Wednesday, February 4, 2009

Britain rugi berbilion pound


PEKEDAI ini menolak timbunan salji di luar kedainya di Hartley Wintney, Hampshire, England semalam.


LONDON - Ribut salji yang berlaku di Britain sejak kelmarin menyebabkan sektor perniagaannya mengalami kerugian berjumlah berbilion-bilion pound, kata beberapa pakar ekonomi semalam.

Salji setebal 10 sentimeter yang meliputi pusat kewangan Eropah, London melumpuhkan semua laluan udara, kereta api dan jalan raya selain memaksa enam juta pekerja tidak keluar bekerja serta 3,000 sekolah ditutup.

Keadaan itu dibimbangi akan menyebabkan banyak perniagaan di Britain yang sedang bergelut dengan krisis kredit global jatuh muflis.

"Keadaan itu menyukarkan aliran tunai dan menjejaskan keuntungan selain menyebabkan pemilik perniagaan berdepan ancaman muflis," kata Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan, Douglas McWilliams.


SEORANG remaja (kanan) berdiri atas timbunan salji di Hartley Wintney, Hampshire, England semalam.


Setakat ini, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) melabelkan Britain berada dalam kemelesetan ekonomi yang terburuk di kalangan negara maju.

Persekutuan Perniagaan Kecil Britain iaitu persatuan yang mewakili lebih 200,000 peniaga berkata, satu daripada lima orang tidak dapat bekerja kelmarin dengan menyebabkan golongan majikan mengalami kerugian lebih £1.2 bilion (RM6.1 bilion).

Jurucakapnya, Stephen Alambritis memberitahu, jumlah kerugian dijangka mencecah hingga £3.5 bilion (RM18 bilion) jika cuaca buruk berterusan sepanjang minggu ini.

Selain Britain ribut salji turut melanda negara Eropah lain termasuk Perancis, Itali, Switzerland, Belgium dan Sepanyol. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...