KOTA BHARU, 4  Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  menjelaskan, beliau dan pemimpin kanan PAS telah dipanggil menghadap Yang  di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu majlis santapan malam di  Istana Terengganu di Kuala Lumpur.
Menurutnya, titah Tuanku Mizan itu  telah disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika  beliau mengunjunginya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang  Kerian.
"Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya telah  menghadiri majlis tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan  selepas pertemuan beliau dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi  dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di kediaman rasmi MB, JKR 10 hari  ini.(gambar)
Bagaimanapun, katanya, "Adalah sangat tidak  beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi  perbualan semasa mengadap."
"Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada  media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang  tidak menentu  dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga  kehormatan dan nama baik pihak istana," katanya.
Jangan kaitkan istana dengan politik
Sementara itu dalam sidang medianya (gambar bawah),  Nik  Abdul Aziz  menyeru semua pihak sama ada media atau invidu supaya tidak  mengaitkan istana dengan pergolakan politik negara.
Pada masa yang sama  juga beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang andaian  berhubung pertemuannya dengan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan  baru-baru ini.Ini kerana, katanya  pertemuan itu hanyalah  jemputan untuk majlis santapan malam bersama baginda sahaja.
Menurutnya,  sebarang kenyataan tidak tepat itu perlu dihentikan segera demi menjaga  kehormatan dan nama baik pihak Istana.
“Jangan sekali-kali mengaitkan  istana dalam pertemuan baru-baru ini,”ujarnya ketika membaca kenyataan media  sebentar tadi di JKR 10.
Hadir sama pada sidang media itu, Presiden PAS,  Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agong, Datuk Mustapha  Ali.
Menurutnya lagi, sewaktu beliau menerima rawatan  di Hospital  Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian baru-baru ini, bekas Perdana Menteri,  Tun Abdullah Ahmad Badawi membawa titah dari Yang Dipertuan  Agong.
“Tuanku Sultan Mizan meminta saya mengadap baginda bersama-sama  pemimpin termasuk Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi ke majlis santapan malam di  Istana Terengganu, iaitu istana baginda di Kuala Lumpur.
“Atas dasar  menghormati dan menjunjung titah tuanku, saya telah menghadiri majlis  tersebut,”ujarnya lagi.
Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pula berkata tidak  timbul soal perbincangan kerajaan perpaduan atau sebagainya dalam pertemuan  itu.
Menjawab soalan media beliau seterusnya berkata, majlis itu adalah  undangan Yang Dipertuan Agong, tidak timbul langsung soal perbincangan dengan  pemimpin Umno.
“Majlis tu adalah majlis Yang Dipertuan Agong, nak bincang  dengan Perdana Menteri macamana?,”soalnya.
Kenyataan itu dibuat bagi  menjawab pelbagai spekulasi ekoran pertemuan pemimpin tertinggi dua parti iaitu  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang  dikatakan mengadakan pertemuan tertutup dengan dua pemimpin Umno iaitu Datuk  Seri Najib Tun Razak dan timbalannya baru-baru ini.
Berikut adalah kenyataan penuh MB Kelantan  itu.
Kenyataan Media
Tuan Guru Dato Bentara Setia  Menteri Besar Kelantan
Merangkap al-Mursyidul Am PAS
Ekoran  beberapa kenyataan yang mengelirukan berkaitan pertemuan saya dengan KDYMM Yang  Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini, saya suka menjelaskan  seperti mana berikut : 
Sewaktu saya berada di Hospital  Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya telah dikunjungi oleh Tun  Abdullah Ahmad Badawi yang membawa titah KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku  Sultan Mizan meminta saya mengadap baginda bersama-sama beberapa orang pemimpin  termasuk Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke majlis santapan malam di  Istana Terengganu, yakni istana baginda di Kuala Lumpur. Atas dasar menghormati  dan menjunjung titah Tuanku saya telah menghadiri majlis tersebut.  
Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk  menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap.  
Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana  individu supaya tidak membuat andaian yang  tidak menentu dan berharap dapat  menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan  nama baik pihak istana. 
Terima kasih. Wassalam.  
“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM” 
TUAN GURU HAJI NIK ABDUL  AZIZ BIN NIK MAT, 
MENTERI BESAR KELANTAN MERANGKAP AL-MURSYIDUL AM  PAS.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30172:yang-di-pertuan-agong-perintah-mengadap-nik-aziz&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124
 
 
No comments:
Post a Comment