Wednesday, February 4, 2009

JAIP masih teruskan siasatan - Ajaran Guru Yahu menular di Pahang

KUANTAN – Kumpulan yang dikhuatiri terlibat ajaran sesat, Ajaran Guru Yahu dikesan semakin menular dengan mengembangkan pengaruhnya di beberapa daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd. Shafri Abdul Aziz mendedahkan, pengikut ajaran itu kini semakin aktif mencari ahli baru sejak beberapa bulan lalu.

“Pada tahun lalu, ketua ajaran tersebut pernah dipanggil Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk memberi keterangan mengenai ajaran yang dibawanya.

“Berdasarkan keterangannya, jelas kebanyakan pendekatan ibadat yang dilakukan terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Bazar Rakyat di Kompleks Dagangan Indera Mahkota di sini semalam.

Beliau mengulas perkembangan siasatan JAIP terhadap kegiatan kumpulan terbabit selepas didedahkan Kosmo! pada 2 Septem- ber tahun lalu mengenai kumpulan ibadat yang dipercayai sesat diketuai individu bergelar Guru Yahu yang berpusat di Kampung Sri Damai di sini.

Selepas pendedahan itu, Guru Yahu atau nama sebenarnya, Januddin@Ibrahim Awang, 62, dipanggil JAIP pada Oktober tahun lalu untuk memberi keterangan.

Hasil keterangan itu, JAIP merumuskan ajaran Guru Yahu bertentangan dengan agama Islam sebenar serta mempunyai beberapa persamaan dengan ajaran Hasan Anak Rimau yang pernah menggemparkan masyarakat Islam negara ini sedekad lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafri menambah, hingga kini JAIP mengesan kira-kira 300 ahli giat menyebarkan ajaran Guru Yahu kepada masyarakat termasuk golongan profesional.

Ketika ditanya perkembangan siasatan terhadap kumpulan terbabit, Mohd. Shafri menjelaskan, tiada tangkapan membabitkan anggota ajaran itu dibuat setakat ini.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengumpul bukti kukuh sebelum sebarang tindakan diambil. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan sentiasa merujuk sumber Islam yang sah seperti al-Quran dan hadis,” katanya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...