Wednesday, February 11, 2009

Anwar: Calon India PKR bertanding p'raya Bkt Selambau


Feb 10, 09 12:08pm
PKR merancang meletakkan calon berketurunan India pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah susulan peletakan jawatan penyandangnya V Arumugam semalam.

Penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia akan meletakkan calonnya memandangkan kerusi DUN berkenaan diperuntukkan kepada PKR, lapor Bernama.

"Kemungkinan besar kita ganti dengan calon keturunan India," katanya selepas mengadakan  pertemuan dengan pemimpin dan anggota PKR Melaka di Cheng, malam tadi.

Arumugam, pesara mekanik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), memenangi kerusi Bukit Selambau atas tiket bebas selepas mengalahkan calon BN S Krishnan dengan majoriti 7,695 undi pada pilihan raya umum tahun lepas.

Beliau kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan Kedah dengan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal  Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Menurut agensi berita itu lagi, Anwar berkata Arumugam telah memaklumkan kepadanya dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai  keputusannya meletak jawatan sebagai anggota exco dan anggota DUN Bukit Selambau.

Mengenai pilihan raya kecil kerusi parlimen Bukit Gantang, Perak yang
bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum semalam, Anwar menyerahkan kepada PAS untuk menyenaraikan
calon yang sesuai daripada parti itu.

Beliau berkata Pakatan Rakyat memberi laluan kepada parti Islam untuk meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil itu.
http://www1.malaysiakini.com/news/97957

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...