Friday, November 28, 2008

Elak episod Isa Samad berulang


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mahu kes membabitkan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad yang menang pada pemilihan parti 2004 lalu dan kemudiannya dilucutkan akibat politik wang, berulang pada pemilihan Mac depan.

Berikutan itu, Abdullah meminta supaya Lembaga Disiplin Umno menyelesaikan semua kes berkaitan politik wang sebelum pemilihan itu bagi mengelakkan parti berdepan masalah pada masa depan.

Beliau yang juga Presiden Umno, berkata setiap calon bertanding sepatutnya sedia maklum bahawa jika menang pada pemilihan itu, mereka berdepan nasib sama seperti Isa jika didapati terbabit dalam gejala itu.

“Saya harap keputusan Lembaga Disiplin Umno dapat putuskan (siasatan) dengan cepat supaya tindakan diambil segera dan tidak berlaku lagi seperti dulu selepas keputusan (pemilihan) dicapai, orang yang memegang jawatan bila digantung, menyebabkan berlaku kekosongan jawatan dan kekurangan tenaga dalam Majlis Tertinggi Umno.


“Ini bermakna jawatan dimenangi selepas susah payah berkempen tidak jadi milik mereka. Ini satu kerugian pada mereka sendiri,”
katanya pada sidang media di majlis Anugerah Kualiti Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.


Beliau diminta mengulas mengenai siasatan yang dijalankan Lembaga Disiplin Umno berhubung aduan mengenai politik wang menjelang pemilihan parti itu Mac depan.

Abdullah berkata, langkah terbaik perlu dilakukan semua calon bertanding ialah menyerahkan keputusan kepada perwakilan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081128090240/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...