Tuesday, May 19, 2009

Tamatnya konflik antara paling dahsyat

COLOMBO - Kekalahan terakhir kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka menyaksikan berakhirnya antara konflik etnik paling dahsyat di dunia di samping lenyapnya sebuah kumpulan yang sebelum ini dianggap sebagai antara paling berdisiplin dan digeruni.

Hanya dua tahun lalu, LTTE dianggap kebal dan kumpulan itu mengawal sebahagian besar utara dan timur Sri Lanka dengan sempadan wilayah dipenuhi jerangkap samar bagi menandakan satu negara asing wujud di pulau berkenaan.

Ditubuhkan oleh Velupillai Prabhakaran, LTTE menghabiskan masa 30 tahun melakukan perjuangan bersenjata di Sri Lanka dan kekalahan mereka tidak dijangka.

Bagaimanapun, serangan besar-besaran secara berterusan oleh tentera kerajaan menyaksikan pertahanan mereka musnah dan kumpulan itu dihapuskan sama sekali.

Tawaran saat-saat akhir LTTE untuk meletak senjata tidak diendahkan tentera Sri Lanka yang mengarahkan satu serangan terakhir bagi menghapuskan keseluruhan kepimpinan LTTE, termasuk Prabhakaran dan 200 pejuang yang mengiringinya.

Kematian Prabhakaran yang ditembak ketika cuba melarikan diri dengan menggunakan sebuah ambulans, menamatkan kebangkitan semula LTTE dalam jangka masa pendek.

Prabhakaran, 54, turut mempelopori kaedah pengebom berani mati bagi menyerang sasaran berprofil tinggi termasuk infrastruktur penting bagi merealisasi impiannya mewujudkan sebuah negara Tamil merdeka di pulau itu.

Bekas perdana menteri India, Rajiv Gandhi dibunuh oleh seorang pengebom berani mati wanita pada 1991, sebagai tidak balas terhadap penghantaran tentera pengaman India ke Sri Lanka pada 1987 di mana mereka turut menentang LTTE.

LTTE turut dipersalahkan berhubung pembunuhan Presiden Sri Lanka Ranasinghe Premadasa pada 1993 dan pengeboman ke atas bank pusat negara itu yang meragut 90 nyawa.

Pasukan itu merupakan kumpulan bersenjata lengkap yang memiliki unit tentera lautnya sendiri, dikenali sebagai Harimau Laut selain berjaya menyeludup sejumlah pesawat ringan bagi melancarkan serangan udara.

Dalam salah satu serangan paling nekad mereka, gerila-gerila LTTE meletupkan 12 jet pejuang kerajaan di sebuah pangkalan tentera ke utara Colombo pada 2001 di samping memusnahkan enam pesawat penumpang yang ditempatkan di satu-satunya lapangan terbang antarabangsa negara itu.

Penggunaan pengebom berani mati dan askar kanak-kanak oleh LTTE mendapat kecaman tetapi masyarakat antarabangsa pernah menyokong mereka apabila siri rundingan damai tajaan Oslo dilaksanakan sejak 2002.

Siri rundingan itu gagal dan proses ke arah keamanan berkubur pada Januari 2008 apabila Presiden Mahinda Rajapakse menarik diri daripada satu perjanjian damai.

Tentera kerajaan kemudian memasuki bandar Kilinochchi iaitu ibu pejabat politik LTTE pada bulan yang sama selepas melancarkan serangan paling besar sepanjang konflik itu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...