Friday, November 28, 2008

Pulau Pinang catat bilangan penagih yang dikesan paling tinggi

Jumaat November 28, 2008

KUALA LUMPUR: Pulau Pinang mencatat bilangan penagih dadah yang dikesan (penagih baru dan berulang) paling tinggi dari Januari hingga Ogos tahun ini iaitu seramai 734 orang mengatasi negerinegeri lain, menurut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).


Ketua Pengarah AADK, Datuk Bakir Zin berkata ia diikuti oleh Wilayah Persekutuan dengan 702 penagih, Johor (501), Ipoh (314), Kedah (301) dan Selangor (171).


"Kita akan sentiasa memantau keadaan ini dari masa ke masa dan memberi penekanan atau fokus yang lebih terhadap negeri ini (Pulau Pinang) dengan memperbanyakkan program membanteras dadah," katanya selepas merasmikan sukan AADK di Universiti Malaya di sini hari ini.


Bakir berkata bilangan penagih dadah yang dikesan di seluruh negara setakat Ogos tahun ini menurun berbanding tempoh yang sama tahun lepas apabila hanya 8,870 penagih dicatatkan.


"Tahun lepas (Januari-Ogos), 10,800 orang penagih dikesan. Ini menunjukkan perkembangan positif terhadap usaha kita selama ini," katanya.


Beliau berkata golongan penganggur yang berumur antara 19 dan 39 tahun adalah yang paling ramai dikesan.


Bakir berkata tahun depan AADK akan menambah 1,300 anggota baru yang akan ditempatkan di seluruh negara termasuk di pusatpusat serenti bagi memperkasakan peranan dan perkhidmatan agensi itu.


"Dari segi logistik, kita akan memperbesarkan pejabat-pejabat AADK di seluruh negara dan menambah kenderaan mengikut keperluan. Kemudahan IT juga akan ditambah dalam usaha memantapkan pengurusan pentadbiran," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/28/mstar_berita/20081128170738&sec=mstar_berita

Elak episod Isa Samad berulang


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mahu kes membabitkan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad yang menang pada pemilihan parti 2004 lalu dan kemudiannya dilucutkan akibat politik wang, berulang pada pemilihan Mac depan.

Berikutan itu, Abdullah meminta supaya Lembaga Disiplin Umno menyelesaikan semua kes berkaitan politik wang sebelum pemilihan itu bagi mengelakkan parti berdepan masalah pada masa depan.

Beliau yang juga Presiden Umno, berkata setiap calon bertanding sepatutnya sedia maklum bahawa jika menang pada pemilihan itu, mereka berdepan nasib sama seperti Isa jika didapati terbabit dalam gejala itu.

“Saya harap keputusan Lembaga Disiplin Umno dapat putuskan (siasatan) dengan cepat supaya tindakan diambil segera dan tidak berlaku lagi seperti dulu selepas keputusan (pemilihan) dicapai, orang yang memegang jawatan bila digantung, menyebabkan berlaku kekosongan jawatan dan kekurangan tenaga dalam Majlis Tertinggi Umno.


“Ini bermakna jawatan dimenangi selepas susah payah berkempen tidak jadi milik mereka. Ini satu kerugian pada mereka sendiri,”
katanya pada sidang media di majlis Anugerah Kualiti Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.


Beliau diminta mengulas mengenai siasatan yang dijalankan Lembaga Disiplin Umno berhubung aduan mengenai politik wang menjelang pemilihan parti itu Mac depan.

Abdullah berkata, langkah terbaik perlu dilakukan semua calon bertanding ialah menyerahkan keputusan kepada perwakilan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128090240/Article/index_html

Anak pegawai, ibu pengemis

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my



KANGAR: Seorang anggota kerajaan kumpulan A dipercayai tidak memperdulikan nasib kedua ibu bapanya, malah paling menyedihkan membiarkan kedua orang tuanya itu mengemis.

Pasangan warga emas dari Kodiang, Kedah itu dikesan mengemis di pasar malam di sini, sebelum ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyuarakat (JKM) Perlis dalam ‘Ops Menyelamat’, malam kelmarin.

Timbalan Pengarah JKM negeri, Mastura Abdul Rahim, berkata pihaknya sedih mendapati anak pasangan warga emas ini berjawatan tinggi tetapi tidak memperdulikan nasib ibu bapa mereka dan membiarkan mengemis menagih simpati orang ramai.

“Pasangan warga emas berusia 60-an itu dari Kodiang, Kedah, ditahan sedang mengemis di pasar malam berhampiran Stadium Utama Negeri, jam 8.45 malam.

“Pasangan terbabit turut menerima bantuan bulanan daripada JKM daerah Kubang Pasu tetapi tetap mengemis,” katanya dalam sidang media selepas mengetuai operasi itu di Ibu Pejabat JKM.

Seramai sembilan pengemis dan kutu rayau ditahan dalam operasi selama tiga jam bermula jam 8.30 malam, membabitkan 40 anggota daripada enam agensi penguatkuasa.

