Friday, November 28, 2008

Sindiket upah juruwang jual data pemilik kad kredit


KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan kad kredit dikesan menggunakan juruwang kaunter sebagai orang upahan untuk mendapatkan maklumat pemilik wang plastik itu sebelum mereka menggunakan akaun milik mangsa untuk membuat tempahan tiket kapal terbang, hotel dan membeli barangan mewah.

Perbuatan menggunakan orang upahan itu terbongkar apabila empat wanita yang juga pekerja juruwang kaunter ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman selepas mereka didapati menjual data pemilik kad kredit kepada ahli sindiket terbabit.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun, berkata empat wanita berusia 22 hingga 27 tahun itu masing-masing ditahan di Selangor dan Sarawak.

Menurutnya, polis kini mengesan empat lagi inidividu bagi membantu siasatan dalam kes penipuan kad kredit terbabit.

Empat individu terbabit yang dikesan polis adalah Faizal Bijarnie Bijuri, 34; dua adiknya, Bisrafel, 31, dan Farihan Hatmi, 28, serta isteri Bisrafel, Sabariah Alias, 27.

Koh berkata, modus operandi sindiket ini mengupah juruwang termasuk restoran dan hotel untuk mendapatkan butiran kad kredit pelanggan dan kemudian menggunakan data itu membuat transaksi dalam Internet seperti menempah tiket penerbangan dan hotel termasuk di luar negara.

“Penipuan mereka ini menyebabkan 22 bank dan tujuh syarikat penerbangan terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.

“Kami sudah memaklumkan masalah itu kepada pihak Visa dan Mastercard serta Interpol sebagai langkah berwaspada dan membantu mengesan individu terbabit.” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bukit Perdana, semalam.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan yang membabitkan penipuan kad kredit secara klon, 10 ahli sindiket terbabit ditahan masing-masing lapan orang di Pulau Pinang serta Kedah manakala dua lagi di Sabah.

Menurut Koh, mereka yang ditahan itu berusia 21 hingga 24 tahun termasuk seorang daripadanya wanita.

“Ahli sindiket terbabit dikesan mencuri nombor akaun kad kredit dan mengklonkan kad atau menjual data itu kepada pihak tertentu melalui e-mel atau SMS.

“Ada antara mereka juga menghantar orang tengah ke luar negara untuk berbelanja termasuk membeli pelbagai barangan berharga menggunakan kad kredit palsu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128092400/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...