Tuesday, January 4, 2011

Piala Suzuki: Kedah turut beri imbuhan

Muhayat Jasmin

ALOR SETAR, 4 Jan: Lima pemain negeri Kedah yang terlibat dalam aksi cemerlang skuad negara membawa pulang Piala Suzuki AFF di Indonesia baru-baru ini akan menerima imbuhan khas daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan, Kebudayaan negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, imbuhan yang berupakan wang sagu hati telah pun dibawa ke meja rundingan.

"Walau bagaimana pun jumlah sagu hati yang sebenar akan diputuskan semula dalam mesyuarat eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam masa yang terdekat ini.

"Ini juga merupakan insentif bagi menguatkan semangat juang yang ada pada mereka kerana telah berjaya membawa kembali piala yang menjadi penantian negara selama 14 tahun," ujarnya lagi.

Kelima-lima pemain yang terbabit ialah Amar Rohidan, Khairul Hilmi Johari, Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Khryril Muhymeen Zambri dan Mohd Sabree Md Abu.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Kehormat KFA yakin, sukan bola sepak negeri Kedah akan turut menyinar dengan adanya penglibatan tujuh pemain kebangsaan dalam skuad bola sepak negeri.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan turut memberi imbuhan kepada pemain negeri tersebut, Khairul Fahmi Che Mat dengan menghadiahkan sebuah rumah.

Manakala Kerajaan Negeri Perlis juga turut mengambil inisiatif yang sama untuk memberi imbuhan kepada anak Perlis, Amar Rohidan walaupun beliau sudah bersama skuad Kedah.

Dalam kejohanan merebut kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta baru-baru ini skuad Harimau Malaya telah berjaya menjuarai kejohanan tersebut dengan mengalahkan pasukan Indonesia melalui agregat 4-2.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30161:piala-suzuki-kedah-turut-beri-imbuhan&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...