Turut ditahan dua warga emas dari Thailand yang masuk ke negara ini untuk tujuan mengemis. Kegiatan ‘pengemis antarabangsa’ itu dipercayai didalangi sindiket tempatan.

Mastura berkata, sembilan pengemis iaitu lima lelaki dan empat wanita, termasuk pasangan warga emas yang mempunyai anak yang bekerja sebagai pegawai kerajaan dalam kumpulan A itu ditahan dalam operasi khas di sekitar bandar ini.

Menurutnya, selain memberi khidmat kaunseling kepada pengemis terbabit, pihaknya mengadakan perjumpaan dengan waris masing-masing bagi mendapat gambaran sebenar berhubung tindakan mereka.

Katanya, selain anggota penguatkuasa JKM, Ops Menyelamat itu turut disertai polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dalam operasi terbabit, pihaknya menahan dua warga emas dari Thailand yang sedang mengemis.

Menurutnya, dua warga Thailand itu menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk dan mengemis di pasar malam di sini. Perbuatan mereka dipercayai didalangi warga tempatan.

“Mengikut rekod, mereka kerap masuk ke sini untuk tujuan mengemis, mampu untuk memperoleh pendapatan sehingga RM50 dalam tempoh beberapa jam saja,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128090725/Article/index_html

Konsep layan diri

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my



SERAH...Jamarulkhan (kanan) Ramalingam menyerahkan
cenderahati kepada Mohd Asri, semalam.


PETALING JAYA: Restoran India Muslim, India di negara ini mungkin menggunakan konsep layan diri kepada pelanggan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jamarulkhan Kadir, berkata itu antara langkah dicadangkan pihaknya bersama Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) bagi menangani masalah kebanjiran warga asing yang menjadi pekerja di restoran naungan persatuan terbabit.

Katanya, cadangan itu dibuat selepas kerajaan mengumumkan mengurangkan jumlah lambakan warga asing secara beransur-ansur daripada 2.2 juta kepada 1.5 juta menjelang 2015.

“Cadangan ini dikemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia bersama cadangan lain dan kami difahamkan pihak kementerian membuat kajian mengenainya.

“Restoran di bawah naungan Presma dan Primas mempunyai pekerja asing berjumlah 35,000 orang. Jika jumlah pekerja asing dikurangkan, ia menimbulkan masalah pengusaha restoran kerana sukar mencari rakyat tempatan bekerja di sektor ini.

“Jadi, konsep layan diri seperti dilaksanakan di stesen petrol dirasakan sesuai,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Presma dan Primas di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Tenaga Kerja, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Mohd Asri Abdul Wahab dan Presiden Primas, Datuk R Ramalingam Pillai.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128090952/Article/index_html

Minda: Hikmah sebalik musibah

Susunan Hashim Ahmad


UMAT manusia sentiasa ditimpa musibah, malah sesetengah secara berturut-turut. Dari pandangan Islam, setiap musibah sama ada berupa bencana alam atau akibat kelalaian manusia, semua terjadi kerana ditakdirkan Allah s.w.t.

Berat mata memandang, tetapi memang tak seberat bahu memikul. Suka atau tidak, kehidupan harus terus berjalan.

Oleh itu, pasti ada hikmah yang dapat diambil daripada pelbagai kejadian menimpa kerana Dia yang Maha Adil dan Penyayang pasti tidak akan berbuat aniaya.

Ibnu Qayyim berkata: “Andaikata kita dapat menggali hikmah Allah yang terkandung dalam ciptaan dan urusan-Nya, maka kita akan dapati tidak kurang ribuan hikmah. Namun akal kita sangat terbatas. Pengetahuan kita terlalu sedikit dan ilmu semua makhluk akan sia-sia berbanding ilmu Allah sebagaimana sinar lampu yang sia-sia di bawah sinar matahari. Dan ini pun hanya kira-kira. Yang sebenarnya tentu lebih daripada sekadar gambaran ini.”

Antara hikmah Allah yang dapat dikutip ialah:

Sabar menghadapi kesulitan dan kesusahan

Allah berfirman bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Innalilahi wainna ilaihi rojiun’ (Sesungguhnya semua berasal daripada Allah dan akan kembali kepada-Nya). Mereka itulah mendapat keberkahan yang sempurna dan rahmat daripada Rabb mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 155-157)

Menghapuskan dosa dan kesalahan

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan apa saja musibah yang menimpamu maka adalah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahanmu).” (Surah Asy-Syura: Ayat 30)

Daripada Abu Hurairah dan Abu Sa’id r.a, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundahan hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada kesalahannya.” (Hadis Riwayat: Bukhari)

Dicatat sebagai kebaikan dan darjat ditinggikan

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim tertusuk duri atau yang lebih daripada melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu darjat dan dihapuskan pula satu kesalahan daripadanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jalan menuju syurga

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Syurga itu dikelilingi dengan hal yang tidak disukai dan neraka itu dikelilingi pelbagai syahwat.” (Hadis Riwayat: Bukhari dan Muslim)

