Wednesday, February 11, 2009

Cekup 2 konstabel khianat

Oleh Saipul Adli Mohamad 
saipuladli@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang menemui sebuah kereta Proton Waja curi, disyaki tergamak menghubungi pemilik bengkel di Kulai di sini, dipercayai untuk meleraikannya sebelum dijual semula sebagai alat ganti.

Bagaimanapun, tembelang dua anggota berpangkat konstabel berusia lingkungan 20-an itu terbongkar pada 3 Februari lalu melalui risikan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

Pada hari berkenaan, sepasukan polis daripada ibu pejabat terbabit menyerbu bengkel yang disyaki terbabit dalam kegiatan melupuskan kenderaan curi untuk dijadikan alat ganti terpakai.

Dalam serbuan itu, polis menahan seorang pemilik bengkel dan dua pekerja sebelum soal siasat mendedahkan pembabitan `orang dalam' pasukan polis yang dikatakan menemui sebuah kereta Proton Waja di tepi jalan sekitar Larkin pada pertengahan Ogos lalu.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata hasil siasatan awal, lelaki yang ditahan itu mengaku menyorokkan beberapa rangka kereta di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Taib Andak, Kulai.

Beliau berkata, pemeriksaan di ladang itu mendapati, satu rangka yang ditemui adalah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, pada 4 Ogos tahun lalu dan siasatan mendapati ia mempunyai kaitan dengan dua anggota MPV terbabit.

“Kedua-dua anggota itu ditahan di Balai Polis Kulai pada hari sama kerana berdasarkan siasatan, terdapat kemungkinan mereka menemui kereta itu ketika meronda tapi tidak membawanya ke balai atau membuat laporan polis, sebaliknya cuba melupuskannya dengan menyerahkannya kepada seorang pemilik bengkel.

“Anggota terbabit dipercayai menemui kereta berkenaan di tepi jalan di Larkin 10 hari selepas ia dilaporkan hilang. Kita menyiasat dari pelbagai sudut termasuk kewujudan elemen curi dan penyalahgunaan harta serta kuasa secara curang.

“Kelima-lima mereka direman enam hari sehingga hari ini (semalam) sebelum dua anggota polis itu dan seorang lelaki dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dua lagi masih ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi semalam.

Ruslan menegaskan pihaknya menjalankan siasatan tanpa pilih kasih, kompromi atau cuba melindungi sesiapa yang dipercayai terbabit.

Ini termasuk anggota polis berkenaan dan sekiranya didapati ada kes, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kes terbabit diminta menghubungi talian hotline 07-2212999 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210092330/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...