Friday, November 28, 2008

Serangan Mumbai



Jumaat November 28, 2008


Serangan Mumbai: Pertempuran berterusan di pusat Yahudi dan Hotel Taj Mahal


Tebusan yang dibebaskan meninggalkan Hotel Trident dengan sebuah kenderaan selepas diselamatkan oleh pasukan keselamatan.

[DIKEMAS KINI] MUMBAI: Komando hari ini berjaya mengawal Hotel Oberoi-Trident, tetapi perjuangan menentang militan yang masih bersembunyi di hotel-hotel mewah lain dan pusat Yahudi yang masih mempunyai kira-kira enam tebusan tetap diteruskan.


"Hotel Oberoi dan Trident kini dalam kawalan," kata ketua Pegawai Keselamatan Kebangsaan elit, JK Dutt kepada wartawan di sini.


"Oberoi-Trident telah dipindahkan, kita telah membunuh dua pengganas," katanya.


Reuters melaporkan, India sekali lagi menuding jari ke arah "elemen" hubungan Pakistan berhubung serangan yang dilancarkan di pusat kewangan bandaraya itu yang kini dilaporkan telah mebunuh sekurang-kurangnya 121 orang.


"Bukti awal, bukti prima facie menunjukkan elemen-elemen hubungan dengan Pakistan terlibat," kata Menteri Luar, Pranab Mukherjee semasa sidang media di New Delhi.


Beliau menggesa Pakistan supaya menutup semua infrastruktur yang menyokong militan.


Bagaimanapun, rakan sejawatnya di Pakistan, Shah Mehmood Qureshi, meminta supaya India tidak bermain politik tentang serangan di Mumbai.


"Jangan bawa politik dalam isu ini. Ini adalah isu kolektif. Kita menghadapi musuh yang biasa dan kita sepatutnya sama-sama menewaskan musuh ini," katanya kepada wartawan semasa melawat bandar India, Ajmer.


BERITA TERDAHULU


Tetamu Hotel Oberoi berjaya diselamatkan


MUMBAI: Tetamu asing dan dari India yang disembunyikan oleh militan di sebuah hotel mewah di sini, telah dipindahkan dari bilik ke bilik hari ini, ketika komando menggempur kawasan berdekatan pusat Yahudi, lokasi di mana tebusan rakyat Israel ditahan oleh penembak Islam.


Reuters melaporkan, tetamu-tetamu berkenaan dilihat berpakaian sempurna dan ada di antara mereka yang membawa beg pakaian, dibawa keluar segera dari hotel Trident-Oberoi diiringi ke bas dan kereta yang sedang menunggu. Seorang lelaki dilihat memangku seorang bayi.


"Mereka memindahkan semua orang," kata seorang wanita India yang berjaya diselamatkan dari hotel tersebut bersama suaminya.


"Setiap orang telah dijaga dengan baik," katanya.


Komander tentera, Leftenan Jeneral N. Thamburaj berkata, sekurang-kurangnya seorang militan masih menahan dua tebusan di Hotel Taj Mahal, 36 jam selepas serangan yang terancang di dilakukan di bandaraya itu dan kini dipercayai telah mengorbankan 121 orang.


Beliau memberitahu wartawan, hampir kesemua tetamu dan staf hotel telah dipindahkan daripada Hotel Taj dan operasi tersebut akan berakhir dalam masa beberapa jam.


BERITA TERDAHULU


Komando gempur pusat Yahudi di Mumbai


MUMBAI: Insiden tembak-menembak tercetus dengan lebih hebat hari ini selepas komando India diturunkan daripada helikopter di atas bumbung pusat Yahudi di Mumbai, di mana militan Islam yang disyaki sedang menahan 10 orang Israel, kata seorang saksi agensi Reuters.


Agensi itu melaporkan, komando telah mengambil tempat di luar "Nariman Bhavan", tempat di mana militan bersenjata telah bersembunyi pada 27 November lalu.


