Jun 19, 11
6:48pm
Perhimpunan 'Gerak Aman' pada 9 Julai dilancarkan oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali petang ini yang didakwanya untuk mempertahankan keamanan dan menghalang BERSIH daripada mengadakan demonstrasi jalanan.
Ibrahim turut membayangkan jika perhimpunan itu tidak dibatalkan, maka akan  berlaku huru-hara.
"Tuan-tuan bayangkan perhimpunan BERSIH tidak  dibatalkan, mereka teruskan juga, (mereka) tidak umum bahawa mereka akan batal  pada 7 atau 8 Julai, saya percaya masyarakat Tiong Hua mungkin ramai-ramai,  semua sekali, belilah bekalan makanan tambahan simpan di rumah.
"Apa sahaja boleh berlaku," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa  pihak polis bertindak apa cara sekalipun untuk menjaga keamanan
"Kalau (perhimpunan BERSIH) tak dibatalkan, kita teruskan... Kalau nak  tangkap, tangkap semua, asalkan negara kita aman. Jangan buat kekacauan," kata  Ibrahim yang mendapat tepukan kira-kira 500 penyokong PERKASA dan NGO Melayu  yang berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman.Mengulas mengenai perhimpunan Gerak Aman pada 9 Julai ini,  Ibrahim berkata beliau akan bermalam di Jalan Bellamy pada tengah malam 8 Julai  sebelum berarak ke Istana Negara pada keesokan paginya.
"Jangan balik,  selepas subuh kita akan menuju ke Istana Negara, untuk mempertahankan negara,"  katanya.
Beliau menjangkakan ramai penyokong Gerak Aman akan terlibat  dengan perhimpunan itu, bahkan barisan yang dipertua negeri-negeri telah  berjanji akan membawa penyokong dengan 20 buah bas bagi setiap  negeri.
Menurutnya lagi, pihaknya juga telah menyediakan peguam untuk  membela penyokongnya yang ditahan dan tidak bertanggungjawab sekiranya mereka  melakukan perbuatan jenayah pada hari tersebut.
Beliau juga menyarankan  agar para hadirin yang hadir agar mengedarkan risalah yang dibekalkan dan wakil  NGO menggantungkan kain rentang yang dibekalkan sebagai usaha menguar-uarkan  perhimpunan 'Gerak Aman'.
Berdasarkan risalah - "Menolak perhimpunan  BERSIH 2.0 yang sebenarnya kotor - terdapat empat lokasi utama untuk para  penyokong 'Gerak Aman' berkumpul pada tarikh tersebut seawal jam 7  pagi.Lokasi terbabit adalah perkarangan Masjid Negara, Dataran  Merdeka, Perkarangan Stadium Merdeka dan Istana Negara.
Risalah yang  diedarkan itu juga, turut memaparkan gambar Ambiga dan tertulis "Awas!!! Ambiga  Wanita Hindu yang Merbahaya" yang didakwa membela kes murtad Lina Joy dan  mengusaha menggugat Melayu dan Islam, antaranya menganjur forum menyerang  perlembagaan negara dan menuntut pelaksanaan suruhanjaya antara agama  (IFC).
"Demi keamanan negara dan rakyat Malaysia, kalau saya berkayuh  dengan lidi, saya akan pertahankan keamanan... Membujur lalu melintang  patah.
"Kita bukan golongan pengacau, kalau mereka berhenti (untuk  berarak) kita berhenti. Kita mahu menghalang tindakan melanggar undang-undang,"  kata Ibrahim lagi.
Ibrahim - yang akan mengetuai kumpulan Gerak Aman -  mendakwa BERSIH 2.0 mempunyai "agenda lain" dengan mengambil aspirasi yang  berlaku di Tunisia, Mesir dan di negara Timur Tengah yang didakwanya untuk  menumbangkan kerajaan melalui jalan raya.
Ibrahim menegaskan tindakan  BERSIH untuk berarak ke Istana Negara tidak mendapat restu secara majoriti di  kalangan rakyat Malaysia."Sebab itu kita buat penentangan bagi seluruh dunia tahu.  Jangan bimbang, jangan takut dengan Ambiga.
"Saya sudah dua kali ditahan  ISA, saya kenal Mat Sabu, saya kenal pemimpin DAP,"katanya.
Beliau  menggesa penyokong PERKASA agar tidak berasa takut kerana tindakan mereka  menghalang sebagai tindakan mencegah dan tidak agenda politik  tertentu.
"Pemuda Umno nak herhimpun, kita tidak campur dengan Pemuda  Umno... Kita rakyat, satu batalion," katanya sambil bertanyakan kepada hadirin  siapa yang ingin ditahan ISA.
Kelihatan segelintir penyokong mengangkat  tangan dan ada juga yang berkata "saya" bagi menyahut cabaran  Ibrahim.
"Jangan jadi seperti di Asia Barat, kita mahu membantu Menteri  Dalam Negeri (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) kerana kita buat kerja baik supaya  rakyat mengikuti undang-undang," tegasnya.
Sementara itu, dalam sidang  media selepas menyampaikan ucapan, Ibrahim menggesa Kementerian dalan negeri dan  Ketua Polis negara agar bertindak sekarang dan tidak hanya sekadar memberi  amaran.Beliau juga menggesa polis mengguna segala peruntukan  undang-undang yang sedia ada bagi menegakkan keamanan di negara  ini.
Ditanya mengenai permit, Ibrahim berkata tidak mempunyai permit,  bahkan akan berdepan dengan kumpulan BERSIH.
Katanya, beliau akur  sekiranya perhimpunan gabungan itu membatalkan hasrat mereka, pihaknya juga akan  berbuat demikian.
Turut hadir wakil NGO Pekida, pemimpin politik seperti  Datuk Khalid Yunus dan Zulkifli Nordin dan wakil penjaja dan persatuan teksi,  untuk memberi sokongan membantah perhimpunan BERSIH 2.0.
Khalid dan Zulkifli turut berucap menyokong Gerak Aman dan membantah BERSIH 2.0.
http://malaysiakini.com/news/167386
 
 
No comments:
Post a Comment