Wednesday, October 8, 2008

Harga ikan, sotong naik

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kedatangan musim hujan di beberapa negeri secara tidak langsung menyebabkan kenaikan harga barang keperluan harian terutama hasil laut di beberapa pasar utama di sekitar ibu kota.

Keadaan itu disebabkan bekalan hasil tangkapan laut sukar diperoleh berikutan hujan lebat di negeri yang menjadi pengeluar utama serta cuaca tidak menentu menyebabkan nelayan yang menggunakan bot bersaiz kecil tidak dapat ke laut sekali gus mengakibatkan kekurangan bekalan ikan.

Tinjauan di Pasar Chow Kit di sini, semalam mendapati bekalan hasil laut seperti ikan, udang, ketam dan sotong masih ada, namun harganya agak tinggi berbanding sebelum musim perayaan.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Indra berkata, harga ikan, ketam, udang dan sotong mengalami sedikit kenaikan.

“Walaupun hari ini (semalam) harga barangan laut agak mahal, ia bukan harga kekal dan boleh berubah bergantung kepada bekalan,” katanya.


Menurutnya, walaupun ada pelanggan merungut, mereka tetap menerima harga yang diletakkan dan memahami situasi yang berlaku.

“Walaupun harga makanan laut agak mahal, kami meyakinkan mereka harga akan berubah bergantung kepada bekalan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang,” katanya.

Harga sekilogram ikan tenggiri di antara RM17 dan RM20, kembung (RM10), bawal (RM15), kerapu (RM15), pari (RM10) serta patin madu (RM5), manakala sotong dari RM11 hingga RM13, ketam (RM20) dan udang (RM15).

Bagaimanapun, peniaga, Wong Siew, 46, berkata, minggu perayaan menyebabkan permintaan terhadap hasil laut agak berkurangan dan penjual tidak meletakkan harga tinggi kerana kurang pembeli yang berkunjung ke pasar.

“Bukan masalah hujan saja menyebabkan ikan tidak laku sebaliknya kerana sekarang masih musim perayaan. Pembeli juga kurang berkunjung ke pasar mungkin kerana masih bercuti,” katanya.

Menurutnya, dia menjual sekilogram ikan tenggiri dengan harga RM20 dan mendakwa harga itu masih murah berbanding sebelum musim perayaan.

http://www.hmetro.com.my/08102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...