Laporan televisyen menyebut, ia bermula dengan serangan oleh pasukan Pengawal Keselamatan Kebangsaan separa tentera bagi menghalau keluar militan terbabit.


Pusat Yahudi merupakan satu daripada tiga pusat dalam modal kewangan negara di mana pihak berkuasa India sedang bertarung menentang militan, lebih 24 jam selepas militan bersenjata berat itu membunuh sekurang-kurang 121 orang dalam serangan terancang.


Saksi Reuters berkata, pasukan itu menembak ke arah pusat Yahudi untuk tujuan perlindungan, sementara komando menjatuhkan tali daripada helikopter yang menurunkan sekurang-kurangnya tiga komando.


Bangunan tersebut yang terletak di kawasan sibuk di Mumbai telah menyebabkan kesukaran untuk melakukan serangan dari arah hadapan.


Pihak polis berkata, militan juga masih bersembunyi di Hotel Taj Mahal dan berdekatan hotel Oberoi-Trident bersama tebusan yang masih belum diketahui bilangannya.


Saksi turut memberitahu, komando juga telah memasuki Oberoi-Trident pada pagi ini walaupun tiada tanda-tanda segera akan berlaku pertempuran.


Bandaraya Mumbai dengan kepadatan penduduk 18 juta orang merupakan pusat pertumbuhan ekonomi dan industri filem Bollywood.


India yang didominasi rakyat beragama Hindu dengan minoriti Muslim, telah mula diserang militan sejak berabad lalu. Bagaimanapun, serangan tersebut dilihat bertujuan untuk melumpuhkan keupayaan menarik pelaburan asing.


Pasaran sahamnya telah ditutup semalam kerana serangan tersebut tetapi pengawal selia pasaran berkata, mereka telan meminta bursa-bursa saham bersedia untuk perdagangan pada hari ini di mana keputusan terakhir akan dibuat kemudian.


Menyalahkan kumpulan militan


Perdana Menteri, Manmohan Singh menyalahkan kumpulan militan berpengkalan di negara-negara jiran India, kebiasaannya menggambarkan negara Pakistan atas serangan itu dan ini sekaligus meningkatkan prospek ketegangan baru antara pesaing-pesaing bersenjata nuklear.


Singh mengingatkan serangan itu sebagai "satu kos" sekiranya negara-negara jirannya itu tidak mengambil langkah menghentikan tindakan militan menggunakan wilayah mereka untuk tujuan serangan.


Dianggarkan 25 lelaki menyerang menggunakan senjata rifel dan grenad - sekurang-kurangnya beberapa daripada mereka tiba di negara itu melalui laut - telah memasuki Mumbai pada malam Rabu lalu untuk menggempur tempat-tempat yang popular dengan kehadiran pelancong dan ahli-ahli perniagaan, termasuk dua hotel paling mewah di bandar raya tersebut.


Pihak polis berkata, sekurang-kurangnya tujuh penyerang terbunuh dan sembilan suspek kini berada dalam pengawasan mereka. Mereka berkata, 12 anggota polis terbunuh termasuk Ketua Polis Skuad Anti-Keganasan Mumbai, Hemant Karkare.


Kira-kira enam pelancong termasuk seorang rakyat Australia, seorang Britain, seorang Itali dan seorang dari Jepun turut terbunuh, sementara ramai lagi masih terperangkap dalam pertempuran tersebut dan ditahan sebagai tebusan.


Polis berkata, seramai 279 orang telah tercedera dalam serangan tersebut.


Kumpulan Pakistan


Akhbar Hindu melaporkan, sekurang-kurangnya tiga penyerang yang sedang berada dalam pengawasan pihak berkuasa India adalah ahli kumpulan Laskkar-e-Taiba yang berpusat di Pakistan.


