Wednesday, December 3, 2008

Sindiket pelacur cair rintihan


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



TERSELAMAT...Yang (kiri) dan Feng menceritakan detik
cemas menjadi tawanan sindiket pelacuran di Puchong.


KUALA LUMPUR: Dua gadis yang diperdaya sebelum dipaksa menjadi pelacur ‘bikini’ tidak menyangka rintihan dan tangisan mereka secara berterusan selama 12 jam menjadi senjata paling ampuh untuk menundukkan beberapa ahli sindiket pelacuran.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 19 tahun 21 tahun menangis teresak-esak sambil melutut dan merayu supaya tidak dijadikan pelacur di sebuah pusat spa yang dipercayai terletak di Puchong di sini.

Difahamkan ratapan dan linangan air mata berterusan mangsa menyebabkan sindiket pelacuran terbabit ‘hilang semangat’ lalu membawa kedua-dua mereka pulang ke sebuah rumah untuk dikurung.

Kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa dikenali sebagai Feng Yu, 19, dan rakannya, Yang Zhen, 21, dipujuk seorang kenalan supaya datang ke Malaysia untuk bekerja di sebuah kilang.

Mangsa yang berasal dari daerah Wunan, China, ditawarkan gaji RM2,500 sebulan.

Selepas tiga bulan memikirkan tawaran itu, mangsa bersetuju terbang ke Malaysia dengan menampung sepenuhnya kos membuat pasport dan membeli tiket penerbangan ke negara ini.

Feng Yu berkata, sebaik sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 November lalu, mereka disambut seorang lelaki tempatan bernama Ah Keong yang menyamar ejen mencari pekerjaan.

Menurutnya, lelaki terbabit membawa mereka ke sebuah pangsapuri di sekitar Puchong, namun tidak dibenarkan keluar dari rumah itu.

“Kami dikurung di rumah terbabit seperti tawanan perang dan tidak diberikan makanan. Akibatnya kami berlapar dua hari dua malam sebelum lelaki terbabit sekadar memberikan nasi bungkus untuk mengalas perut.

“Saya cuba melarikan diri, namun gagal malah beberapa kali diugut akan dipukul sekiranya masih berhajat memboloskan diri,”
katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa mangsa tidak mungkin bebas daripada cengkamannya berikutan dia mendakwa mempunyai kenalan di kalangan polis dan kakitangan kedutaan.

Feng Yu berkata, lelaki terbabit bagaimanapun muncul pada Sabtu lalu dan mengarahkan dia dan Yang Zhen mengikutnya ke sebuah pusat rawatan spa mewah tidak jauh dari pangsapuri itu.

“Sebaik dibawa masuk ke spa itu, kami terkejut apabila melihat 17 hingga 20 gadis berpakaian seksi dipercayai berkhidmat sebagai pelacur.

“Kebanyakan mereka berkeadaan separuh bogel dengan hanya memakai seluar dalam dan coli manakala sebahagian lagi memakai baju tidur nipis,” katanya.

Menurutnya, mereka yang dibawa memasuki spa terbabit melalui pintu belakang bangunan kemudian dipaksa menanggalkan pakaian dan hanya tinggal seluar dalam dan coli dan diberitahu akan menjadi pelacur di spa itu bersama gadis dari Vietnam, Thailand dan China lain.

Menurutnya, kata-kata itu menyebabkan mereka tersentak dan akibat ketakutan, dia dan rakan menangis sekuat-kuat hati di hadapan lelaki terbabit dan melutut meminta belas ihsan daripadanya sebelum dibawa ke sebuah pangsapuri lain di Taman Mutiara, Puchong.

“Ketika itu kami mendapat akal untuk melarikan diri dengan berpura-pura setuju menjadi pelacur sepenuh masa dan mungkin kerana percaya dengan lakonan itu, lelaki terbabit memulangkan pasport kami dan memberitahu akan menghantar mereka ke spa keesokan harinya.

“Kami berpeluang melarikan diri ketika lelaki terbabit keluar seketika dari rumah sekitar jam 10 malam Ahad lalu, sebelum kami terserempak seorang penghuni pangsapuri itu lalu meminta pertolongan,”
katanya.

Difahamkan mangsa yang berjaya diselamatkan itu dihantar pulang ke negara asal melalui KLIA petang semalam oleh beberapa individu yang prihatin.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203094924/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...