TEMERLOH, 4 Jan: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan  perbicaraan kes saman malu Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak),  Mazlan Aliman berjumlah RM20 juta pada 22 Mac 2011.
Peguam yang mewakili  Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi  Temerloh, Siti Hajar Mustafa menetapkan demikian selepas meneliti dokumen peguam  kedua-dua pihak plaintif dan defendan.
Pada 16 Ogos lalu Mazlan selaku  plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah  Klau Awang Sulong, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang  menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.
Menurut fakta kes, pada 9 Mac lalu kira-kira jam 4.15 Mazlan ketika memenuhi  satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka berkaitan dengan  masalah-masalah dialami mereka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah  dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara  biadab oleh pegawai-pegawai Felda.
Hamidun merupakan peneroka yang telah  melangsaikan semua hutang dengan Felda dan telah mendapat hak milik tanah  kediaman dan ladang.
Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu  Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun terdapat satu lagi laporan oleh pengurus  rancangan Felda Lembah Klau yang menyebabkan beliau kemudiannya ditahan, direman  dan terpaksa merengkok selama dua hari di lokap IPD tersebut.
Dalam pada  itu, Wan Rohimi berkata Siti Hajar merupakan majistret yang telah mengeluarkan  reman kepada Mazlan ketika beliau merengkok di lokap IPD Raub  dahulu.
Wan Rohimi berkata, beliau menganggap kes saman yang dikemukakan  ini sangat penting dan keputusannya akan menjadi indikator kepada pemisahan  antara kuasa Felda dan kuasa peneroka.
“Saya lihat Felda amat memberi  tumpuan kepada kes ini berdasarkan tiga peguam kanan persekutuan yang mewakili  defendan kerana mereka amat menyedari implikasi kepada kes  ini.
“Keputusan kes ini dengan sendirinya akan menjelaskan had-had kuasa  antara Felda dengan peneroka yang telah melunaskan hutang piutangnya dengan  agensi tersebut,” katanya.
Turut mengiringi Mazlan ke mahkamah Tinggi  temerloh hari ini ialah Penasihat Undang-Undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid,  Naib Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Setiausaha PAS Pahang Hashim Abdullah dan  kira-kira 30 penyokong.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30173:kes-saman-felda-rm20-juta-dibicara-22-mac&catid=1:utama&Itemid=50
 
 
No comments:
Post a Comment