Wednesday, December 3, 2008

Heroin dalam bekas minuman kotak soya


BUKTI...Nordin menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas.


SHAH ALAM: Impian seorang wanita warga asing kononnya mahu menjadi peguam dengan mengikuti kursus perundangan berkecai selepas ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor kerana memiliki 71 kapsul dipercayai berisi heroin, di Ampang, Sabtu lalu.

Dalam serbuan di Jalan Pandan Cahaya itu, seorang wanita juga warga asing yang mendakwa bekerja sambilan sebagai pembantu rumah turut ditahan dipercayai mempunyai kaitan kegiatan satu sindiket dadah.

Heroin bernilai kira-kira RM30,000 itu ditemui di dalam bekas minuman kotak soya satu liter.

Ketika mendedahkan kejayaan berkenaan, Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata tangkapan membabitkan kedua-dua wanita berusia 26 tahun dan 51 tahun terbabit selepas polis menahan dua lelaki juga warga asing sehari sebelum itu.

“Sehari sebelum itu, polis menahan dua lelaki warga asing memandu sebuah kereta di sekitar Ampang.

“Hasil pemeriksaan, JSJN menemui satu beg plastik berisi syabu seberat 497 gram dengan anggaran nilai mencecah RM120,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Menurut Nordin, hasil tangkapan jam 10.15 malam terhadap kedua-dua lelaki berusia 36 tahun dan 42 tahun itu, polis menahan dua wanita terbabit keesokan hari pada jam 12.30 malam.

JSJN percaya kemungkinan semua ditahan anggota sindiket pengedaran dadah mempunyai rangkaian antarabangsa.

“Kami akan lakukan siasatan lanjut dan kini keempat-empat warga asing terbabit direman untuk membantu siasatan.

“Ada kemungkinan lebih banyak tangkapan selepas ini tetapi ia bergantung kepada perkembangan siasatan kes,” katanya.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203094314/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...