Monday, May 11, 2009

Menular ke Pendang, Padang Terap

PENDANG: Wabak chinkungunya yang sebelum ini dikesan di empat kampung sekitar daerah Pokok Sena, kini dipercayai menular ke dua daerah baru iaitu Pendang dan Padang Terap sejak pertengahan April lalu. 

Lebih 100 penduduk dari lapan kampung di Pendang iaitu Kampung Bendang Baru, Kampung Banggol, Kampung Perupuk, Kampung Charok Tok Min, Kampung Kubang Lerek, Kampung Nandam, Kampung Budi dan Kampung Pokok Asam mengadu mengalami demam dan sakit sendi dipercayai terkena jangkitan penyakit itu. 

Penyakit bawaan nyamuk aedes itu juga dikesan di dua kampung di Padang Terap iaitu Kampung Kepala Batas dan Kampung Jalan Naka selepas beberapa penduduk mendakwa mengalami demam misteri dipercayai ada kaitan dengan chinkungunya. 

Tinjauan Harian Metro di Klinik Kesihatan Kubur Panjang mendapati lebih 10 pesakit yang mendapat rawatan di situ mengadu mengalami demam panas berterusan dan sakit sendi

Akhbar minggu lalu melaporkan Jabatan Kesihatan Kedah memeriksa 1,230 penduduk di empat kampung di daerah Pokok Sena selepas beberapa penduduk mengadu mengalami demam dan sakit sendi. 

Sumber Klinik Kesihatan Kubur Panjang berkata, setiap hari kira-kira 40 penduduk mendapatkan rawatan di situ selepas mengalami demam dan sakit sendi yang berterusan sejak dua minggu lalu. 

Seorang pesakit dari Kampung Gulau, Tualang, Shaharil Mohd Tab, 38, berkata dia terpaksa bergegas ke klinik selepas empat hari mengalami deman panas, sakit sendi dan belakang badan yang serius.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...