Kumpulan itu terkenal kerana menentang undang-undang negara dalam pertelingkahan Kashmir dan dahulunya mempunyai rangkaian rapat dengan agensi risikan perkhimatan tentera di Pakistan.


Laskhkar-e-Taiba bagaimanapun menafikan terlibat melakukan serangan itu.


"Ada bukti yang menunjukkan kumpulan tersebut yang melakukan serangan ini, yang berpusat dari luar negara dan mereka datang dengan penuh keazaman untuk mewujudkan huru-hara di pusat komersial negara ini," katanya semalam.


Pakistan yang turut mengutuk serangan berjanji berjanji akan memberi kerjasama penuh.


Saksi-saksi berkata, militan dilihat mensasarkan target mereka kepada rakyat Britain, Amerika dan Israel.


Pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika yang baru dipilih, Barack Obama turut mengutuk serangan itu.


BERITA TERDAHULU


Rakyat Malaysia hilang di Mumbai


PETALING JAYA: Rakyat Malaysia Hema Kasipillay dilaporkan hilang selepas hotel yang didiaminya di Mumbai diserang oleh sekumpulan pengganas.


Anak saudara Hema, Mohan Thangaraja, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai gagal menghubunginya.


Semalam, Konsul Jeneral Wan Zaidi Wan Abdullah berkata Hema, 53, yang mengikuti rombongan perniagaan ke bandar itu menginap di Hotel Taj Mahal, salah sebuah daripada dua hotel yang diserang pengganas pada Rabu lalu.


“Saya menghubungi pihak pengurusan dan mereka mengesahkan Hema belum meninggalkan hotel.


“Dia bersama dua orang rakan kerjanya dari Jerman yang dipindahkan tetapi mereka belum dapat mengesannya,” kata Wan Zaidi.


Wan Zaidi berkata konsulat telah memeriksa di hotel-hotel lain dan berdekatan hospital-hospital untuk berusaha mencari Hema, dari Bangsar, Kuala Lumpur.


Mohan berkata ibu saudaranya, pegawai pentadbiran di firma insurans Jerman, tiba di Mumbai pada Selasa lalu.


Dia berkata keluarganya tidak dapat menghubungi Hema melalui telefon bimbitnya. Suami dan dua anak Hema bagaimanapun enggan untuk ditemubual.


“Kami tidak mempunyai apa-apa maklumat. Kami telah memberikan maklumat lengkap kepada konsulat. Kami semua berasa sedih,” katanya.


Wan Zaidi berkata dia berurusan dengan rakan sekerja Hema dari Jerman yang memberitahu mereka kali terakhir mereka berbual dengannya kira-kira pukul 3 pagi semalam waktu tempatan sebelum before pihak berkuasa India menjalankan satu operasi menyelamat.


“Kali terakhir mereka melihat Hema ketika waktu petang dan mereka masih menghubungi antara satu sama lain semasa serangan berlaku.


“Tetapi apabila operasi menyelamat dijalankan, komunikasi terputus dan mereka gagal menghubunginya semula,” ujarnya.


Dua orang rakyat Malaysia yang tinggal di Mumbai turut menghantar emel kepada The Star Online mengenai keadaan di ibu negara komersial.


Lawrence Ngadan Mani, yang bekerja dengan syarikat minyak di Mumbai, berkata banyak sekolah dan pusat membeli-belah ditutup seketika.


“Hingga pagi ini, kita masih boleh melihat asap di hotel tersebut. Rakyat tempatan memberitahu saya selama Hotel Taj beroperasi lebih 100 tahun lalu, hal seperti ini belum pernah berlaku.”


Sementara itu, Vivegan Nadarajai, yang berada di negara itu sejak 16 November lalu, berkata dia tinggal di hotel kira-kira 20km bebas dari kawasan pengepungan.


“Keadaan di sini adalah tenang. Kami telah dinasihatkan supaya tidak keluar jauh dari hotel kami hingga keadaan kembali tenang dan sentiasa mengikuti berita semasa,” katanya.


