Friday, November 28, 2008

Kes Willis selesai


Willis


LOS ANGELES - Aktor filem Die Hard, Bruce Willis memperoleh semula wangnya sebanyak AS$900,000 (RM3.2 juta) selepas dia memfailkan tuntutan undang-undang bagi mendapat wang pelaburan dalam sebuah syarikat Malaysia.

Peguam Willis, Martin Singer berkata, saman yang dikemukakan di sebuah mahkamah di Los Angeles ke atas Petra Group itu sudah diselesaikan secara baik.


Menurut Petra Group, Willis membuat pelaburan sebanyak AS$2 juta (RM7.23 juta) terhadap anak syarikatnya, Green Rubber pada tahun lalu.

Green Rubber ialah sebuah syarikat yang memajukan teknologi mengitar semula tayar lama.

Petra Group memulangkan semula AS$1.1 juta (RM3.97 juta) pada awal tahun ini selepas Willis bertindak menarik pelaburannya.

Pada minggu lalu, pelakon itu mengemukakan saman ke atas Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Datuk Vinod B. Sekhar iaitu prinsipal utama Petra Group, bagi memperoleh semula baki AS$900,000 berserta faedah dan lain-lain ganti rugi.

Menurut Singer, Willis masih menjadi seorang pemegang saham dalam Green Rubber. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_11.htm

Dihukum buta di Iran

TEHERAN – Sebuah mahkamah di Iran mengarahkan seorang lelaki dibutakan mata selepas dia menyebabkan seorang wanita buta apabila menyimbah asid ke muka mangsa yang menolak pinangannya.

Sebuah mahkamah di Teheran kelmarin menjatuhkan hukuman tersebut menurut undang-undang Islam terhadap tertuduh, Majid, 27, yang mengaku salah menyimbah asid ke muka seorang wanita, Ameneh Bahrami, empat tahun lalu.

Walaupun menjalani rawatan di Sepanyol sejak beberapa tahun lalu, wanita malang itu hilang penglihatan di kedua-dua belah mata. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Anak profesional, bapa pengemis

Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my



KAKITANGAN Jabatan Kebajikan Masyarakat memujuk seorang warga emas dalam satu operasi bersepadu menyelamat pengemis dan kutu rayau di Pasar Malam Kangar, Perlis semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

KANGAR - Sepasang suami isteri yang cacat penglihatan dan mempunyai anak berjawatan besar adalah antara sembilan yang ditahan dalam Ops Selamat yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sekitar bandar ini kelmarin.

Timbalan Pengarah JKM Perlis, Mastura Abdul Rahim berkata, pasangan berusia sekitar 60 tahun itu adalah penerima bantuan bulanan jabatan itu sebanyak RM300 setiap bulan.

"Siasatan awal mendapati pasangan yang berasal dari Kodiang, Kedah itu juga mempunyai anak berjawatan tinggi dalam kumpulan pengurusan dan profesional," katanya.

Mastura memberitahu, berdasarkan aduan orang ramai, JKM mengadakan operasi bersepadu membabitkan lima agensi penguat kuasa yang lain termasuk polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Imigresen.

"Dalam operasi membabitkan 40 anggota yang bermula pukul 9 malam, JKM menahan sembilan pengemis," katanya di sini kelmarin.

Mastura menambah, ada di antara pengemis yang ditahan itu dipercayai datang dari Pulau Pinang untuk mengemis di pasar-pasar malam di sini kerana ia menjanjikan pendapatan lumayan.

"Kebanyakan mereka merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) warga emas dan kehadiran mereka diuruskan oleh pihak tertentu termasuk oleh anggota keluarga sendiri.

"Mereka yang ditahan telah diserah kepada waris-waris dan kaunseling kepada anggota keluarga yang menggunakan pengemis itu turut diadakan," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_14.htm

Lelaki bandar gemuk, berpenyakit - MSASAM


BERAT badan berlebihan boleh mengundang pelbagai
penyakit. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Lelaki bandar gemuk dan berpenyakit!
Itulah hasil kajian Persatuan Andrologi Malaysia dan Kajian Penuaan Lelaki (MSASAM) yang mendapati 77 peratus lelaki yang berusia di antara 40 dan 70 tahun mengalami berat badan berlebihan di negara ini.