Allah berfirman dalam sebuah hadis qudsi bermaksud: “Tidaklah ada suatu balasan yang lebih pantas di sisi-Ku bagi hamba-Ku yang beriman, jika Aku mencabut nyawa kesayangannya daripada penduduk dunia kemudian dia bersabar atas kehilangan orang kesayangnnya itu, melainkan syurga.” (Hadis Riwayat: Bukhari)

Membawa keselamatan daripada api neraka

Sabda Rasulullah bermaksud: “Janganlah kamu mencaci dan memaki penyakit demam kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi.” (Hadis Riwayat: Muslim)

Mengembalikan hamba kepada Rabbnya dan mengingatkan kelalaiannya

Allah berfirman: “Dan sesungguhnya Kami mengutus Rasul kepada umat sebelum- mu, kemudian Kami timpa mereka dengan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk dan merendahkan diri.” (Surah Al-An’am: Ayat 42)

Mengingat nikmat Allah yang lalu dan yang ada

Seorang penyair berkata: “Seseorang tidak mengenali tanda sihat selagi dia belum tertimpa sakit.

Mengingat keadaan saudara ditimpa musibah

Antara hikmah Allah, Dia menimpakan cubaan berupa penyakit dan penderitaan kepada orang mukmin pada waktu tertentu, agar dia mengingat saudaranya yang ditimpa kesulitan.

Mensucikan hati

Ibnu Qayyim r.a berkata: “Hati dan roh dapat mengambil manfaat daripada penderitaan dan penyakit adalah urusan tidak dapat dirasakan kecuali jika di dalamnya ada kehidupan. Kebersihan hati dan roh tergantung kepada penderitaan badan dan kesulitannya.” (Tuhfatul Mariidh)

Cubaan dan ujian adalah nikmat

Rasullullah menyebutkan bahawa nabi ditimpa cubaan berupa penyakit, kemiskinan dan yang lainnya kemudian baginda bersabda bermaksud: “Dan sesungguhnya seorang antara mereka benar-benar gembira kerana mendapat cubaan seperti seorang merasa gembira kerana mendapatkan kelapangan.” (Hadis Riwayat: Ibnu Majah)

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128091736/Article/index_html

Nazri ulas isu imuniti raja-raja

KUALA LUMPUR: Isu mengembalikan imuniti raja-raja hanya akan dibincangkan dan dikaji secara serius oleh Kabinet sekiranya terdapat permintaan daripada Majlis Raja-Raja, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam.

Berikutan itu, katanya kenyataan Pemangku Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Tuanku Jaafar mengenai isu itu kelmarin, tidak memerlukan Kabinet membincang dan meneliti perkara itu.

“Pada pendapat saya, perkara ini ditimbulkan baginda semata-mata kerana Yang diPertuan Besar didapati berhutang dalam keputusan dibuat panel khas hakim baru-baru ini, jadi baginda ada kepentingan dalam perkara ini.

“Saya tidak fikir ia ada kaitan dengan imuniti dari segi bagi membolehkan mereka menjadi tonggak keadilan...saya tidak fikir saya akan memandang serius titah baginda itu,”
katanya di Parlimen di sini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128091855/Article/index_html

Suami Zakiah mahu berbincang


Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


MANIS...Zakiah sempat menguntum senyum ketika keluar
dari Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam.



SHAH ALAM: Pengacara popular rancangan 999 terbitan TV3, Zakiah Anas, 42, yang memfailkan permohonan cerai terpaksa menunggu hampir sebulan lagi untuk mendengar kes terbabit disebabkan suaminya tidak hadir prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Hakim Syarie Tuan Kamarulzaman Ali membenarkan penangguhan itu sejurus peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Zakiah sebagai plaintif mengesahkan ketidakhadiran Mohamad Yusof Mohamad Taib, 46, kerana tidak bersedia dengan permohonan itu.

Ini terkandung dalam perbualan telefon antara Azmi dan Mohamad Yusof kelmarin apabila defendan meminta kes itu ditangguhkan untuk membolehkan kedua-dua pihak berbincang secara baik.

“Pihak defendan sudah menerima saman pada petang 23 November lalu dan menghantar beberapa SMS. Pada dasarnya dia tidak bersetuju dengan tuntutan itu.

“Dia pohon tarikh seterusnya untuk berbincang dengan plaintif. Sekiranya ada penyelesaian saya tidak menolak dan memberi peluang kepada defendan.

“Defendan tidak mahu hadir kerana dia memberitahu saya yang dia tidak bersedia dengan permohonan itu tetapi dia mahu saya menyebut bagi pihaknya sekali.

“Saya memberitahu defendan tidak mengapa kerana kes berkenaan sebutan kali pertama hari ini (semalam). Saya beri laluan kepadanya, mungkin defendan boleh bincang dengan plaintif secara baik,” kata Azmi.

Kamarulzaman kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada jam 3 petang, 23 Disember ini.

