Monday, December 1, 2008

Serangan kikis iman


Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tawaran arak yang dijual secara murah bukti remaja Islam ‘diserang’ dari pelbagai sudut bagi melemahkan iman dalam diri mereka apalagi ketika dunia kini mengukur nilai kemuliaan seseorang berdasarkan kebendaan.

Bagaimanapun, penceramah terkemuka, Mohd Zawawi Yusoh, berkata benteng yang lemah dalam jiwa remaja menjadi punca utama mereka lalai serta membiarkan diri hanyut dalam keseronokan duniawi.

Katanya, jiwa remaja yang masih mentah sering tertarik pada perkara dilarang kerana ia dikatakan mampu memberi keseronokan, rasa hebat atau dikelaskan sebagai mengamalkan budaya ‘moden’.

“Selain mereka ditarik dengan arak yang sengaja dijual lebih murah daripada minuman tin biasa, mereka juga didedahkan dengan cara hidup Barat yang menafsirkan minum arak itu tanda orang itu kaya atau berjaya serta terikut-ikut perangai artis pujaan.

“Golongan ini juga ingat zaman remaja hanya sekali sebab itu mereka rasa rugi kalau tak buat perkara salah tetapi mereka lupa tentang masa remaja di akhirat nanti,”
katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Zawawi berkata, kelemahan sistem rumah tangga juga mampu menjadi penyumbang kepada kerosakan akhlak anak-anak apabila ibu bapa tidak mengambil tahu aktiviti anak.

Katanya, remaja perlu sedar, arak adalah ibu segala kejahatan iaitu ia mampu mendorong seseorang yang mabuk dan tidak berfikiran waras melakukan dosa lain.

Penguatkuasaan yang lemah terhadap jualan arak turut menjadi faktor remaja mudah mendapatkan bahan berkenaan,” katanya.

Muka depan Metro Ahad semalam melaporkan penjualan arak murah berjenama Thai Song dari negara jiran menjadi minuman Mat Rempit dan bohsia sebelum beraksi di jalan raya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081201093202/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...