Dalam pada itu, keselamatan di New Delhi, telah ditingkatkan dengan kehadiran lebih banyak polis dan tentera di kawasan awam, lapor NELSON BENJAMIN.


Keselamatan telah disediakan pada semua stesen kereta api, terminal bas dan pawagam.


Keselamatan turut ditingkatkan di kebanyakan hotel lima bintang dengan menyediakan ramai pengawal keselamatan bersama pengesan-pengesan logam dan memeriksa kewujudan semua pengunjung.


Semua aktiviti pelancongan untuk bangunan-bangunan kerajaan di bandar raya itu juga telah dibatalkan.


Dalam pada itu, wartawan Bernama dari New Delhi melaporkan tidak ada tanda-tanda menunjukkan krisis tebusan berakhir pagi Jumaat di mercu tanda Mumbai, Taj Mahal Palace Hotel, walaupun percubaan diteruskan oleh pasukan keselamatan India untuk membanteras saki-baki pengganas.


Menurut Kementerian Dalam Negeri, setakat ini sekurang-kurangnya 125 orang terkorban dan 327 cedera termasuk enam rakyat asing, apabila kumpulan pengganas melancarkan serangan yang penuh terancang di beberapa kawasan hub kewangan India pada malam Rabu.


Sehingga awal pagi Jumaat, sekurang-kurangnya tiga pengganas terbunuh di hotel berusia berabad itu sementara tiga orang yang menginap di hotel tersebut yang terkandas dapat diselamatkan.


"Kejadian tembakan berlaku sekejap-kejap antara militan dalam hotel dan askar di luar sejak pukul 4 petang (waktu tempatan). Keseluruhan bandar raya tersebut dikejutkan dengan pembunuhan itu, ini tragedi yang dahsyat untuk Mumbai," kata pemilik sebuah kedai komputer berusia dalam lingkungan pertengahan tahun memberitahu Bernama.


Menggelarkan dirinya sebagai Mujahideen Deccan, telah menghantar emel kepada pertubuhan media mendakwa melancarkan serangan itu, antara tragedi yang terburuk di India sejak 1993.


Pegawai kementerian itu mendakwa militan melancarkan serangan mereka dari laut, di mana sebuah kapal induk yang dipercayai membekalkan senjata dan suspek tiba melalui laluan laut pantai.


Pihak berkuasa kini memeriksa kapal tersebut di sepanjang pantai Mumbai.


Di Oberoi Hotel dan Nariman House, sebuah kompleks perumahan, anggota komando meneruskan operasi untuk melumpuhkan pengganas yang bersembunyi di dalam bangunan dan lebih 30 orang tebusan diselamatkan, menurut sebuah stesen televisyen tempatan.


Pegawai keselamatan dijangka melancarkan serangan terakhir di tiga kawasan selatan ibu negara itu lewat Jumaat untuk menamatkan krisis tebusan yang telah melumpuhkan Mumbai.


Setakat ini tidak ada rakyat Malaysia terperangkap pada kejadian itu.


BERITA TERDAHULU


MUMBAI: Perdana Menteri India, Manmohan Singh berkata, serangan di Mumbai yang mengorbankan lebih 100 nyawa telah dirancang dengan baik dan kemungkinan besar mempunyai "kaitan dengan pihak luar".


Singh berkata, berlaku tembak menembak antara komando-komando India dengan mereka yang disyaki militan Islam dalam Hotel Taj dan berdekatan Hotel Trident-Oberoi, di mana ramai yang terperangkap dan beberapa ditahan sebagai tebusan.


Komando-komando juga berkumpul di luar pusat Yahudi di mana seorang rabai dikhuatiri turut menjadi tebusan, tetapi kemudian dilihat memutuskan untuk tidak menyerang.


