Friday, November 28, 2008

Exco Wanita: Memang Rafidah tak bincang pelan peralihan


Muda Mohd Noor Nov 27, 08 7:06pm

Seorang lagi exco Wanita Umno, Rosni Zahari turut menegaskan bahawa pelan peralihan kuasa pergerakan itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco sebelum ia diumumkan pada 4 Ogos lalu.

Beliau yang juga ketua Wanita Umno bahagian Maran berkata, perkara tersebut hanya dibincangkan dalam mesyuarat exco pada 25 September lalu.

"Kita (exco) tidak tahu adanya peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah Aziz dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009.

"Kita hanya tahu apabila Tan Sri Rafidah mengumumkan perkara tersebut di dalam majlis Wanita bersama pemimpin yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Rosni berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang lagi exco pergerakan itu Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah yang mendakwa pelan peralihan kuasa Wanita tidak pernah dibincangkan sebelum 4 Ogos.

"Tan Sri Rafidah mengumumkan secara terburu-buru di majlis tersebut yang turut dihadiri oleh perdana menteri di PWTC," katanya.

Rosni berkata, Shahrizat dan beberapa exco lain telah membangkitkan isu peralihan kuasa tersebut dalam mesyuarat exco yang diadakan pada 25 September.

'Akar umbi tak puas hati'

Shahrizat, katanya membangkitkan perkara tersebut kerana ahli Wanita di peringkat akar umbi menimbulkan perasaan tidak puas hati dengan pengumuman tersebut.

Sementara itu, seorang lagi exco Wanita yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, isu tersebut telah dibincangkan secara panjang lebar dalam mesyuarat exco Wanita yang diadakan pada 10 November.

Dalam mesyuarat tersebut, katanya, Rafidah mahu peralihan kuasa kekal pada bulan Jun 2009 tetapi Shahrizat mahu dipercepatkan kepada bulan Mac depan.

"Datuk Seri Shahrizat tidak setuju dan mahu membincangkannya terlebih dahulu dengan Datuk Kamila Ibrahim kerana beliau juga layak bertanding jawatan naib ketua.

"Bagaimanapun, Tan Sri Rafidah kata setuju dan meminta supaya pelan peralihan pada Jun depan diterima," katanya lagi.

Mengulas perkara ini, Rosni berkata, Kamilia dicalonkan oleh Wanita Perak dan Sabah kerana kedua-dua negeri tersebut menolak pelan peralihan kuasa tersebut.

Katanya, Wanita Perak yang mula-mul amencalonkan Kamilia dan kemudian diikuti oleh Wanita Sabah dan bahagian-bahagian di negeri lain..

Beliau mendapat 55 pencalonan, temasuk 18 pencalonan dari Perak dan 14 dari Sabah.

http://www1.malaysiakini.com/news/93886

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...