Friday, November 28, 2008

Suami Zakiah mahu berbincang


Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


MANIS...Zakiah sempat menguntum senyum ketika keluar
dari Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam.



SHAH ALAM: Pengacara popular rancangan 999 terbitan TV3, Zakiah Anas, 42, yang memfailkan permohonan cerai terpaksa menunggu hampir sebulan lagi untuk mendengar kes terbabit disebabkan suaminya tidak hadir prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Hakim Syarie Tuan Kamarulzaman Ali membenarkan penangguhan itu sejurus peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Zakiah sebagai plaintif mengesahkan ketidakhadiran Mohamad Yusof Mohamad Taib, 46, kerana tidak bersedia dengan permohonan itu.

Ini terkandung dalam perbualan telefon antara Azmi dan Mohamad Yusof kelmarin apabila defendan meminta kes itu ditangguhkan untuk membolehkan kedua-dua pihak berbincang secara baik.

“Pihak defendan sudah menerima saman pada petang 23 November lalu dan menghantar beberapa SMS. Pada dasarnya dia tidak bersetuju dengan tuntutan itu.

“Dia pohon tarikh seterusnya untuk berbincang dengan plaintif. Sekiranya ada penyelesaian saya tidak menolak dan memberi peluang kepada defendan.

“Defendan tidak mahu hadir kerana dia memberitahu saya yang dia tidak bersedia dengan permohonan itu tetapi dia mahu saya menyebut bagi pihaknya sekali.

“Saya memberitahu defendan tidak mengapa kerana kes berkenaan sebutan kali pertama hari ini (semalam). Saya beri laluan kepadanya, mungkin defendan boleh bincang dengan plaintif secara baik,” kata Azmi.

Kamarulzaman kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada jam 3 petang, 23 Disember ini.

Sementara itu, Zakiah dilihat hadir ke mahkamah kira-kira jam 11 pagi bersama beberapa ahli keluarga sebelum tampil ke hadapan hakim sejurus kesnya disebut setengah jam kemudian.

Bagaimanapun, kelibat Mohamad Yusof tidak kelihatan sebelum Azmi mengesahkan defendan tidak hadir bagi mendengar sebutan kes permohonan cerai itu.

Sejurus selesai kira-kira jam 11.50 pagi, Zakiah yang ditemui enggan mengulas mengenai permohonan cerai yang difailkan pada 31 Oktober lalu itu.

Azmi pula memberitahu wartawan anak guamnya membuat permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

“Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada kedua-duanya ingin menyelesaikan masalah di luar mahkamah tetapi defendan ada memohon untuk berbincang dengan isterinya,” katanya.

Zakiah yang hampir 20 tahun menjadi pengacara di TV3 mendirikan rumah tangga bersama Mohamad Yusof sejak 15 tahun lalu dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki berusia 12 dan 14 tahun.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128092217/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...