Wednesday, February 11, 2009

Kematian meningkat 171 orang


API membakar satu kawasan hutan dekat Kinglake semalam.





WHITTLESEA - Sejumlah anggota bomba dan penyelamat semalam mengeluarkan puluhan mayat daripada bangunan yang musnah menjadikan angka kematian akibat kebakaran hutan di Australia meningkat kepada 171 orang.

"Mereka semua mati di dalam rumah di sana. Setiap orang mati," kata seorang mangsa yang terselamat, Christopher Harvey di bandar Kinglake.

Polis percaya sebahagian daripada kebakaran itu yang memusnahkan bandar-bandar di kawasan pedalaman dekat bandar raya Melbourne dilakukan dengan sengaja.

"Tidak ada perkataan lain untuk menggambarkannya selain daripada pembunuhan besar-besaran," kata Perdana Menteri Kevin Rudd kepada stesen televisyen tempatan.

Satu kebakaran besar yang berlaku pada Sabtu lalu di negeri Victoria memusnahkan apa sahaja menyebabkan kebanyakan orang terbunuh dalam kereta.

Sebahagian orang terjun ke dalam kolam renang dan kawasan tadahan air di ladang untuk menyelamatkan diri.

Api menjulang setinggi bangunan empat tingkat pada satu peringkat dan keluasan kawasan merebak sehingga 40 kilometer.

Keluasan kebakaran itu adalah lebih 330,000 hektar di negeri Victoria.

Lebih 750 buah rumah musnah dan puluhan orang lagi dirawat di hospital kerana melecur.

Kebakaran hutan merupakan satu fenomena biasa di Australia tetapi kombinasi cuaca panas terik, kemarau dan belukar yang kering menyebabkan api merebak dengan pantas.

Sebelum ini tragedi kebakaran paling buruk di negara itu berlaku pada 1983 apabila 75 orang terbunuh.

- Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...