Ekoran daripada masalah tersebut juga sebanyak 48 peratus daripada golongan itu menghidapi darah tinggi, kencing manis (28 peratus) penyakit jantung (12 peratus), prostat (30 peratus) dan 59.4 peratus mengalami disfungsi ereksi (ED) atau mati pucuk.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, (KPWKM), Datuk Dr. Ng Yen Yen berkata, walaupun kajian tersebut diadakan di Subang dan Kelana Jaya, Selangor, tetapi ia merupakan gambaran sebenar tahap kesihatan lelaki di Malaysia.

"Ini punca jangka hayat lelaki lebih singkat berbanding wanita iaitu kira-kira lima hingga tujuh tahun dan berdasarkan penyelidikan ini mendapati, sikap kaum lelaki terhadap kepentingan menjaga kesihatan juga menjadi punca kepada masalah itu.

"Keengganan untuk mendapatkan bantuan dan bimbang dianggap lemah turut menyebabkan tahap kesihatan yang rendah, malah Akademi Pakar Perubatan Keluarga Amerika mengesahkan terdapat 30 sikap yang boleh menyebabkan mereka berisiko mendapat penyakit," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_13.htm

Awas juruwang curi data kad kredit


HONG SUN (kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang
media di Bilik Gerakan Kompleks Kerajaan, Bukit Perdana semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Perbuatan empat juruwang hotel dan restoran yang bersekongkol dengan sebuah sindiket bagi mencuri data kad kredit pelanggan untuk diklon mengundang padah apabila mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di seluruh negara.

Serbuan yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu itu bermula sebaik polis menjalankan siasatan selepas menerima maklumat dan laporan dari beberapa mangsa mengenai kegiatan tersebut.

Melalui serbuan itu, polis dapat menumpaskan tiga sindiket yang beroperasi di lima buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak dan Sabah dengan menahan 11 lelaki serta lima wanita berusia antara 22 dan 44 tahun.

Sindiket yang beroperasi sejak awal tahun itu telah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit dengan menjual maklumat dan data kad kredit mangsa melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sindiket-sindiket itu pula tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun berkata, selain itu, sindiket juga akan menempah tiket kapal terbang dan bilik hotel di luar negara melalui internet beberapa minit mendapat data mangsa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Kena lebih 200 jahitan di kepala - Wanita warga emas parah diserang lelaki dikenali

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my



BEGINILAH keadaan Che Rokiah ketika dirawat di HRPZ II Kota Bharu akibat diserang di rumahnya di Bendang Pauh, Pasir Mas semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU - Seorang wanita warga emas hampir menemui ajalnya akibat ditetak selepas bergelut dengan seorang lelaki yang merompak di rumahnya di Kampung Chetok, Bendang Pauh, dekat Pasir Mas, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Che Rokiah Salleh, 55, cedera parah di kepala dan mata kiri terpaksa menerima lebih 200 jahitan serta patah tulang hidung, selepas dipukul oleh suspek dengan menggunakan batang besi.

Mangsa ditemui berlumuran darah dan terlantar di dalam rumah oleh anaknya, Mohd. Zahar Yazid, 23, kira-kira 6.40 pagi selepas pulang dari menghantar pekerja kilang.

Che Rokiah ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu berkata, kejadian berlaku sebaik dia bangun dari tidur dan ke bilik air untuk mengambil wuduk.

"Sebaik saya keluar, saya mendapati suspek yang saya kenal sudah berada di dalam rumah dan terus bertindak memukul tengkuk saya hingga saya terjatuh.

"Lelaki terbabit bertindak menetak kepala saya bertubi-tubi dengan batang besi. Saya menjerit meminta tolong tetapi ketika itu saya hanya bersama cucu saya yang berusia 18 bulan,"
katanya.

Tambahnya, dia tidak berdaya untuk melawan dan lelaki itu terus meragut rantai lehernya yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000 sebelum melarikan diri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Musim tengkujuh punca ikan mahal

Oleh ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@kosmo.com.m
y



KERATAN Kosmo! 27 November.
--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Datuk Shahrir Abdul Samad menyifatkan kenaikan harga ikan terutamanya ikan yang dimakan rakyat biasa tidak dapat dielak memandangkan negara sekarang dilanda musim tengkujuh.">

Sambil mengakui pihaknya mengetahui mengenai perkara tersebut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu juga mendedahkan harga sayur-sayuran juga mengalami nasib yang sama disebabkan faktor musim tengkujuh.

