Monday, May 11, 2009

7 lagi pelatih masuk hospital

Oleh Ahmad Saufi Mansor 
opie@hmetro.com.my


MELAKA: Tujuh pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua menjadi mangsa terbaru apabila dimasukkan ke Hospital Melaka (HM) selepas dikesan menunjukkan tanda dijangkiti bakteria meningitis.

Enam daripada pelatih terbabit yang dikuarantin di akademi terbabit dimasukkan ke hospital sejak kelmarin, manakala seorang lagi kira-kira jam 1 tengah hari semalam selepas didapati demam menjadikan 20 orang menerima rawatan di HM ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata orang ramai tidak perlu panik kerana keadaan adalah terkawal berikutan tindakan pantas pegawai dan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) melakukan langkah pencegahan.

Menurutnya, pihaknya juga sudah mengenal pasti jangkitan berkenaan adalah disebabkan bakteria meningitis yang hanya boleh merebak menerusi titisan selesema, bersin dan batuk dalam jarak satu meter serta tidak berbahaya.

Malah, katanya, satu pasukan khas juga ditubuhkan membabitkan tujuh pegawai dan kakitangan jabatan kesihatan termasuk seorang doktor yang mana mereka ditempatkan 24 jam di akademi itu bersama sebuah ambulans.

“Saya sudah melawat pesakit terbabit dan keadaan mereka didapati semakin stabil dan sihat, tetapi mereka masih perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya bagi tempoh tujuh hari supaya bebas daripada virus berkenaan.

“Pelatih yang dirawat di HM diberi ubat antibiotik ceftnaxone yang didapati berkesan untuk memulihkan mereka, manakala ubat antibiotik pencegahan ciprotloxacin diberikan kepada 93 lagi pelatih yang dikuarantin di akademi terbabit.


“Justeru, saya ingin tegaskan kepada orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin dan kematian seorang pelatih tidak ada kena mengena dengan wabak influenza A (H1N1) dan setakat ini, negara kita bebas wabak berbahaya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas diberi taklimat dan melawat pesakit berkenaan di HM di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JKNM, Dr Ghazali Othman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Chua Keng Hua.

Akhbar semalam melaporkan 13 pelatih akademi itu dihantar ke HM selepas dijangkiti demam, 10 daripadanya ditempatkan di wad pengasingan manakala tiga di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Manakala, seorang pelatih, Mohd Hafiz Zainudin, 24, dari Kampung Beris Jambu, Panji, Kota Bahru, Kelantan meninggal dunia akibat jangkitan virus itu ketika dikejarkan ke HM, Selasa lalu. 

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan mengenal pasti bakteria jenis ‘diplococci’ sebagai punca menyebabkan jangkitan meningitis kepada pelatih terbabit.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090511064418/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...