Monday, May 11, 2009

LPKP buru drebar teksi perogol

KUALA LUMPUR: “Siasatan kes itu sedang dijalankan dan kami akan mengesan pemandu teksi terbabit, sekali gus menamatkan perkhidmatannya secara serta-merta,” kata Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran.

Beliau mengulas kes seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mendakwa dirogol pemandu teksi walaupun hanya mahu ke SS15 dari SS14, Subang Jaya, dalam satu kejadian minggu lalu.

Mangsa dibawa pemandu terbabit di sekitar Subang Jaya serta Shah Alam sebelum berhenti di Kelana Jaya dan diarah menanggalkan pakaian.

Remaja malang itu yang ketakutan cuba menawarkan wang dan telefon bimbit namun suspek bertindak menampar mangsa sebelum merogolnya.

Suspek kemudian meninggalkan mangsa di tepi jalan dan laporan perubatan mengesahkan remaja itu dirogol dan mangsa hanya mengingati kedua-dua lengan suspek mempunyai tatu kala jengking.

Markiman berkata, dia amat terkejut berikutan kes rogol itu kali pertama berlaku pada waktu siang iaitu sekitar jam tiga petang dan rata-rata kes membabitkan pemandu teksi berlaku pada waktu malam.

“Perkara ini membimbangkan LPKP kerana orang awam mula memberi persepsi negatif terhadap pemandu teksi yang kerap dikaitkan kegiatan jenayah.

“Berikutan itu, bagi memudahkan siasatan dan tindakan dilakukan, saya meminta penumpang mencatatkan nombor pendaftaran teksi dinaiki sekiranya berasa curiga dengan pemandu terbabit,”
katanya.

Beliau berkata, pemandu teksi perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa membuat laporan sekiranya melihat teksi rakan mereka bukan dipandu pemilik sebenarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...