Jun 23, 11
11:00am
Jalan-jalan Kuala Lumpur pun kerap ditutup untuk acara marathon, lumba basikal, dan pelbagai perarakan lain. Tidak pula ada laporan polis atau aduan dibuat kononnya peniaga dan pemandu teksi hilang pendapatan. Kenapa Himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai dianggap begitu berlainan sekali?
Kenapa Umno dan juak-juaknya begitu negatif terhadap BERSIH 2.0? Apakah perlunya polis memberikan amaran untuk “bertindak tegas' terhadap mereka yang menyertai perhimpunan ini?
Apakah bezanya perhimpunan ini dengan puluhan himpunan-himpunan yang dianjur oleh PAS, Umno, PERKASA dan pertubuhan lain di kedutaan Amerika Syarikat, Britain setiap kali isu Palestin diperjuangkan.
Gulingkan kerajaan
BERSIH 2.0 bukanlah  tunjuk perasaan untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana yang didakwa oleh  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.Dan ia jauh sekali untuk mengalih pandangan rakyat daripada  perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri  Penerangan Datuk Seri Rais Yatim.
BERSIH 2.0 adalah insiatif pertubuhan  bukan kerajaan yang dipimpin oleh peguam Datuk Ambiga Srinevasam, seorang  aktivis yang mendokong keluhuran pelembagaan dan hak asasi  manusia.
Benar, BERSIH disokong oleh parti-parti pembangkang. Namun  adalah satu hakikat juga bahawa Ambiga telah beberapa kali menggesa parti-parti  BN untuk turut serta menyokong perhimpunan ini kerana:
- Perhimpunan adalah secara aman
- Seluruh rakyat mahukan pilhanraya yang telus dan adil, dan parti politik harus memberi sokongan kepada tuntutan ini
- Semua pihak mahu melihat SPR lebih professional dalam isu-isu seperti tempoh kempen minimum 21 hari, penggunaan dakwat kekal untuk mengatasi masalah pengundian bertindih dan pendaftaran automatik pengundi mencapai umur 18 tahun.
Tidak ada satu pun dalam tuntutan ini yang boleh dikatakan memihak kepada  pembangkang mahu pun pemerintah.Tidak ada satu pun dalam desakan pada perhimpunan BERSIH  2.0 akan memberikan sebarang kelebihan kepada Umno mahupun PAS dalam  mempengaruhi citarasa pengundi Melayu.
Malaysia jauh daripada ambang  kebangkitan rakyat yang menumbangkan Presiden Hosni Mobarak di Mesir dan lebih  jauh lagi daripada sebarang serangan NATO seperti yang berlaku di Libya.
Banyak rungutan
Namun secara jujur, apakah  BN beranggapan rakyat tidak mempunyai sebarang rungutan tentang cara Suruhanjaya  Pilihanraya mengendalikan pemilihan di negara ini?Selepas 12 pilihan raya umum, rasanya tidaklah keterlaluan  untuk berharap rakyat tidak lagi diselubungi dengan undi pos yang mencurigakan,  atau pengundi hantu dalam daftar pemilih. Begitu juga dengan perpindahan  pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.
Namun ini semua berlaku dan  kadar amalan-amalan ini berleluasa menjelang pilihan raya umum ke-13 amat  membimbangkan pihak-pihak di sebalik penganjuran BERSIH 2.0.
Selepas lima  dekad kita mengurus negara sendiri, masih berlaku kes 'bekalan elektrik boleh  terputus tiba-tiba apabila calon Pakatan Rakyat mendahului pengiraan dengan  lebih 1,000 undi. Bekalan elektrik pulih sejam kemudian dan calon BN menang  dengan 58 undi, dibantu oleh undi pos.Lebih mengejutkan Pegawai Pilihanraya mengambil keputusan  tidak perlu diadakan pengiraan semula walaupun undang-undang memperuntukkan  keperluan itu. Ini berlaku di Senadin, Miri pada pilihanraya negeri Sarawak  baru-baru ini.
Undi pos dikatakan membantu Umno-BN menang di  sekurang-kurangnya 25 kerusi parlimen dalam PRU yang lalu dan menjadi  kebimbangan paling besar gagasan pembangkang untuk PRU ke-13.
Amat mencurigakan
Penambahan mendadak  jumlah undi pos amat mencurigakan – hampir enam ribu di Pulau Pangkor, 10 ribu  di Setiawangsa.Di Kok Lanas, Kelantan, hampir 500 isteri prajurit  didaftarkan sebagai pengundi pos tanpa pengetahuan mereka.
Mereka tidak  mengisi Borang A iaitu borang perpindahan daripada pengundi biasa kepada  pengundi Pos, namun pendaftaran itu diterima oleh SPR.
Nama mereka hanya dikeluarkan daripada senarai pengundi pos setelah PAS  membuat bantahan dan menuntut SPR menjalankan siasatan.
Hujah yang  dilazim diberikan oleh Umno-BN adalah jika SPR tidak adil dan cenderong kepada  pemerintah, mana mungkin pembangkang boleh menang besar pada PRU yang  lalu.
Hujah balas ialah, jika SPR memang adil dan berkecuali dalam  melaksanakan tanggungjawabnya, maka negara sudah pun ditadbir oleh Pakatan  Rakyat.Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata  calon-calon Pakatan tidak mempunyai pilihan kecuali memastikan mereka mendapat  sekurang-kurangnya 55 peratus daripada jumlah undi untuk memastikan pengiraan  undi tidak dimanipulasi.
Ini satu tanggungjawab yang amat berat kerana  lawan Pakatan Rakyat dalam PRU bukan parti Umno-BN semata-mata.
Pakatan  Rakyat sebenarnya berdepan dengan parti Umno-BN yang disokong dengan segala wang  rakyat, kemudahan awam, institusi kerajaan dan jentera media arus  perdana.
Bagi Umno-BN, tidak ada batas untuk menggunakan segala kelebihan  kerajaan pemerintah untuk agenda politiknya, termasuk Suruhanjaya Pilihan  Raya.Apakah SPR mahu sekali lagi tergolong sebagai sebahagian  daripada aparatus BN untuk memenangi PRU yang akan datang?
Biarlah  Himpunan BERSIH 2.0 menzahirkan harapan rakyat yang mahu SPR melaksanakan  amanahnya secara adil, telus, dan berkecuali dalam mengendalikan pilihanraya  demi masa depan negara tercinta ini. 
Wira Arjuna adalah seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.
http://malaysiakini.com/news/167772
 
 
No comments:
Post a Comment