DUA buah bas membawa pelancong asing bergerak menuju ke pesawat di Lapangan Terbang Tentera Laut U-Tapao, 190 kilometer ke tenggara Bangkok kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------

BANGKOK - Sejak Jumaat lalu, Lapangan Terbang Pangkalan Tentera Laut U-Tapao yang terletak kira-kira 190 kilometer ke tenggara Bangkok merupakan satu-satunya jalan keluar paling dekat kepada para pelancong untuk meninggalkan Thailand.

Pangkalan peninggalan era perang Vietnam itu menjadi tumpuan beribu-ribu warga asing yang mahu meninggalkan Thailand susulan dua lapangan terbang utama di Bangkok dikepung oleh kumpulan penunjuk perasaan anti-kerajaan.

Bagaimanapun, warga-warga asing yang tiba di lokasi tersebut terjebak dengan keadaan sekeliling kelam kabut seperti kalangan penumpang yang berang akibat keletihan, pengawal-pengawal bersenjata mundar-mandir dan timbunan sampah serta bagasi.

Dibina pada tahun 1960-an oleh tentera udara Amerika Syarikat (AS) dan dilengkapi sebuah alat pengimbas bagasi, pangkalan udara itu hanya berupaya mengendalikan sekitar 40 penerbangan sehari berbanding kapasiti 700 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok.

Pilihan lain selain U-Tapao, iaitu pulau Phuket di selatan dan bandar raya Chiang Mai di utara Thailand memakan masa pemanduan hampir sehari untuk ke setiap lokasi itu.

"Penunjuk-penunjuk perasaan itu melakukan kerja bodoh. Mereka membunuh industri pelancongan Thailand. Pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu. Jika tidak, tiada orang yang mahu datang ke negara ini," kata Danny Mosaffi, 57, dari New York.

Pihak berkuasa Thailand memberitahu setakat ini lebih 100,000 pelancong dibatalkan penerbangan mereka sejak kumpulan penunjuk perasaan menawan Lapangan Terbang Suvarnabhumi Selasa lalu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...