Monday, May 11, 2009

Akaun RM619 tinggal RM1.03

JOHOR BAHRU: “Saya keliru bagaimana wang dalam akaun simpanan saya berjumlah RM619 dipindah ke akaun individu lain secara online pada 4 Mei lalu, padahal ketika itu saya menjalani kursus berkaitan kerja di Bangi, Selangor,” kata seorang kakitangan kerajaan, Mohd Azmi Zakaria, 29, semalam.

Azmi berkata, kehilangan wang dalam akaun simpanannya itu bukan saja menimbulkan kekeliruan, malah dia terpaksa menanggung kerugian.

Menurutnya, dia hanya menyedari perkara itu apabila ingin membuat pengeluaran wang di mesin juruwang automatik (ATM) di stesen minyak di Taman Molek pada Khamis lalu.

“Saya terkejut melihat baki akaun hanya tinggal RM1.03 sedangkan saya tidak usik wang dalam akaun bank berkenaan sejak ia dimasukkan pada 2 Mei lalu.

“Ketika membuat semakan akaun, pihak bank menyatakan berlaku pindahan kredit daripada akaun saya ke akaun seorang wanita.

“Lebih pelik pindahan itu dilakukan secara online di Kuala Lumpur sedangkan ketika itu saya menjalani kursus bersama rakan setugas di Bangi,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, semalam.

Azmi berkata, keluarganya keliru kerana sebelum ini dia tidak pernah mengaktifkan mahupun mempunyai kata laluan bagi menggunakan perkhidmatan online perbankan milik intitusi kewangan berkenaan.

Menurutnya, keluarganya khuatir perbuatan itu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab kerana pemindahan wang dilakukan tanpa pengetahuannya.

“Saya tertekan apabila mendapati wang dalam akaun sudah tiada kerana bercadang memperbaharui insurans dan cukai jalan kereta yang bakal tamat tidak lama lagi.

“Saya terdesak menggunakan wang yang sepatutnya digunakan membayar sewa rumah bagi menampung pembayaran berkenaan,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Johor Jaya pada Jumaat lalu.

Azmi bercadang mengadu masalahnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Intitusi kewangan sepatutnya menjamin keselamatan wang simpanan pelanggan dan mempunyai sistem sekuriti bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah hingga boleh mengakibatkan kerugian,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...