Monday, December 1, 2008

Beribu-ribu penyokong kerajaan berhimpun di Bangkok

BANGKOK - Beribu-ribu penyokong kerajaan berhimpun di Bangkok semalam sekali gus memburukkan lagi situasi yang kini tegang susulan beberapa serangan grenad mencederakan berpuluh-puluh penyokong anti-kerajaan selepas mereka menawan dua buah lapangan terbang utama di Thailand.

Bantahan oleh kumpulan penyokong kerajaan itu memburukkan lagi kemelut politik yang melumpuhkan Thailand di mana 100,000 pelancong asing kini sedang menunggu untuk meninggalkan negara itu.

Mereka yang menyokong kerajaan Thailand sekarang dan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu memakai pengikat kepala merah.

Perhimpunan sulung kumpulan itu dan pertembungan mereka dengan Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) meningkatkan lagi kebimbangan bahawa Thailand akan dilanda keganasan.

"Kami berhimpun hari ini untuk melindungi sistem demokrasi dan menyatakan bahawa kami tidak mahu rampasan kuasa berlaku," kata ketua kumpulan penyokong kerajaan yang menggelarkan diri mereka 'Baju Merah', Jatuporn Prompan.

Menurutnya, kumpulan Baju Merah akan terus berada di lokasi tersebut sehingga Khamis ini.

Polis berkata, sekitar 4,000 penyokong kerajaan menyertai perhimpunan tersebut di Bangkok.

- AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_11.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...