Wednesday, February 11, 2009

Iran sesudah 30 tahun revolusi Islamnya

10 Feb 2009 11:07PM

MINGGU ini ketika Iran menyambut 30 tahun revolusi Islamnya, timbul tanda tanya: ke arah mana laluan republik 66 juta insan di kawasan seluas 1.64 juta km persegi ini?

Revolusi itu telah menjatuhkan orang terkuat di Timur Tengah iaitu Shah Iran dan membawa pemerintahan ala agama dengan seorang ayatollah mempunyai kuasa mutlak walaupun pilihan raya secara demokrasi diadakan.

Imej Iran di mata dunia, bagaimanapun, tidaklah seindah hasrat revolusinya. Bahkan kian ramai anak muda Iran yang berhijrah ke Barat akibat suasana sukar iaitu pengangguran sekitar 12 peratus dan inflasi 25 peratus di watan mereka.

Walaupun Iran dapat berbangga dengan pencapaian ketenteraan termasuk menghasilkan rudal jarak jauh dan satelit serta dalam proses memperkaya uranium, ia semakin tersisih.

Di Timur Tengah sendiri, Iran bak dijauhi jiran-jiran Arab yang bimbang akan pengaruh Syiah yang menggenjotkan.

Iran diketahui menyokong Hezbollah dan Hamas yang menyukarkan proses damai di Palestin. Dari segi pembangunan, Iran menghadapi kesulitan sejak kejatuhan harga minyak dan gas.

Dek sekatan ekonomi antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat, peluang Iran terhambat untuk maju sepesat jiran-jiran kaya minyak di Teluk Parsi.

Kini terbuka peluang dialog secara langsung dengan Amerika Syarikat, adikuasa tunggal dunia. Namun Amerika telah menetapkan syarat tegas agar Iran menghentikan penghasilan bom nuklearnya.

 Walaupun Iran menafikan keras niat itu sehingga wujud semacam fatwa mengenainya, keraguan dunia masih ada.

Sekurang-kurangnya ia perlu menyanggupi pemeriksaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk membuktikan program nuklearnya untuk awam semata.

Iran menghadapi sistem pentadbiran yang sarat rasuah dan silap tadbir serta perebutan kuasa antara golongan agama yang tegar dan golongan pembaharuan.

Dikhuatiri 'ledakan dari dalam' boleh berlaku apabila kalangan anggota pasukan keselamatannya, iaitu teras kekuatannya, kian kecewa mengenai hasrat revolusinya.

Untuk itu, Iran perlu bermuhasabah dalam menyongsong detik bersejarah ini dan membuktikan azamnya sebagai anggota dunia yang bertanggungjawab. / BHS


Para pelajar mengibarkan bendera Iran dan menjunjung potret pemimpin agung mereka Ayatollah Ruhollah Khomeini sempena menyambut 30 tahun revolusi Islam 1979 di Tehran's Azadi (Freedom) Square

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...