"Serangan-serangan yang dirancang dengan baik, kemungkinan besar ada hubungan dengan pihak luar, bertujuan untuk mewujudkan keganasan dengan memilih sasaran berprofil tinggi," katanya ketika bercakap kepada rakyat India yang disiarkan di saluran-saluran TV.


Beliau berkata, New Delhi amat yakin bahawa wilayah-wilayah negara jiran digunakan untuk melancarkan serangan ke atas India.


Kerajaan India sebelum ini pernah menyalahkan Pakistan dan kadangkala Bangladesh kerana menyokong atau memberi kebenaran berlabuh kepada kumpulan-kumpulan militan yang melakukan serangan-serangan ini.


"Terdapat bukti yang menunjukkan kumpulan tersebut yang melakukan serangan ini luar daripada negara, yang telah datang dengan penuh keazaman bagi mewujudkan huru-hara dalam ibu negara komersial," kata Singh.


BERITA TERDAHULU


MUMBAI: Komando India berjaya membebaskan tebusan-tebusan di Hotel Taj Mahal hari ini, tetapi pertempuran masih berlaku dengan kumpulan militan Islam bersenjata yang setakat ini telah membunuh lebih 100 orang.


Kumpulan pengganas itu dilaporkan tiba di Mumbai dengan bot dua hari lalu, sebelum menyerang hotel-hotel mewah, sebuah restoran popular, hospital dan stesen keretapi.


Tujuh belas jam selepas serangan tersebut, tentera dan kumpulan militan masih lagi meneruskan pertempuran dimana lebih 100 orang terperangkap di dalam bilik-bilik hotel terbabit.


"Mereka yang ditahan di sana telah pun berjaya diselamatkan. Tetapi masih ramai lagi yang berada di dalam bilik-bilik hotel itu...kita tidak tahu berapa ramai," kata Ketua Polis Maharashtra, A.N.Roy kepada saluran berita NDTV.


Kata Roy, walaubagaimanapun tebusan di Hotel Trident/Oberoi masih lagi belum dapat diselamatkan.


"Sebab itu kita perlu melakukan operasi ini dengan berhati-hati supaya tiada nyawa yang terkorban," katanya.


Polis berkata, sekurang-kurangnya enam warga asing terbunuh dan 287 orang lagi cedera di dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Deccan Mujahideen.


"Bebaskan semua mujahideen, dan semua Muslim di India tidak akan berhadapan masalah," kata seorang ahli militan di dalam Hotel Oberoi yang bercakap dengan sebuah televisyen India menerusi telefon.


Lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Sahadullah berkata, dia adalah salah seorang daripada tujuh penyerang di hotel tersebut dan mahu agar militan Islam dibebaskan dari penjara India.


Ledakan kemudiannya didengar di hotel tersebut, kata saksi.


Dua orang pengunjung hotel tersebut yang terperangkap di dalam hotel masing-masing turut menghubungi beberapa stesen televisyen. Seorang daripadanya berkata pintu kecemasan terkunci dan seorang lagi berkata dia melihat dua mayat di tepi kolam hotel terbabit.


Menurut saksi, penyerang berkemungkinan mensasarkan kepada warga Britain dan Amerika di hotel dan restoran terbabit.


Alex Chamberlain, warga Britain yang sedang menjamu selera di Oberoi ketika kejadian memberitahu saluran berita Sky News bahawa kumpulan bersenjatan itu telah membawa 30 hingga 40 orang yang berada di resotran itu ke tingkat atas dan mengarahkan semua mengangkat tangan ke atas di dalam bahasa Hindi atau Urdu.


Chamber lain berkata, dia berjaya melarikan diri semasa pengunjung restoran yang lain dipaksa ke tingkat atas.


Motif serangan tersebut belum dapat dikenal pasti, namun Mumbai sebelum ini juga pernah menjadi sasaran serangan pengganas dan mendakwa ia dilakukan oleh militan-militan Islam, termasuklah siri pengeboman pada Julai 2006 yang membunuh 187 orang.