"Ia disebabkan oleh faktor cuaca dan kementerian telah pun melakukan yang terdaya seperti mengimport bekalan ikan dan sayur, tetapi ia bukan jaminan harga tidak naik.

"Musim sekarang nelayan di kawasan Pantai Timur yang terdiri daripada nelayan pesisir pantai tidak dapat menangkap ikan sehingga menyebabkan bekalan kurang, tetapi permintaan pula meningkat,"
katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! semalam bahawa harga ikan meningkat sehingga 50 peratus dan merupakan rekod tertinggi sejak 10 tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Izinkan suami kahwin lain

Oleh HARADIAN SHAH
HAMDAN
haradianshah@kosmo.com.my



MOHD. NOR membetulkan tudung isterinya, Wook Kundur ketika ditemui di rumah mereka
di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


HULU TERENGGANU - Wanita berusia 106 tahun, Wook Kundur sedia membenarkan suaminya, Mohd. Nor Musa, 37, berkahwin dengan gadis yang lebih muda.

Bagaimanapun, dia mengenakan syarat yang suami dan madunya itu perlu menjaga dirinya dengan baik dan tidak mengabaikannya.

"Saya izinkan kalau dia nak kahwin lagi. Saya tak kisah bermadu walaupun dengan perempuan yang muda.

"Saya faham Mohd. Nor tentu ada keinginan untuk hidup dan ada isteri yang muda dan cantik. Cuma janganlah bila dah dapat yang baru yang lama ni dilupakan,"
katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, sini, semalam.

Kosmo! baru-baru ini menyiarkan kisah Wook dan Mohd. Nor yang hidup bahagia sebagai suami isteri walaupun dipisahkan dengan jarak usia 69 tahun.

Pasangan itu berkahwin kira-kira tiga tahun lalu selepas Wook mencadangkan perkara itu selepas Mohd. Nor yang menyewa di rumahnya banyak membantu kehidupan seharian wanita itu.

Mengulas mengenai 'lampu hijau' yang diberikan isterinya, Mohd. Nor mengakui dia memang mempunyai keinginan untuk berkahwin lagi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Exco Wanita: Memang Rafidah tak bincang pelan peralihan


Muda Mohd Noor Nov 27, 08 7:06pm

Seorang lagi exco Wanita Umno, Rosni Zahari turut menegaskan bahawa pelan peralihan kuasa pergerakan itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco sebelum ia diumumkan pada 4 Ogos lalu.

Beliau yang juga ketua Wanita Umno bahagian Maran berkata, perkara tersebut hanya dibincangkan dalam mesyuarat exco pada 25 September lalu.

"Kita (exco) tidak tahu adanya peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah Aziz dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009.

"Kita hanya tahu apabila Tan Sri Rafidah mengumumkan perkara tersebut di dalam majlis Wanita bersama pemimpin yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Rosni berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang lagi exco pergerakan itu Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah yang mendakwa pelan peralihan kuasa Wanita tidak pernah dibincangkan sebelum 4 Ogos.

"Tan Sri Rafidah mengumumkan secara terburu-buru di majlis tersebut yang turut dihadiri oleh perdana menteri di PWTC," katanya.

Rosni berkata, Shahrizat dan beberapa exco lain telah membangkitkan isu peralihan kuasa tersebut dalam mesyuarat exco yang diadakan pada 25 September.

'Akar umbi tak puas hati'

Shahrizat, katanya membangkitkan perkara tersebut kerana ahli Wanita di peringkat akar umbi menimbulkan perasaan tidak puas hati dengan pengumuman tersebut.

Sementara itu, seorang lagi exco Wanita yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, isu tersebut telah dibincangkan secara panjang lebar dalam mesyuarat exco Wanita yang diadakan pada 10 November.

Dalam mesyuarat tersebut, katanya, Rafidah mahu peralihan kuasa kekal pada bulan Jun 2009 tetapi Shahrizat mahu dipercepatkan kepada bulan Mac depan.

"Datuk Seri Shahrizat tidak setuju dan mahu membincangkannya terlebih dahulu dengan Datuk Kamila Ibrahim kerana beliau juga layak bertanding jawatan naib ketua.

"Bagaimanapun, Tan Sri Rafidah kata setuju dan meminta supaya pelan peralihan pada Jun depan diterima," katanya lagi.

