Jun 15, 11
1:23pm
Iklan itu dihiasi dengan pelbagai slogan, semuanya untuk memberikan mesej bagaimana rakyat bakal menerima manfaat begitu besar hasil pemerintahan kerajaan berkenaan.
Di sebalik iklan-iklan yang penuh dengan janji-janji sedemikian, saya hanya perlu melangkah ke luar hotel untuk berdepan dengan realiti hidup di India.
Memang diakui New Dehli, Jaipur dan bandaraya-bandaraya lain seperti Amritsar mempunyai bangunan pencakar langit dan lebuh raya sibuk dengan kereta mewah, namun ia juga penuh dengan pengemis tua, muda dan kanak-kanak.
Menyayat hati
Amat menyayat hati bila  melihat ibu mendokong bayi belasan bulan yang berpakaian nipis di musim sejuk  dengan suhu 10 darjah Celsius di celah-celah kotaraya, mencari makanan di  tong-tong sampah.Saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan  iklan-iklan di India itu dengan muka depan akhbar-akhbar arus perdana di  Malaysia semalam mengenai kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP)  membabitkan pelaburan sebanyak RM2.27 bilion.
Utusan Malaysia  melaporkan gabungan semua 15 inisiatif ini dalam tujuh Bidang Ekonomi Utama  Negara (NKEA) mewakili pelaburan RM63.38 bilion dan pendapatan negara kasar  sebanyak RM66.13 bilion serta mewujudkan 63,531 peluang  pekerjaan.
Berdasarkan laporan media itu semata-mata, nampaknya Malaysia  kini memasuki era keemasan di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Razak.
Mungkinkah ini satu hakikat? Atau, ia sebenarnya sama  seperti apa yang berlaku di India?Kita bersyukur kerana pengemis-pengemis jalanan yang  berkeliaran di negara kita kini kebanyakan mereka adalah rakyat asing; buat masa  ini.
Namun siapa yang sanggup menafikan hakikat kita semua semakin  merasakan kesempitan hidup.
Kos sara hidup yang melambung, tanpa kenaikan  gaji yang selari, penarikan balik subsidi, kenaikan harga hampir semua barangan  perlu, dari secawan kopi di gerai kepada bil elektrik – semuanya semakin  mencengkam kita.
Bajet tambahan
Sehari selepas Najib mendabik dada memberitahu dunia mengenai manfaat yang  bakal dikecapi rakyat daripada NKRA dan ETP tajaannya, timbalan beliau terpaksa  berdiri di Parlimen memohon Belanjawan tambahan sebanyak RM13  bilion.“Ini untuk menampung keperluan perbelanjaan menguruskan  negara,” kata Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussain  (kiri).
Bermakna Belanjawan sebelum ini yang dibentangkan oleh  Najib iaitu sebanyak RM162.8 bilion tidak mencukupi.
Ini juga bermakna  belanjawan Najib hanya bertahan untuk tempoh begitu singkat, dan segala unjuran  oleh pakar-pakar beliau tidak menepati sasaran!
Adakah kita sanggup  dibuai dengan janji-janji indah NKRA, ETP dan sebagainya atau berpegang kepada  realiti hidup semasa untuk merumuskan bahawa ada sesuatu yang amat tidak kena  dengan ekonomi negara kita.
Kenapa subsidi untuk rakyat ditarik balik,  manakala subsidi untuk Penjana Eletrik Bebas di kekalkan?Kenapa perlu diadakan projek mega 100 tingkat Menara  Warisan bernilai RM5 bilion atau membelanjakan RM65 juta untuk mengubah suai  kediaman Perdana Menteri?
Apakah keperluan untuk kerajaan bergabung  dengan sektor swasta membelanjakan RM27 juta ringgit untuk mengumpul sejuta  pemuda bagi beramah mesra dengan Perdana Menteri, baru-baru ini?
Keperitan hidup
Bagaimanakah Kementerian  Perlancongan boleh diberi kelulusan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan  laman Facebooknya, sesuatu yang boleh dilakukan dengan belanja jauh lebih  murah?Jawapan kepada persoalan-persoalan ini tidak mungkin akan  dikupas oleh media arus perdana milik kerajaan, namun ini tidak bererti rakyat  tidak boleh memikirkan mengenainya.
Dalam mengharungi keperitan hidup  akibat pemotongan subsidi, rakyat kini menyaksikan kerajaan yang sama memohon  kepada Parlimen untuk diberikan tambahan RM13 bilion bagi pengurusan  negara.
Sudah tentu ia akan memburukkan lagi defisit negara, dan jika  defisit negara bertambah meruncing, apakah ini tidak bermakna rakyat akan  dijadikan mangsa menerusi pemotongan subsidi yang lebih  dahsyat?
Pembaziran, ketirisan dan rasuah mewarnai setiap kerajaan yang  memerintah di India sejak kemerdekaan. Prinsip-prinsip yang dijulang oleh Bapa  India – Mahatma Gandhi sudah lama diabaikan oleh kebanyakan ahli poltik negara  itu dalam mengejar kemewahan untuk diri dan kroni.Segelintir daripada rakyatnya adalah antara yang terkaya di  dunia, namun sebilangan besar masih lagi terperangkap dalam kancah kemiskinan  tegar yang amat memeritkan.
Di Malaysia, janji-janji NKRA-ETP ialah  pusingan mimpi baru yang dijual oleh kerajaan Umno-BN kepada rakyat negara ini.  
Ungkapan kroni, kronisme
Kita sudahpun  menyaksikan bagaimana pengswastaan Tun Dr Mahathir Mohamad mempopularkan  ungkapan kroni dan kronisme.
Duit rakyat beratus billion ringgit disalur  untuk membayar syarikat-syarikat konsesi air, elektrik, dan sistem aliran  transit ringan dan sebagainya.Hasil jelas pemerintahan beliau, rakyat terpaksa membayar  tol tinggi untuk menggunakan lebuhraya, bil elektrik dan air juga meningkatkan  manakala kemudahan pengangkutan awam negara ini jauh daripada memuaskan. 
Selepas Mahathir, rakyat disajikan pula rancangan-rancangan seperti  Koridor Ekonomi wawasan Tun Abdullah Badawi.
Belum pun Koridor itu  menjadi realiti, rakyat diminta menerima keindahan NKRA dan ETA oleh Perdana  Menteri 1Malaysia Najib Razak.
Maaf jika rasa sinis saya membaca  iklan-iklan akhbar berbayar kerajaan di India menyerlah sekali lagi apabila  membaca “kebesaran ETP dan NKRA” di muka depan akhbar-akhbar arus perdana  semalam.
Saya cuma memikirkan nasib rakyat yang terperangkap dengan  segala sara hidup semakin melambung yang cuba dibuai dengan mimpi-mimpi seorang  lagi Perdana Menteri Umno-BN. 
Wira Arjuna adalah seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.
http://malaysiakini.com/columns/166982
 
 
No comments:
Post a Comment