BERITA TERDAHULU


MUMBAI: Sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh di dalam serangan oleh kumpulan bersenjata di pusat perdagangan India, di sini, malam tadi manakala pasukan keselamatan telah bertindak untuk mengepung dua buah hotel mewah dimana tebusan asing ditahan oleh penyerang.


Menurut laporan Reuters, kumpulan bersenjata itu melakukan serangan menggunakan bom tangan dan senjata automotik ke atas dua buah hotel dan beberapa lokasi lain di bandar tersebut termasuklah di Kashmir.


Polis telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan setakat ini telah menahan sembilan suspek manakala 12 anggota polis turut terbunuh termasuklah Ketua Polis Skuad Anti-Keganasan Mumbai, Hemant Karkare.


"Keadaaan di sini masih tegang dan kami masih lagi sedang mengesan pengganas-pengganas lain yang sedang bersembunyi di dalam dua buah hotel tersebut," kata Ketua Menteri Maharashta, Vilasrao Deshmukh.


Deshmukh di dalam sebuah sidang media berkata, keadaan di situ masih lagi belum dapat dikawal.


"Sukar untuk berkata berapa ramai pengganas berada di dua hotel itu," tambahnya, walaupun Menteri Dalam Negeri, Shivraj Patil berkata kira-kira empat hingga lima orang pengganas berada di setiap hotel terbabit.


Kementerian Luar negara Jepun berkata, sekurang-kurangnya seorang warga Jepun turut terbunuh dan seorang tercedera di dalam serangan itu manakala Korea Selatan pula melaporkan 26 mangsa serangan berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.


Dalam pada itu, menurut laporan Bernama, seorang rakyat Singapura adalah antara beberapa tebusan warga asing yang turut ditahan.


Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa India bagi membebaskan tebusan rakyat Singapura itu bersama tebusan-tebusan lain.


Dalam kenyataan yang sama, kementerian itu berkata kerajaan Singapura mengutuk keras serangan itu.


"Serangan di Mumbai mengesahkan lagi ancaman pengganas yang sedang dihadapi semalam. Singapura berdiri kukuh di belakang kerajaan India dalam peperangannya menentang keganasan," menurut kenyataan itu.


Tambahnya kerajaan Singapura turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa, keluarga mereka, kerajaan India dan rakyatnya terhadap kejadian itu.


Menurut saksi, tembakan pistol dan letupan telah didengar di Hotel Taj Mahal dan turut diselubungi asap tebal.


Letupan juga turut berlaku di Hotel Oberoi dan tembakan di sebuah hospital.


"Pengganas melempar bom tangan ke arah kami dari atas bumbung Hotel Taj dan cuba menghalang kami untuk masuk," kata Inspektor Ashok Patil.


Menurut polis, sekurang-kurangnya 250 orang tercedera di dalam serangan itu yang mana turut mensasarkan stesen keretapi dan Cafe Leopold, sebuah restoran terkenal dan menjadi tumpuan pelancong.


Sebuah stesen televisyen turut melaporkan bahawa sebuah organisasi yang menggelarkan diri mereka Deccan Mujahideen dikatakan menjadi dalang serangan tersebut.


"Merka ada bom. Saya rasa mereka sasarkan kepada orang asing kerana mereka meminta pasport rakyat British dan Amerika," kata Rakesh Patel, saksi warga Britain yang tinggal di Hong Kong dan menetap di Hotel Taj Mahal atas urusan perniagaan.


"Mereka ada bom. Anak muda, mungkin dalam usia 20 hingga 25 tahun dan mempunyai dua pucuk pistol. Mereka muncul dari restoran dan bawa kami ke tingkat atas," katanya yang dipenuhi kesan kotoran asap di muka ketika ditembual NDTV News.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/28/mstar_mutakhir/20081128094521&sec=mstar_mutakhir

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...