Tuesday, May 19, 2009

Status ancaman H1N1 ditentu esok


LELAKI ini secara sukarela mengunjungi Hospital Pulau Pinang semalam untuk pemeriksaan selepas disyaki mempunyai simptom influenza A.





PUTRAJAYA - Malaysia boleh diisytiharkan bebas daripada ancaman penularan virus influenza A (H1N1) menjelang esok dengan syarat tiada kes baru dilaporkan dalam tempoh itu.

Setakat ini hanya dua mangsa disahkan dijangkiti virus itu dengan kedua-duanya tiba menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dari Amerika Syarikat pada Rabu minggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat berkata, kes pertama dikesan pada 13 Mei lalu dan tempoh masa seminggu selepas itu akan menjadi perkiraan untuk penetapan status wabak tersebut tidak menular.

"Jika tiada kes baru sehingga 20 Mei, kita boleh kata tiada penularan virus itu di negara ini tetapi ia bukan bermakna Malaysia bebas ancaman kerana wabak boleh tercetus semula pada bila-bila masa,'' katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, setakat semalam, sebanyak 111 kes diasingkan bagi tujuan pemeriksaan di seluruh negara.

Dr. Ramlee berkata, daripada sembilan kes yang disyaki, empat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Kangar, dua di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jabatan Kesihatan Johor semalam mengesahkan seorang penumpang wanita dalam pesawat MH091 yang dikuarantin di Hospital Sultanah Aminah disahkan negatif virus influenza A.

Wanita berusia 43 tahun itu kini ditempatkan di wad biasa dan dijangka mendapat kebenaran pulang tidak lama lagi.

Dr. Ramlee juga berkata, dua mangsa yang disahkan positif influenza A iaitu masing-masing di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pulau Pinang dilaporkan stabil dan semakin pulih manakala keluarga masing-masing yang dikuarantin di rumah juga sihat.

Mengenai tindakan mengesan penumpang pesawat MH091, Dr. Ramlee berkata, tujuh lagi yang dapat dikesan kini dikuarantin di rumah dan kesemuanya berada dalam keadaan sihat. Sebanyak 17 lagi penumpang sedang dikesan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...