Monday, May 11, 2009

Bawa dompet cegah ragut

SAYA cukup sakit hati apabila membaca berita mengenai kematian dua wanita mengandung di Johor dan Kelantan akibat diragut ketika menunggang motosikal minggu lalu.

Ini kerana saya sendiri pernah mengalami insiden sama ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumah di Bandar Baru Sentul, kira-kira jam 10 malam, empat tahun lalu.

Ketika kejadian, saya menyilangkan beg tangan di badan kerana percaya ia langkah paling selamat, lagipun saya tidak membawa banyak wang.

Tetapi rupa-rupanya tindakan itu mengundang padah apabila dua lelaki bermotosikal tiba-tiba dengan ganas menarik beg tangan hingga saya terjatuh dan menyebabkan saya menerima kira-kira 10 jahitan di atas bahagian bibir.

Parut kekal hingga kini menyebabkan saya cukup bencikan peragut. Hanya kerana terdesak untuk mendapat wang mudah, mereka sanggup mengambil kesempatan terhadap golongan lemah.

Apapun, kejadian itu mengajar saya supaya lebih berhati-hati pada masa depan. Saya masih tidak serik untuk menunggang motosikal, tetapi kini saya mengambil langkah selamat dengan hanya membawa dompet jika menunggang kenderaan itu berseorangan.

Dompet itu saya letakkan dalam poket seluar. Selain itu, jika saya menempah baju kurung, saya pastikan tukang jahit turut menyediakan saku untuk memudahkan saya menyimpan dompet ketika menunggang motosikal.

Bagi saya, kedua-dua cara itu boleh dipraktikkan golongan wanita yang menunggang motosikal berseorangan kerana sekurang-kurangnya ia tidak membuka ruang untuk penjenayah mengambil kesempatan.

Itu sebagai langkah pencegahan, tetapi dari sudut undang-undang, pihak bertanggungjawab seharusnya memikirkan jalan terbaik untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada peragut terutama kes membabitkan kematian.

Saya bertuah kerana hanya luka ringan dan berparut, tetapi bagaimana nasib anak-anak kecil yang tiba-tiba menjadi anak yatim gara-gara kekejaman peragut bermotosikal. 

Dua kes kematian dalam tempoh seminggu membuktikan gejala ragut itu perlu dipandang serius semua pihak. Polis perlu meningkatkan lagi penguatkuasaan, orang ramai wajar menjadi 'mata' dan 'telinga' kepada polis manakala golongan wanita bermotosikal perlu lebih berwaspada dengan tidak membuka ruang dan peluang kepada penjenayah.



MANGSA RAGUT,

Sentol, Kuala Lumpur


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...