Wednesday, October 8, 2008

Mengemis untuk hidup

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID dan AMMAR JAZLAN MAD LELA
berita@kosmo.com.my



WARGA Bangladesh mencuba nasib menyauk ikan dengan kain langsir terbuang di bawah jejambat stesen LRT Damai di Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Memang ada yang lari dan terpaksa mengemis di merata tempat kerana nak cari sesuap nasi... baik buat macam itu daripada terus kebuluran."

Itu pengakuan seorang warga Bangladesh yang menetap di bawah jejambat berhampiran stesen LRT Damai di sini mengenai rakan-rakannya yang mengambil keputusan untuk lari meninggalkan 'perkampungan' itu akibat hidup terseksa gara-gara tiada penyelesaian yang dicapai walau sembilan bulan mereka terdampar di situ.

Dia yang dikenali sebagai Syed, 30-an memberitahu, kumpulan itu sanggup berbuat demikian kerana tekanan demi tekanan terpaksa ditanggung sekian lama.

"Logik mereka buat macam tu, sudahlah ditipu oleh ejen yang tak bayar gaji dan pukul mereka, datang sini (LRT Damai) ingatkan masalah boleh selesai tapi lebih derita.

"Kami lihat, sampai sekarang tak ada sebarang inisiatif daripada pihak Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh untuk bebaskan kami," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ditanya sama ada kumpulan itu tidak gentar akan menjadi buruan pihak berkuasa kerana tidak memiliki pasport, kata Syed :

"Lebih baik kena tangkap sebab boleh balik ke kampung halaman."

Seorang lagi warga Bangladesh, Khokon, 21, memberitahu, dia terpaksa 'tebal muka' berhutang dengan kawan-kawan untuk berbelanja.

"Mereka pun bukannya banyak duit... apa yang saya tahu ramai warga Bangladesh di sini yang minta wang kat kampung... sepatutnya kita yang bagi duit kat mereka, sekarang sudah terbalik," katanya kesal.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati, segelintir Bangladesh di situ terpaksa menggunakan kreativiti tersendiri dengan menyauk ikan menggunakan kain langsir terbuang.

Malah ada juga yang dilihat mengutip botol terpakai yang dibuang di sekitar Sungai Gombak berhampiran untuk dijual bagi mengelak terus kebuluran.

http://www.kosmo.com.my/08102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...