Sementara itu, Zakiah dilihat hadir ke mahkamah kira-kira jam 11 pagi bersama beberapa ahli keluarga sebelum tampil ke hadapan hakim sejurus kesnya disebut setengah jam kemudian.

Bagaimanapun, kelibat Mohamad Yusof tidak kelihatan sebelum Azmi mengesahkan defendan tidak hadir bagi mendengar sebutan kes permohonan cerai itu.

Sejurus selesai kira-kira jam 11.50 pagi, Zakiah yang ditemui enggan mengulas mengenai permohonan cerai yang difailkan pada 31 Oktober lalu itu.

Azmi pula memberitahu wartawan anak guamnya membuat permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

“Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada kedua-duanya ingin menyelesaikan masalah di luar mahkamah tetapi defendan ada memohon untuk berbincang dengan isterinya,” katanya.

Zakiah yang hampir 20 tahun menjadi pengacara di TV3 mendirikan rumah tangga bersama Mohamad Yusof sejak 15 tahun lalu dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki berusia 12 dan 14 tahun.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128092217/Article/index_html

Sindiket upah juruwang jual data pemilik kad kredit


KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan kad kredit dikesan menggunakan juruwang kaunter sebagai orang upahan untuk mendapatkan maklumat pemilik wang plastik itu sebelum mereka menggunakan akaun milik mangsa untuk membuat tempahan tiket kapal terbang, hotel dan membeli barangan mewah.

Perbuatan menggunakan orang upahan itu terbongkar apabila empat wanita yang juga pekerja juruwang kaunter ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman selepas mereka didapati menjual data pemilik kad kredit kepada ahli sindiket terbabit.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun, berkata empat wanita berusia 22 hingga 27 tahun itu masing-masing ditahan di Selangor dan Sarawak.

Menurutnya, polis kini mengesan empat lagi inidividu bagi membantu siasatan dalam kes penipuan kad kredit terbabit.

Empat individu terbabit yang dikesan polis adalah Faizal Bijarnie Bijuri, 34; dua adiknya, Bisrafel, 31, dan Farihan Hatmi, 28, serta isteri Bisrafel, Sabariah Alias, 27.

Koh berkata, modus operandi sindiket ini mengupah juruwang termasuk restoran dan hotel untuk mendapatkan butiran kad kredit pelanggan dan kemudian menggunakan data itu membuat transaksi dalam Internet seperti menempah tiket penerbangan dan hotel termasuk di luar negara.

“Penipuan mereka ini menyebabkan 22 bank dan tujuh syarikat penerbangan terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.

“Kami sudah memaklumkan masalah itu kepada pihak Visa dan Mastercard serta Interpol sebagai langkah berwaspada dan membantu mengesan individu terbabit.” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bukit Perdana, semalam.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan yang membabitkan penipuan kad kredit secara klon, 10 ahli sindiket terbabit ditahan masing-masing lapan orang di Pulau Pinang serta Kedah manakala dua lagi di Sabah.

Menurut Koh, mereka yang ditahan itu berusia 21 hingga 24 tahun termasuk seorang daripadanya wanita.

“Ahli sindiket terbabit dikesan mencuri nombor akaun kad kredit dan mengklonkan kad atau menjual data itu kepada pihak tertentu melalui e-mel atau SMS.

“Ada antara mereka juga menghantar orang tengah ke luar negara untuk berbelanja termasuk membeli pelbagai barangan berharga menggunakan kad kredit palsu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128092400/Article/index_html

Penipu identiti curi duit

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my




KUALA LUMPUR: Sekumpulan penjenayah berupaya menyamar menggunakan identiti orang lain bagi membuat MyKad, lesen memandu dan juga membuka akaun bank sebelum mengeluarkan wang milik setiap mangsa untuk berjoli bagaikan orang kaya.

Namun, perbuatan itu terbongkar apabila seorang daripada ahli sindiket terbabit ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman awal bulan ini.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun, berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan polis di Selangor selepas dia dikesan menggunakan identiti orang lain untuk menjalankan penipuan yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

“Dengan tertangkapnya lelaki itu, polis kini memburu beberapa lagi ahli sindiket terbabit termasuk seorang dalang yang dikenali sebagai Chan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, sembilan laporan berhubung kes itu diterima di Lembah Klang membabitkan akaun dua atau tiga bank,”
katanya pada sidang media di pejabatnya di Bukit Perdana, dekat sini, semalam.

Menurutnya, ahli sindiket terbabit menggunakan Mykad yang memaparkan wajah mereka, namun identitinya milik orang lain sebelum membuka akaun bank.

“Kami (polis) masih menyiasat secara menyeluruh dan dari setiap sudut termasuk kemungkinan pembabitan orang dalam,” katanya.

Difahamkan, anggota sindiket itu menggunakan MyKad palsu bagi membolehkan mereka membuka akaun baru dan kemudian membuat permohonan menghubungkannya ke akaun asal mangsa sebelum mencuri wang itu dengan membuat pindahan antara akaun.

