Wednesday, October 8, 2008

Artikel ditulis, dua hari sebelum tertuduh ke RTM


RAJA PETRA

PETALING JAYA - Seorang penerbit rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendakwa pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin ada menulis dalam laman web itu mengenai wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, dua hari sebelum menyertai rancangan "Blog" siaran stesen televisyen itu.

Hasshim Abu Hanifah, 49, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam bahawa Raja Petra dalam program televisyen yang dikendalikan olehnya (Hasshim) memberitahu bahawa dia (Raja Petra) telah menulis mengenai Altantuya dalam laman web itu.

Beliau berkata, Raja Petra berkata demikian semasa segmen "Keterbukaan" dalam rancangan yang mengandungi tiga bahagian iaitu "Pengenalan Blogger", "Keterbukaan" dan "Sumbangan Blogger".

Katanya, Raja Petra merupakan tetamu jemputan episod kedua program itu yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 ke seluruh negara pada 27 April lalu.

"Kalau tak silap, beliau (Raja Petra) ada menyebut dua hari sebelum rancangan itu disiarkan beliau ada menulis mengenai Altantuya," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd. Yusof dalam sesi soal pemeriksaan utama.

Hasshim, merupakan saksi kedua pihak pendakwaan yang memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan Raja Petra, 58, yang dibicarakan terhadap tuduhan menerbitkan artikel berbaur hasutan.

Artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell diterbitkan dalam www.malaysia-today.net pada 25 April.

Semasa ditanya oleh Ishak kenapa perlu beliau membaca artikel itu di laman web itu, Hasshim berkata, ia bertujuan memudahkan beliau mendapatkan maklumat dan menyediakan isi kandungan untuk menemuramah Raja Petra dalam rancangan itu.

Ketika menjawab soalan peguam bela J. Chandra mengenai program RTM itu, Hasshim berkata, rancangan itu merupakan satu rancangan terbaru yang diterbitkan oleh RTM sejak 20 April lepas, dan ke udara selama 20 minit bermula dari pukul 8.40 malam.

Hasshim, yang juga merupakan penerbit dan pengacara rancangan itu, menafikan dakwaan Chandra bahawa rancangan itu cuba memerangkap atau meraih perhatian para penonton ketika disiarkan. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/08102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...