Monday, May 11, 2009

Suu Kyi tidak dibenar terima rawatan

YANGON 10 Mei - Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) menggesa junta tentera membenarkan pemimpin mereka, Aung San Suu Kyi menerima rawatan perubatan selepas beliau dilaporkan tidak boleh makan, mengalami tekanan darah rendah dan dehidrasi pada Jumaat lalu.

Jurucakap NLD, Nyan Win berkata, gesaan itu dibuat ekoran tindakan pihak berkuasa Myanmar yang enggan membenarkan seorang pembantu perubatan Suu Kyi melawatnya sekali lagi di rumah beliau semalam, ketika pakar perubatan pemimpin pembangkang itu ditahan oleh polis atas dakwaan yang tidak ditentukan.

''Suu Kyi sebelum itu telah menjalani rawatan dan dimasukkan air ke dalam saluran darah. Kami amat risau dengan keadaan kesihatannya. Sepatutnya tidak perlu ada sekatan dalam mendapatkan rawatan perubatan kepadanya,'' kata Nyan Win kepada AFP.

Pembantu perubatan Suu Kyi, Pyone Moe Ei pada tengah hari Jumaat lalu telah merawat pemimpin berkenaan selama tiga jam di rumahnya di tepi tasik di mana beliau menjalani tahanan di rumah sejak hampir 19 tahun lalu, namun dia tidak dibenarkan menemui Suu Kyi semalam.

Sebelum itu, pakar perubatannya, Tin Myo Win tidak dibenarkan memasuki rumah Suu Kyi pada Khamis lepas setelah menunggu selama beberapa jam untuk menjalankan pemeriksaan biasa terhadap pemimpin NLD itu.

Sehari sebelum itu, pihak berkuasa menahan seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) selepas dia berenang menyeberangi tasik dan memasuki kawasan yang tidak dibenarkan.

Media kerajaan melaporkan, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai John William Yeattaw, 53, telah menghabiskan masa selama dua hari di rumah Suu Kyi dan ditangkap ketika sedang cuba meninggalkan rumah itu semasa waktu subuh.

Sumber rasmi berkata, lelaki itu telah tidur di bilik tingkat bawah yang menempatkan dua orang gaji Suu Kyi dan dia turut meminta pemimpin tersebut supaya tidak memberitahu kehadirannya di rumah berkenaan.

Motif lelaki tersebut masih belum diketahui, namun pegawai berkata dia ialah seorang veteran perang Vietnam. - AFP

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...