Mengulas perkara ini, Rosni berkata, Kamilia dicalonkan oleh Wanita Perak dan Sabah kerana kedua-dua negeri tersebut menolak pelan peralihan kuasa tersebut.

Katanya, Wanita Perak yang mula-mul amencalonkan Kamilia dan kemudian diikuti oleh Wanita Sabah dan bahagian-bahagian di negeri lain..

Beliau mendapat 55 pencalonan, temasuk 18 pencalonan dari Perak dan 14 dari Sabah.

http://www1.malaysiakini.com/news/93886

Arak: MBSA sokong exco S'gor


Jimadie Shah Othman Nov 27, 08 6:36pm

kemaskini 7:56pm Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyambut baik keputusan kerajaan Selangor ingin mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa tempatan, NGO dan peniaga berhubung penguatkuasaan kawalan penjualan alkohol.

Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani berkata, isu berhubung penguatkuasan penjualan minuman keras di negeri itu perlulah diperhalusi supaya keputusan yang tepat dapat dibuat.

Tambahnya, di Shah Alam, walaupun MBSA telah memutuskan pembatasan jualan alkohol di kawasan perbandaran itu, penguatkuasaannnya masih belum dilaksanakan.

"Kita tidak mahu (tindakan) bercanggah dengan keputusan exco," kata Mohtar kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, kerajaan negeri memutuskan menangguhkan dasar membataskan jualan minuman keras oleh sebarang pihak berkuasa tempatan termasuk MBSA.

Majlis itu pada asalnya merancang menguatkuasakan dasar mengehadkan jualan alkohol Januari depan.

Mengulas bidang kuasa MBSA mengawal penjualan alkohol di negeri itu, Mohtar berkata, perkara itu masih kabur berbanding bidang kuasanya dalam hal-hal lain seperti pemberian lesen perniagaan, pengurusan bangunan dan tempat letak kenderaan.

Berhubung cadangan mengehadkan jualan alkohol di stesen minyak, kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam dan restoran, Mohtar berkata, penguatkuasaannya bukanlah di bawah bidang kuasa MBSA.

"Kita tidak boleh kuatkuasa. Kita hanya dibenarkan menguatkuasakan untuk alkohol lebih lima peratus sahaja," katanya.

Peranan majlis itu, tambahnya, hanyalah berbincang dan bekerjasama kerana perkara itu di bawah peruntukan pejabat daerah.

Terdapat dua pejabat daerah di kawasan itu, Pejabat Daerah Klang dan Pejabat Daerah Petaling Jaya.

Sementara itu, seorang ahli majlis PAS di kawasan perbandaran itu turut menyambut baik keputusan Selangor menangguhkan penguatkuasaan PBT itu untuk membolehkan perbincangan lanjut dilakukan terlebih dahulu.

"Pandangan exco lebih menyeluruh, mengambil kita seluruh Selangor. Kita (MBSA) cuma di peringkat Shah Alam sahaja," kata Norhalim Sirome kepada Malaysiakini.

Mengulas tindakan seorang ahli majlis semalam yang ingin mencadangkan perkara yang sama dalam mesyuarat Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam, Norhalim berkata, secara peribadinya beliau tidak bersetuju dengan tindakan itu.

"Di Klang (penduduknya) semua Cina. Di sini lain. Shah Alam OK, majoriti (penduduknya) Melayu," katanya.

Norhalim malah mencadangkan PBT lain menjadikan Shah Alam sebagai model sebelum memulakan di tempat masing-masing.

"Biar Shah Alam jadi contoh dulu. Buat satu-satu. Kita tengok dulu di Shah Alam macam mana. Nak buat di tempat lain juga terlalu awal. Baru lapan bulan (Pakatan Rakyat) memerintah," katanya

Mengulas lanjut cadangan yang asalnya dikemukakan wakil-wakil PAS itu, Norhalim berkata, penguatkuasaan yang dicadangkan hanya melibatkan kawasan-kawasa majoriti Melayu sahaja.

"Saya ingat, kita telah tandakan (kawasan) mengikut seksyen," katanya.

Kawasan itu, tambahnya, melibatkan 40 peratus daripada seluruh Shah Alam sahaja.

http://www1.malaysiakini.com/news/93880

Chua: Kita tidak terima Ketuanan Melayu

Nov 27, 08 4:36pm


Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini berkata konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah.

Katanya slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi.

"Kita menerima kepimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu," katanya dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya hari ini.

