Tuesday, May 19, 2009

Merempit bagai pelesit


TIGA pelajar memanjat pagar SMK Bukit Rangin, Kuantan untuk keluar merempit semalam.


KUANTAN - Ketika pelajar lain meraikan sambutan Hari Guru, sekumpulan kira-kira 30 pelajar lelaki ponteng sekolah dan berkeliaran bagaikan pelesit dengan menunggang motosikal ala mat rempit di sekitar kawasan perumahan di Permatang Badak dan Bukit Rangin di sini semalam.

Mereka lengkap beruniform sekolah menengah dengan rambut serta wajah masing-masing dicalit pelbagai warna. Dengan selamba mereka mempamerkan aksi-aksi bahaya menunggang motosikal tanpa mempedulikan penduduk di situ.

Tinjauan wartawan Kosmo! pada pukul 9.30 pagi mendapati beberapa pelajar tersebut memanjat pagar belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin untuk menyusup keluar sebelum membonceng motosikal rakan yang menunggu di luar.

Ketika diekori, mereka didapati berkumpul di sebuah rumah penduduk di Rumah Murah Permatang Badak di sini berdekatan SMK Sungai Isap sebelum keluar beramai-ramai secara konvoi di jalan raya.

Beberapa penduduk memberitahu, pelajar terbabit dipercayai datang ke sekolah pada awal pagi sebelum menyusup keluar pada waktu rehat melalui pintu pagar belakang sekolah ketika sambutan Hari Guru diadakan.


SEBAHAGIAN daripada pelajar SMK Bukit Rangin, Kuantan yang ponteng berjalan bagaikan samseng ketika ponteng sekolah semalam.


Menurut mereka, kumpulan pelajar terbabit dikatakan sering merempit pada waktu sekolah di jalan-jalan di sekitar kawasan perumahan antara SMK Bukit Rangin dengan SMK Sungai Isap.

"Pelajar ponteng dan menunggang ala mat rempit selalu ada di sini sejak dulu lagi, sama ada di sebelah pagi pada waktu sekolah mahupun sebelah petang. Bilangan mereka bukan seorang dua.

"Ada ketikanya keadaan macam pesta kerana di kiri kanan jalan ramai penonton yang melihat aksi mereka seperti lumba haram di Kuala Lumpur," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...