Tuesday, May 19, 2009

Prabhakaran maut ditembak di Sri Lanka


GAMBAR fail menunjukkan wajah Prabhakaran.


COLOMBO – Kerajaan Sri Lanka semalam mengisytiharkan kemenangan dalam perang menentang kumpulan gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) manakala pemerintah tertingginya, Velupillai Prabhakaran turut mati dalam pertempuran.

Kematian Prabhakaran melenyapkan cita-cita tiga dekad pemimpin LTTE itu untuk melihat sebuah negara merdeka bagi penduduk minoriti Tamil di Sri Lanka.


GAMBAR menunjukkan loaksi pertempuran antara tentera kerajaan dengan anggota-anggota Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.


Stesen televisyen kerajaan menyiarkan pengumuman tergempar mengenai kematian Prabhakaran manakala Jabatan Penerangan pula menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenainya kepada pemilik telefon bimbit di seluruh negara.

“Kami boleh mengumumkan bahawa kami berjaya membebaskan seluruh negara ini daripada keganasan,” kata Ketua Angkatan Tentera Sri Lanka, Leftenan Jeneral Sareth Fonseka.

Menurut Fonseka, askar-askarnya menggempur saki-baki gerila LTTE di zon perang utara negara itu pagi semalam dan mengenal pasti Prabhakaran sebagai antara yang terkorban.


GAMBAR menunjukkan wajah Charles Anthony iaitu anak lelaki Prabhakaran yang mati terbunuh dalam pertempuran di Sri Lanka semalam.


Menurut kenyataan rasmi kerajaan, pemerintah tertinggi gerila itu dibunuh bersama dua orang kanannya, Soosai dan Pottu Amman.

Pengumuman tersebut disambut gembira rakyat negara itu yang rata-rata keluar membanjiri jalan-jalan raya di sini sambil menyanyi dan menari.

Kematian Prabhakaran dianggap faktor penentu dalam menamatkan perang di negara berkenaan.


SEJUMLAH penduduk Sri Lanka mengibarkan bendera bagi meraikan kemenangan tentera menewaskan pasukan Pembebasan Harimau Tamil Eelam di Sri Lanka semalam.


Sekiranya dia berjaya melarikan diri, pemimpin LTTE itu dibimbangi akan menggunakan perolehan daripada rangkaian penyeludupan antarabangsa yang diketuainya selain sokongan masyarakat Tamil di luar negara untuk mencetuskan semula perang gerila di pulau berkenaan.

Namun, bagi anggota-anggota LTTE, kematian pemimpin mereka itu merupakan satu berita yang menyedihkan.

“Kami menerima berita itu dengan amat sedih. Namun, semangat kami untuk memperjuangkan sebuah negara merdeka masih membara dan teguh,” kata jurucakap komuniti Tamil di Britain, Suren Surendiran. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...