Friday, November 28, 2008

Penipu identiti curi duit

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my




KUALA LUMPUR: Sekumpulan penjenayah berupaya menyamar menggunakan identiti orang lain bagi membuat MyKad, lesen memandu dan juga membuka akaun bank sebelum mengeluarkan wang milik setiap mangsa untuk berjoli bagaikan orang kaya.

Namun, perbuatan itu terbongkar apabila seorang daripada ahli sindiket terbabit ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman awal bulan ini.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun, berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan polis di Selangor selepas dia dikesan menggunakan identiti orang lain untuk menjalankan penipuan yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

“Dengan tertangkapnya lelaki itu, polis kini memburu beberapa lagi ahli sindiket terbabit termasuk seorang dalang yang dikenali sebagai Chan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, sembilan laporan berhubung kes itu diterima di Lembah Klang membabitkan akaun dua atau tiga bank,”
katanya pada sidang media di pejabatnya di Bukit Perdana, dekat sini, semalam.

Menurutnya, ahli sindiket terbabit menggunakan Mykad yang memaparkan wajah mereka, namun identitinya milik orang lain sebelum membuka akaun bank.

“Kami (polis) masih menyiasat secara menyeluruh dan dari setiap sudut termasuk kemungkinan pembabitan orang dalam,” katanya.

Difahamkan, anggota sindiket itu menggunakan MyKad palsu bagi membolehkan mereka membuka akaun baru dan kemudian membuat permohonan menghubungkannya ke akaun asal mangsa sebelum mencuri wang itu dengan membuat pindahan antara akaun.

Sehubungan itu, polis kini mengesan dalang utama yang dikenali sebagai Chan Sek Man, 38 yang beralamat di No 10, Lorong Bendera 2A-4, Taman Seri Bukit Bendera, Mentakab, Pahang.

Menurut Koh, seorang lagi lelaki yang menggunakan nama samaran Ah Seng diburu bersama dua wanita yang tidak diketahui identiti sebenar mereka.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis mengesan dua beradik dikenali C Kamaleshwaran, 29, yang menggunakan nama samaran Datuk Kadi dan abangnya, Yoganadha Moorthy, 34, atau nama samarannya Steven Raj berhubung 25 kes penipuan cek tendang di Pulau Pinang, Kedah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai semua suspek terbabit diharap dapat menghubungi polis bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128092426/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...