Sehubungan itu, polis kini mengesan dalang utama yang dikenali sebagai Chan Sek Man, 38 yang beralamat di No 10, Lorong Bendera 2A-4, Taman Seri Bukit Bendera, Mentakab, Pahang.

Menurut Koh, seorang lagi lelaki yang menggunakan nama samaran Ah Seng diburu bersama dua wanita yang tidak diketahui identiti sebenar mereka.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis mengesan dua beradik dikenali C Kamaleshwaran, 29, yang menggunakan nama samaran Datuk Kadi dan abangnya, Yoganadha Moorthy, 34, atau nama samarannya Steven Raj berhubung 25 kes penipuan cek tendang di Pulau Pinang, Kedah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai semua suspek terbabit diharap dapat menghubungi polis bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128092426/Article/index_html

Kes Willis selesai


Willis


LOS ANGELES - Aktor filem Die Hard, Bruce Willis memperoleh semula wangnya sebanyak AS$900,000 (RM3.2 juta) selepas dia memfailkan tuntutan undang-undang bagi mendapat wang pelaburan dalam sebuah syarikat Malaysia.

Peguam Willis, Martin Singer berkata, saman yang dikemukakan di sebuah mahkamah di Los Angeles ke atas Petra Group itu sudah diselesaikan secara baik.


Menurut Petra Group, Willis membuat pelaburan sebanyak AS$2 juta (RM7.23 juta) terhadap anak syarikatnya, Green Rubber pada tahun lalu.

Green Rubber ialah sebuah syarikat yang memajukan teknologi mengitar semula tayar lama.

Petra Group memulangkan semula AS$1.1 juta (RM3.97 juta) pada awal tahun ini selepas Willis bertindak menarik pelaburannya.

Pada minggu lalu, pelakon itu mengemukakan saman ke atas Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Datuk Vinod B. Sekhar iaitu prinsipal utama Petra Group, bagi memperoleh semula baki AS$900,000 berserta faedah dan lain-lain ganti rugi.

Menurut Singer, Willis masih menjadi seorang pemegang saham dalam Green Rubber. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_11.htm

Dihukum buta di Iran

TEHERAN – Sebuah mahkamah di Iran mengarahkan seorang lelaki dibutakan mata selepas dia menyebabkan seorang wanita buta apabila menyimbah asid ke muka mangsa yang menolak pinangannya.

Sebuah mahkamah di Teheran kelmarin menjatuhkan hukuman tersebut menurut undang-undang Islam terhadap tertuduh, Majid, 27, yang mengaku salah menyimbah asid ke muka seorang wanita, Ameneh Bahrami, empat tahun lalu.

Walaupun menjalani rawatan di Sepanyol sejak beberapa tahun lalu, wanita malang itu hilang penglihatan di kedua-dua belah mata. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Anak profesional, bapa pengemis

Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my



KAKITANGAN Jabatan Kebajikan Masyarakat memujuk seorang warga emas dalam satu operasi bersepadu menyelamat pengemis dan kutu rayau di Pasar Malam Kangar, Perlis semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

KANGAR - Sepasang suami isteri yang cacat penglihatan dan mempunyai anak berjawatan besar adalah antara sembilan yang ditahan dalam Ops Selamat yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sekitar bandar ini kelmarin.

Timbalan Pengarah JKM Perlis, Mastura Abdul Rahim berkata, pasangan berusia sekitar 60 tahun itu adalah penerima bantuan bulanan jabatan itu sebanyak RM300 setiap bulan.

"Siasatan awal mendapati pasangan yang berasal dari Kodiang, Kedah itu juga mempunyai anak berjawatan tinggi dalam kumpulan pengurusan dan profesional," katanya.

Mastura memberitahu, berdasarkan aduan orang ramai, JKM mengadakan operasi bersepadu membabitkan lima agensi penguat kuasa yang lain termasuk polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Imigresen.

"Dalam operasi membabitkan 40 anggota yang bermula pukul 9 malam, JKM menahan sembilan pengemis," katanya di sini kelmarin.

Mastura menambah, ada di antara pengemis yang ditahan itu dipercayai datang dari Pulau Pinang untuk mengemis di pasar-pasar malam di sini kerana ia menjanjikan pendapatan lumayan.

"Kebanyakan mereka merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) warga emas dan kehadiran mereka diuruskan oleh pihak tertentu termasuk oleh anggota keluarga sendiri.

"Mereka yang ditahan telah diserah kepada waris-waris dan kaunseling kepada anggota keluarga yang menggunakan pengemis itu turut diadakan," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_14.htm

Lelaki bandar gemuk, berpenyakit - MSASAM


BERAT badan berlebihan boleh mengundang pelbagai
penyakit. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Lelaki bandar gemuk dan berpenyakit!
Itulah hasil kajian Persatuan Andrologi Malaysia dan Kajian Penuaan Lelaki (MSASAM) yang mendapati 77 peratus lelaki yang berusia di antara 40 dan 70 tahun mengalami berat badan berlebihan di negara ini.

