Wednesday, October 8, 2008

Krisis kewangan meruncing


SEBUAH kenderaan melepasi sebuah cawangan Bank Landsbanki di Reykjavik, Iceland semalam.

--------------------------------------------------------------------

LONDON - Krisis kewangan global terus meruncing dengan saham-saham bank di Britain menjunam sehingga 40 peratus manakala lebih 300,000 pemegang akaun Icesave di Bank Landsbanki, Iceland dihalang mengeluarkan wang masing-masing setelah bank itu hampir muflis, lapor sebuah akhbar semalam.

Canselor Exchequer yang setaraf Menteri Kewangan, Alistair Darling dijangka membuat kenyataan mengenai krisis itu selepas beliau berlepas pulang lebih awal dari mesyuarat Menteri-Menteri kewangan Kesatuan Eropah (EU).

Kejatuhan mendadak saham-saham perbankan itu berlaku berikutan kebocoranya maklumat sulit perbincangan ketua pegawai bank-bank dan Perbendaharaan pada malam kelmarin.

Satu sumber memberitahu, Royal Bank of Scotland (RBS), Bank Lloyds TSB dan Bank Barclays meminta Kementerian Kewangan untuk mempercepat program menyelamat entiti perbankan dengan kos sebanyak £50 bilion (RM306 bilion).

Editor Bisnes Perbadanan Penyiaran British (BBC), Robert Peston menulis dalam laman blognya bahawa tiga bank berkenaan setiap satu daripadanya memerlukan pakej bantuan £7.5 bilion (RM46 bilion) dan tambahan £7.5 bilion lagi dalam bentuk jaminan Perbendaharaan.

Barclays dalam satu kenyataan menafikan laporan berkenaan dengan menyatakan pihaknya tidak pernah memohon bantuan modal daripada kerajaan kerana tidak ada asas untuk berbuat demikian.

Pengerusi RBS, Sir Fred Goodwin bagaimanapun mengesahkan khabar angin dengan menyatakan pelan menyuntik modal adalah keputusan kerajaan kerana lambat laun ia perlu dibuat juga. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/08102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...