Wednesday, February 4, 2009


Oleh Mohd Amin Jalil dan Nor Azmelia Azahari 

am@hmetro.com.my

NILAI: Penemuan seorang bayi lelaki yang berpakaian lengkap serba biru dengan sarung tangan, topi, beg dan tuala bersama botol susu di koridor tingkat dua Flet Cempaka, dekat sini, menggemparkan penduduk rumah pangsa berkenaan, kelmarin.

Bayi berkulit sawo matang dan cukup sifat berkenaan ditemui seorang penduduk di lantai koridor sebelum memaklumkannya kepada polis.

Difahamkan, sebelum itu seorang wanita mendukung bayi berkenaan di sebuah pusat beli-belah berhampiran, kira-kira jam 4.30 petang.

Seorang penduduk, Paridah Wahab, 38, berkata ketika berada dalam rumah, dia terdengar bunyi kecoh di luar lalu mendapati ramai orang berkumpul di tingkat dua flet itu.

Dia kemudian melihat seorang bayi lelaki ditemui seorang jiran. Turut ditemui, beg yang diisi keperluannya.

“Bayi berkenaan yang dipercayai berusia sebulan tidak menangis ketika ditemui di lantai koridor tingkat dua tanpa beralas, manakala badannya berbalut tuala.

“Saya sedih melihat keadaan bayi terbabit. Nasib baik dia ditemui penduduk, jika tidak entah apa nasibnya,” katanya, ketika ditemui Harian Metro.

Melihat barang keperluan seperti susu, botol susu, lampin pakai buang, pakaian dan bedak ditinggalkan di tempat kejadian, Paridah menganggap orang yang membuang bayi itu masih sayangkannya.

“Kejadian buang bayi ini kali pertama berlaku di kawasan flet ini dan kemungkinan dilakukan orang luar.

“Kawasan di sini sunyi pada waktu siang kerana penduduk keluar bekerja. Apabila petang baru suasana sibuk dengan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh, berkata pihaknya dimaklumkan penemuan bayi terbabit kira-kira jam 6 petang sebelum sepasukan anggota polis dihantar untuk melakukan siasatan.

Menurutnya, orang ramai diharapkan memberikan maklumat untuk mengesan individu yang tidak bertanggungjawab dengan sanggup membuang bayi itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan manakala bayi itu akan diletakkan di bawah jagaan Hospital Tuanku Jaafar Seremban,” katanya selepas melawat bayi terbabit semalam.

Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20090204084024/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...