Ekoran daripada masalah tersebut juga sebanyak 48 peratus daripada golongan itu menghidapi darah tinggi, kencing manis (28 peratus) penyakit jantung (12 peratus), prostat (30 peratus) dan 59.4 peratus mengalami disfungsi ereksi (ED) atau mati pucuk.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, (KPWKM), Datuk Dr. Ng Yen Yen berkata, walaupun kajian tersebut diadakan di Subang dan Kelana Jaya, Selangor, tetapi ia merupakan gambaran sebenar tahap kesihatan lelaki di Malaysia.

"Ini punca jangka hayat lelaki lebih singkat berbanding wanita iaitu kira-kira lima hingga tujuh tahun dan berdasarkan penyelidikan ini mendapati, sikap kaum lelaki terhadap kepentingan menjaga kesihatan juga menjadi punca kepada masalah itu.

"Keengganan untuk mendapatkan bantuan dan bimbang dianggap lemah turut menyebabkan tahap kesihatan yang rendah, malah Akademi Pakar Perubatan Keluarga Amerika mengesahkan terdapat 30 sikap yang boleh menyebabkan mereka berisiko mendapat penyakit," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_13.htm

Awas juruwang curi data kad kredit


HONG SUN (kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang
media di Bilik Gerakan Kompleks Kerajaan, Bukit Perdana semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Perbuatan empat juruwang hotel dan restoran yang bersekongkol dengan sebuah sindiket bagi mencuri data kad kredit pelanggan untuk diklon mengundang padah apabila mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di seluruh negara.

Serbuan yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu itu bermula sebaik polis menjalankan siasatan selepas menerima maklumat dan laporan dari beberapa mangsa mengenai kegiatan tersebut.

Melalui serbuan itu, polis dapat menumpaskan tiga sindiket yang beroperasi di lima buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak dan Sabah dengan menahan 11 lelaki serta lima wanita berusia antara 22 dan 44 tahun.

Sindiket yang beroperasi sejak awal tahun itu telah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit dengan menjual maklumat dan data kad kredit mangsa melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sindiket-sindiket itu pula tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun berkata, selain itu, sindiket juga akan menempah tiket kapal terbang dan bilik hotel di luar negara melalui internet beberapa minit mendapat data mangsa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Kena lebih 200 jahitan di kepala - Wanita warga emas parah diserang lelaki dikenali

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my



BEGINILAH keadaan Che Rokiah ketika dirawat di HRPZ II Kota Bharu akibat diserang di rumahnya di Bendang Pauh, Pasir Mas semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU - Seorang wanita warga emas hampir menemui ajalnya akibat ditetak selepas bergelut dengan seorang lelaki yang merompak di rumahnya di Kampung Chetok, Bendang Pauh, dekat Pasir Mas, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Che Rokiah Salleh, 55, cedera parah di kepala dan mata kiri terpaksa menerima lebih 200 jahitan serta patah tulang hidung, selepas dipukul oleh suspek dengan menggunakan batang besi.

Mangsa ditemui berlumuran darah dan terlantar di dalam rumah oleh anaknya, Mohd. Zahar Yazid, 23, kira-kira 6.40 pagi selepas pulang dari menghantar pekerja kilang.

Che Rokiah ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu berkata, kejadian berlaku sebaik dia bangun dari tidur dan ke bilik air untuk mengambil wuduk.

"Sebaik saya keluar, saya mendapati suspek yang saya kenal sudah berada di dalam rumah dan terus bertindak memukul tengkuk saya hingga saya terjatuh.

"Lelaki terbabit bertindak menetak kepala saya bertubi-tubi dengan batang besi. Saya menjerit meminta tolong tetapi ketika itu saya hanya bersama cucu saya yang berusia 18 bulan,"
katanya.

Tambahnya, dia tidak berdaya untuk melawan dan lelaki itu terus meragut rantai lehernya yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000 sebelum melarikan diri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Musim tengkujuh punca ikan mahal

Oleh ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@kosmo.com.m
y



KERATAN Kosmo! 27 November.
--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Datuk Shahrir Abdul Samad menyifatkan kenaikan harga ikan terutamanya ikan yang dimakan rakyat biasa tidak dapat dielak memandangkan negara sekarang dilanda musim tengkujuh.">

Sambil mengakui pihaknya mengetahui mengenai perkara tersebut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu juga mendedahkan harga sayur-sayuran juga mengalami nasib yang sama disebabkan faktor musim tengkujuh.

"Ia disebabkan oleh faktor cuaca dan kementerian telah pun melakukan yang terdaya seperti mengimport bekalan ikan dan sayur, tetapi ia bukan jaminan harga tidak naik.

"Musim sekarang nelayan di kawasan Pantai Timur yang terdiri daripada nelayan pesisir pantai tidak dapat menangkap ikan sehingga menyebabkan bekalan kurang, tetapi permintaan pula meningkat,"
katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! semalam bahawa harga ikan meningkat sehingga 50 peratus dan merupakan rekod tertinggi sejak 10 tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Izinkan suami kahwin lain

Oleh HARADIAN SHAH
HAMDAN
haradianshah@kosmo.com.my



MOHD. NOR membetulkan tudung isterinya, Wook Kundur ketika ditemui di rumah mereka
di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


HULU TERENGGANU - Wanita berusia 106 tahun, Wook Kundur sedia membenarkan suaminya, Mohd. Nor Musa, 37, berkahwin dengan gadis yang lebih muda.

