Wednesday, October 8, 2008

‘Saya bosan perangai mereka’


Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Sebenarnya, saya sudah bosan melihat perangai mereka (pemimpin) yang berebut jawatan,” kata bekas Naib Ketua Wanita Umno, Tan Sri Zaleha Ismail, semalam.

Menurutnya, beliau hairan mengapa terlalu ramai pemimpin yang menawarkan diri untuk merebut jawatan (Timbalan Presiden dan Naib Presiden Umno).

Beliau berkata, apa yang menyedihkan, ada pemimpin yang masih baru turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi parti.

“Sebenarnya, saya tidak mahu memberikan sebarang pandangan kerana terlalu geram dengan keadaan mereka yang masing-masing mahu berebut jawatan.

“Mereka seolah-oleh menjadikan Umno sebagai tempat ‘main’ dan untuk menguji kekuatan masing-masing,” katanya yang juga bekas Menteri Kebajikan Masyarakat pada era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Zaleha diminta mengulas mengenai kecenderungan pemimpin Umno menawarkan diri bagi mengisi jawatan tertentu dalam hiraki tertinggi parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) itu.

Keadaan itu dikaitkan dengan ura-ura Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangkan membuat pengumuman sama ada mempertahan atau melepaskan kerusi presiden yang disandang sebelum mesyuarat Umno bahagian di seluruh negara bermula, Khamis ini.

Apa yang menarik, walaupun Abdullah belum membuat sebarang keputusan, beberapa pemimpin Umno sudah menawarkan diri bagi mengisi kekosongan timbalan presiden yang dijangka dikosongkan Datuk Seri Najib Razak jika Abdullah berundur.

Paling awal, Ahli Parlimen Bagan Datoh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menawarkan diri bagi mengisi jawatan berkenaan seandainya ia dikosongkan Najib.

Langkah Ahmad Zahid itu kemudian diikuti Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Ali Rustam, sebelum seorang pemimpin Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, membuat kejutan untuk turut sama menawarkan diri bagi merebut jawatan itu.

Selain tiga pemimpin berkenaan, tiga pemimpin kanan Umno, termasuk Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Penerangan Umno, Tan Muhamad Muhd Taib dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dijangka menawarkan diri merebut jawatan timbalan presiden jika Najib mengosongkan kerusi yang disandangnya.

http://www.hmetro.com.my/08102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...