Wednesday, October 8, 2008

Pak Lah tidak pertahan jawatan Presiden Umno



Pak Lah tidak pertahan jawatan Presiden, pemimpin Umno hingga Mac

Rabu Oktober 8, 2008


TERIMA KASIH... Abdullah Ahmad Badawi melambai ke arah wakil-wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang berkumpul di pintu masuk utama kediaman rasmi beliau di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini bagi menyatakan sokongan mereka kepada beliau. Lebih 30 orang yang mewaklili pelbagai NGO Melayu berkumpul seawal pukul 7 pagi sambil memegang poster. Antara NGO Melayu yang hadir ialah Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) dan Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti (PERKIB). -fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Presiden Umno Mac depan, sekali gus dijangka membuka luas gelanggang persaingan pemilihan parti kali ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan membuat pengumuman lusa sama ada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Dengan keputusan Abdullah, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sudah pasti akan dicalonkan merebut jawatan Presiden.


ABDULLAH Ahmad Badawi mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur. Di sebelah kanan beliau ialah timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

Sebelum bekas Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden.

Abdullah membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn sebentar tadi.
Abdullah mengetuai Umno sejak Oktobet 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Beliau, Presiden Umno yang keenam menang tanpa dicabar pada pemilihan 2004.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bermula pukul 3.45 petang dan berlangsung lebih sejam.

Persidangan perwakilan bahagian Umno bermula esok.

Pendirian itu selari dengan pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya, Datuk Seri Mohd, Najib Tun Razak.

Terdahulu, Menara Dato' Onn yang menempatkan Ibu Pejabat Umno menjadi tumpuan dengan kawasan pekarangan premis itu sudah sesak dengan orang ramai yang menanti pendirian Abdullah.

Penyokong-penyokong Abdullah berkumpul di pekarangan Menara Dato' Onn dengan membawa sepanduk tertera mesej "Hormati Peralihan Kuasa, Elakkan Perpecahan Lagi" sambil melaungkan "Hidup Pak Lah".

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak tiba pukul 3.25 petang.

Abdullah tiba 10 minit kemudian untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang disusuli dengan laungan "Hidup Pak Lah" dan "Pak Lah Presiden, Najib Timbalan".

Abdullah akan memperjelaskan pemimpin komponen BN tentang pelan peralihan kuasa beliau dengan Najib.

[BERITA TERDAHULU]

KUALA LUMPUR: Mempertahankan jawatan Presiden parti ataupun tidak?

Persoalan ini terus bermain di fikiran kebanyakan pihak termasuk di dalam dan luar negara manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan pendirian sama ada mempertahankan jawatan Presiden Umno atau sebaliknya menjelang pukul 5 petang ini.

Ketika Abdullah disebut-sebut akan mengumumkan hari ini sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan, lebih 30 orang daripada beberapa NGO Melayu berhimpun di luar perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya untuk meminta beliau terus menerajui Umno sehingga 2010.

Mereka yang hadir sejak 7 pagi tadi membawa poster Abdullah dan melambailambai tangan ke arah beliau semasa Perdana Menteri keluar dari Seri Perdana pada 9.45 pagi untuk menghadiri mesyuarat Kabinet.

Antara NGO yang hadir ialah Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) dan Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti (PERKIB).

Timbalan Presiden Pertubuhan Alumni Kelabkelab Umno Luar Negara Datuk Mohd Rais Zainuddin berkata Abdullah perlu mempertahankan jawatannya sehingga tempoh peralihan kuasa pada Jun 2010.

Beliau berkata langkah itu bagi mengelak berlakunya pertandingan bagi jawatan tertinggi parti itu kerana ini boleh menjejaskan kedudukan Umno pada masa depan.

Di sebalik itu, pelbagai spekulasi terus muncul dengan sesetengah pihak masih yakin Abdullah akan mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan Mac depan.

Mereka beranggapan sedemikian dengan melihat perkembangan terkini dalam Umno dan negara.

Kelmarin Umno Bahagian Kuala Kedah mengumumkan bahawa pihaknya akan mencalonkan Abdullah untuk kekal sebagai Presiden parti.

Badan Perhubungan Kelantan juga mengumumkan pihaknya akan menyokong Abdullah jika beliau berhasrat untuk mempertahankan kedudukannya.

Pada Khamis lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam berkata, beliau percaya bahawa langkah menunda Perhimpunan Agung Tahunan dan pemilihan sehingga tahun depan merupakan petanda kemungkinan Abdullah tidak akan mempertahankan kedudukannya.

Dalam pada itu, Majlis Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pukul 3.30 petang ini.

Kelmarin Perdana Menteri berkata, beliau akan mengumumkan pendiriannya sama ada semalam ataupun hari ini.

Semalam beliau tidak mengumumkannya.

Pada 26 Oktober lalu Presiden Umno itu berkata beliau akan mengumumkan mengenai keputusannya untuk mempertahankan jawatannya itu sebelum 9 Oktober iaitu sebelum bermulanya persidangan peringkat bahagian.

Sementara itu, Rabu lalu, Perdana Menteri berkata beliau akan memberi penjelasan kepada ketua parti komponen BN mengenai pelan peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

http://www1.mstar.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...