Bagaimanapun, dia mengenakan syarat yang suami dan madunya itu perlu menjaga dirinya dengan baik dan tidak mengabaikannya.

"Saya izinkan kalau dia nak kahwin lagi. Saya tak kisah bermadu walaupun dengan perempuan yang muda.

"Saya faham Mohd. Nor tentu ada keinginan untuk hidup dan ada isteri yang muda dan cantik. Cuma janganlah bila dah dapat yang baru yang lama ni dilupakan,"
katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, sini, semalam.

Kosmo! baru-baru ini menyiarkan kisah Wook dan Mohd. Nor yang hidup bahagia sebagai suami isteri walaupun dipisahkan dengan jarak usia 69 tahun.

Pasangan itu berkahwin kira-kira tiga tahun lalu selepas Wook mencadangkan perkara itu selepas Mohd. Nor yang menyewa di rumahnya banyak membantu kehidupan seharian wanita itu.

Mengulas mengenai 'lampu hijau' yang diberikan isterinya, Mohd. Nor mengakui dia memang mempunyai keinginan untuk berkahwin lagi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Exco Wanita: Memang Rafidah tak bincang pelan peralihan


Muda Mohd Noor Nov 27, 08 7:06pm

Seorang lagi exco Wanita Umno, Rosni Zahari turut menegaskan bahawa pelan peralihan kuasa pergerakan itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco sebelum ia diumumkan pada 4 Ogos lalu.

Beliau yang juga ketua Wanita Umno bahagian Maran berkata, perkara tersebut hanya dibincangkan dalam mesyuarat exco pada 25 September lalu.

"Kita (exco) tidak tahu adanya peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah Aziz dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009.

"Kita hanya tahu apabila Tan Sri Rafidah mengumumkan perkara tersebut di dalam majlis Wanita bersama pemimpin yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Rosni berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang lagi exco pergerakan itu Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah yang mendakwa pelan peralihan kuasa Wanita tidak pernah dibincangkan sebelum 4 Ogos.

"Tan Sri Rafidah mengumumkan secara terburu-buru di majlis tersebut yang turut dihadiri oleh perdana menteri di PWTC," katanya.

Rosni berkata, Shahrizat dan beberapa exco lain telah membangkitkan isu peralihan kuasa tersebut dalam mesyuarat exco yang diadakan pada 25 September.

'Akar umbi tak puas hati'

Shahrizat, katanya membangkitkan perkara tersebut kerana ahli Wanita di peringkat akar umbi menimbulkan perasaan tidak puas hati dengan pengumuman tersebut.

Sementara itu, seorang lagi exco Wanita yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, isu tersebut telah dibincangkan secara panjang lebar dalam mesyuarat exco Wanita yang diadakan pada 10 November.

Dalam mesyuarat tersebut, katanya, Rafidah mahu peralihan kuasa kekal pada bulan Jun 2009 tetapi Shahrizat mahu dipercepatkan kepada bulan Mac depan.

"Datuk Seri Shahrizat tidak setuju dan mahu membincangkannya terlebih dahulu dengan Datuk Kamila Ibrahim kerana beliau juga layak bertanding jawatan naib ketua.

"Bagaimanapun, Tan Sri Rafidah kata setuju dan meminta supaya pelan peralihan pada Jun depan diterima," katanya lagi.

Mengulas perkara ini, Rosni berkata, Kamilia dicalonkan oleh Wanita Perak dan Sabah kerana kedua-dua negeri tersebut menolak pelan peralihan kuasa tersebut.

Katanya, Wanita Perak yang mula-mul amencalonkan Kamilia dan kemudian diikuti oleh Wanita Sabah dan bahagian-bahagian di negeri lain..

Beliau mendapat 55 pencalonan, temasuk 18 pencalonan dari Perak dan 14 dari Sabah.

http://www1.malaysiakini.com/news/93886

Arak: MBSA sokong exco S'gor


Jimadie Shah Othman Nov 27, 08 6:36pm

kemaskini 7:56pm Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyambut baik keputusan kerajaan Selangor ingin mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa tempatan, NGO dan peniaga berhubung penguatkuasaan kawalan penjualan alkohol.

Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani berkata, isu berhubung penguatkuasan penjualan minuman keras di negeri itu perlulah diperhalusi supaya keputusan yang tepat dapat dibuat.

Tambahnya, di Shah Alam, walaupun MBSA telah memutuskan pembatasan jualan alkohol di kawasan perbandaran itu, penguatkuasaannnya masih belum dilaksanakan.