"Bila kita berkata tolak 'Ketuanan Melayu', kita bukannya mencabar hak-hak istimewa orang Melayu. Ianya terkandung dalam perlembagaan kita dan tiada siapa pun boleh mengenetapikan pada masa ini.

"Dalam cara yang sama, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Statusnya dilindungi dalam perlembagaan, dan tiada siapa pun yang boleh mengubahnya,"
kata Chua.

Beliau berkata, status tersebut diterima dan dihormati, maka "bila kita belajar bahasa lain atau memasang papan tanda dalam bahasa lain, ianya bukan mencabar status bahasa kebangsaan kita".

Sehubungan itu, Dr Chua menegaskan pentingnya mengubah pemikiran rakyat Malaysia supaya tidak menguasai 'satu bahasa' sahaja dalam dunia globalisasi IT.

"Kita perlu berdayasaing tinggi. Maka meningkat pembelajaran dan penguasaan adalah mengenai memperkayakan tenaga kerja kita, bukan (bermaksudn) lain," tambahnya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia mesti berubah dan kurang bersikap konfrontasi, kontroversial, emosi dalam isu-isu yang melewati batasan perkauman.

"Jika kita menjadi kurang emosi/konfrontasi dan lebih objektif, maka suhu politik di Malaysia akan lebih 'normal'.

"Mesti ada lebih konsensus, lebih bertolak ansur dan lebih asas kesaksamaan; bukan hubungan Tuan dan Hamba.

"Hak semua masyarakat terkandung dalam perlembagaan. Para pemimpin tidak semesti tahu semuanya. Mungkin hanya yang terbaik untuk mereka dan bukannya untuk rakyat,"
katanya.

Satu lagi perubahan yang diperlukan, katanya ialah bagi rakyat Malaysia berfikiran seperti rakyat Malaysia dan kurang berdasarkan garis perkauman.


http://www1.malaysiakini.com/news/93861

Thursday, November 27, 2008

Hubungan ‘istimewa’

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


AMPANG JAYA: Keresahan hati ibu yang hairan anaknya sering pulang lewat dari sekolah akhirnya membongkar rahsia murid berusia 12 tahun itu menjalin hubungan songsang bersama rakan perempuan.

Ibu kanak-kanak terbabit dikatakan menunggu anaknya itu di sekolah pada Jumaat terakhir sebelum cuti sekolah selepas tidak berpuas hati anak gadisnya kerap pulang lewat tanpa sebarang alasan seminggu sebelum itu.

Wanita itu yang mengesyaki anaknya kmenyembunyikan sesuatu rahsia menunggu murid berkenaan di sekolahnya di kawasan Hulu Kelang.

Namun, selepas beberapa lama menunggu kanak-kanak berkenaan belum keluar dari perkarangan sekolah membuatkan wanita itu melilau mencari anaknya dalam kawasan bangunan terbabit.

Difahamkan, selepas beberapa lama mencari, kanak-kanak terbabit ditemui ibunya dalam tandas sekolah itu bersama seorang rakan sebaya dalam keadaan mencurigakan.

Sejurus menemui anaknya itu, wanita berkenaan terus membawa kanak-kanak terbabit pulang dan bertanyakan apa yang dilakukannya dalam tandas bersama rakan.

Menurut sumber, selepas didesak kanak-kanak terbabit menceritakan dia bersama rakannya melakukan aksi menjijikkan ketika dalam tandas dan sering pulang lewat selama ini kerana mahu melempiaskan nafsu masing-masing selepas tamat sesi persekolahan.

“Wanita terbabit terkejut mendengar pengakuan anaknya sebelum membuat laporan polis.

“Dia tidak menyangka anaknya melakukan perbuatan terkutuk itu memandangkan usia yang masih muda dan kerana berang perbuatan anaknya, wanita itu membuat laporan polis,”
katanya.

Sumber itu berkata, dalam kes terbabit polis hanya mampu menasihati dua murid berkenaan memandangkan mereka bawah umur.

“Kita juga ingin menasihati setiap ibu bapa memantau pergerakan anak terutama ketika musim cuti persekolahan ini,” katanya lagi.