"Kita tidak mahu (tindakan) bercanggah dengan keputusan exco," kata Mohtar kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, kerajaan negeri memutuskan menangguhkan dasar membataskan jualan minuman keras oleh sebarang pihak berkuasa tempatan termasuk MBSA.

Majlis itu pada asalnya merancang menguatkuasakan dasar mengehadkan jualan alkohol Januari depan.

Mengulas bidang kuasa MBSA mengawal penjualan alkohol di negeri itu, Mohtar berkata, perkara itu masih kabur berbanding bidang kuasanya dalam hal-hal lain seperti pemberian lesen perniagaan, pengurusan bangunan dan tempat letak kenderaan.

Berhubung cadangan mengehadkan jualan alkohol di stesen minyak, kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam dan restoran, Mohtar berkata, penguatkuasaannya bukanlah di bawah bidang kuasa MBSA.

"Kita tidak boleh kuatkuasa. Kita hanya dibenarkan menguatkuasakan untuk alkohol lebih lima peratus sahaja," katanya.

Peranan majlis itu, tambahnya, hanyalah berbincang dan bekerjasama kerana perkara itu di bawah peruntukan pejabat daerah.

Terdapat dua pejabat daerah di kawasan itu, Pejabat Daerah Klang dan Pejabat Daerah Petaling Jaya.

Sementara itu, seorang ahli majlis PAS di kawasan perbandaran itu turut menyambut baik keputusan Selangor menangguhkan penguatkuasaan PBT itu untuk membolehkan perbincangan lanjut dilakukan terlebih dahulu.

"Pandangan exco lebih menyeluruh, mengambil kita seluruh Selangor. Kita (MBSA) cuma di peringkat Shah Alam sahaja," kata Norhalim Sirome kepada Malaysiakini.

Mengulas tindakan seorang ahli majlis semalam yang ingin mencadangkan perkara yang sama dalam mesyuarat Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam, Norhalim berkata, secara peribadinya beliau tidak bersetuju dengan tindakan itu.

"Di Klang (penduduknya) semua Cina. Di sini lain. Shah Alam OK, majoriti (penduduknya) Melayu," katanya.

Norhalim malah mencadangkan PBT lain menjadikan Shah Alam sebagai model sebelum memulakan di tempat masing-masing.

"Biar Shah Alam jadi contoh dulu. Buat satu-satu. Kita tengok dulu di Shah Alam macam mana. Nak buat di tempat lain juga terlalu awal. Baru lapan bulan (Pakatan Rakyat) memerintah," katanya

Mengulas lanjut cadangan yang asalnya dikemukakan wakil-wakil PAS itu, Norhalim berkata, penguatkuasaan yang dicadangkan hanya melibatkan kawasan-kawasa majoriti Melayu sahaja.

"Saya ingat, kita telah tandakan (kawasan) mengikut seksyen," katanya.

Kawasan itu, tambahnya, melibatkan 40 peratus daripada seluruh Shah Alam sahaja.

http://www1.malaysiakini.com/news/93880

Chua: Kita tidak terima Ketuanan Melayu

Nov 27, 08 4:36pm


Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini berkata konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah.

Katanya slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi.

"Kita menerima kepimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu," katanya dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya hari ini.

"Bila kita berkata tolak 'Ketuanan Melayu', kita bukannya mencabar hak-hak istimewa orang Melayu. Ianya terkandung dalam perlembagaan kita dan tiada siapa pun boleh mengenetapikan pada masa ini.

"Dalam cara yang sama, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Statusnya dilindungi dalam perlembagaan, dan tiada siapa pun yang boleh mengubahnya,"
kata Chua.

Beliau berkata, status tersebut diterima dan dihormati, maka "bila kita belajar bahasa lain atau memasang papan tanda dalam bahasa lain, ianya bukan mencabar status bahasa kebangsaan kita".

Sehubungan itu, Dr Chua menegaskan pentingnya mengubah pemikiran rakyat Malaysia supaya tidak menguasai 'satu bahasa' sahaja dalam dunia globalisasi IT.

"Kita perlu berdayasaing tinggi. Maka meningkat pembelajaran dan penguasaan adalah mengenai memperkayakan tenaga kerja kita, bukan (bermaksudn) lain," tambahnya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia mesti berubah dan kurang bersikap konfrontasi, kontroversial, emosi dalam isu-isu yang melewati batasan perkauman.

"Jika kita menjadi kurang emosi/konfrontasi dan lebih objektif, maka suhu politik di Malaysia akan lebih 'normal'.

"Mesti ada lebih konsensus, lebih bertolak ansur dan lebih asas kesaksamaan; bukan hubungan Tuan dan Hamba.

"Hak semua masyarakat terkandung dalam perlembagaan. Para pemimpin tidak semesti tahu semuanya. Mungkin hanya yang terbaik untuk mereka dan bukannya untuk rakyat,"
katanya.

Satu lagi perubahan yang diperlukan, katanya ialah bagi rakyat Malaysia berfikiran seperti rakyat Malaysia dan kurang berdasarkan garis perkauman.


http://www1.malaysiakini.com/news/93861
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...