Difahamkan, perbuatan mereka itu tidak diketahui pihak sekolah, namun beberapa rakan sekelas mengesyaki dua rakan terbabit mempunyai hubungan ‘istimewa’ kerana keintiman mereka di sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081127090829/Article/index_html

Lelaki malas guna minda

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my



SENARIO penuntut wanita yang terus menguasai populasi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikaitkan dengan kecenderungan golongan itu yang dikenal pasti lebih tekun, konsisten berbanding penuntut lelaki yang lebih bertumpu kepada kemahiran tangan dan pergerakan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun, berkata fenomena berkenaan berlaku apabila perbandingan senario sekarang dan beberapa tahun lalu dilakukan.

Sebenarnya, beliau berkata, penuntut lelaki bukan tidak pandai, tetapi malas menggunakan pemikiran mereka lebih sedikit.

“Penuntut wanita ini memang pandai sejak dulu kemungkinan akibat kekangan keluarga suatu ketika dulu yang menghalang mereka daripada membangunkan diri termasuk tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran.

“Bagaimanapun, hari ini penuntut wanita sudah diizinkan keluarga melanjutkan pelajaran setinggi mungkin dan sudah membuktikan mereka lebih hebat daripada lelaki dan mungkin satu hari nanti akan menggoncang dunia,”
katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Firdaus Jaafar (Pas-Jerai) di Dewan Rakyat, semalam

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Idris berkata, perangkaan menunjukkan penuntut lelaki di peringkat doktor falsafah (PhD) adalah melebihi penuntut wanita membabitkan masing-masing 61 peratus penuntut lelaki dan 38 peratus wanita.

Beliau berkata, kementerian tidak mengamalkan diskriminasi gender bukan saja kepada penjawat tinggi, malah kepada penuntut sehingga tidak ada cadangan bagi mewujudkan kuota penuntut lelaki dan wanita.

“Perangkaan terkini sungguh menarik apabila ada 60.39 peratus penuntut wanita di IPTA berbanding hanya 39.61 penuntut lelaki,” katanya.

Idris berkata, kementerian juga sudah mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi meningkatkan kesedaran kepada penuntut lelaki mengenai pentingnya pencapaian akademik bagi menghadapi masa depan.

Menurutnya, syarat kelayakan masuk ke IPTA yang memerlukan calon memiliki 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus kokurikulum secara tidak langsung dapat mengimbang fenomena penuntut wanita melebihi penuntut lelaki di IPTA di negara ini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081127091450/Article/index_html

Anak berang digari bapa

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


LAWAT...Rosly (depan) melawat mangsa yang cedera
ditembak anak sendiri di Hospital Sungai Buloh, semalam.


SUNGAI BULOH: Remaja berusia 15 tahun yang melepaskan tembakan rambang hingga mencederakan ibunya di bandar Country Homes, Rawang malam kelmarin dikatakan berang dengan tindakan bapanya menahannya ketika berada di sebuah kafe siber.

Difahamkan, bapa remaja terbabit yang juga seorang detektif polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berpangkat sarjan terserempak anaknya ketika menjalankan satu operasi sebelum itu.

Remaja terbabit kemudiannya dikatakan dibawa bapanya pulang ke rumah dalam keadaan bergari sebelum berlaku pertengkaran antara mereka berdua selepas remaja itu dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan itu.

Ketika pertengkaran itu, remaja berkenaan secara tiba-tiba hilang pertimbangan, masuk ke dalam rumah dan mengambil pistol jenis Glock milik bapanya yang disimpan dalam almari sebelum melepaskan tembakan rambang terkena rusuk kanan ibunya.

Malah, remaja terbabit sempat menyewa rumah tumpangan di Kuala Selangor ketika melarikan diri bersama rakannya sebelum ditemui polis kira-kira lima jam selepas itu.

Difahamkan, remaja itu memang agak nakal dan dia dikatakan sudah tiga kali ditukarkan sekolah kerana mempunyai masalah disiplin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan yang ditemui ketika melawat mangsa tembakan itu di Hospital Sungai Buloh (HSB) berkata, polis menahan suspek bersama seorang lagi rakannya di Kuala Selangor ketika menunggang motosikal.

“Polis turut menemui semula pistol digunakannya di dalam sebuah bilik di rumah tumpangan berhampiran lokasi suspek ditahan.

“Dia direman enam hari bermula hari ini (semalam) dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api ,”
katanya ketika ditemui, semalam.

Mengulas mengenai tindakan anggota polis berpangkat sarjan itu membawa balik senjata api ke rumah, beliau berkata itu tidak menjadi masalah kerana ia mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Sebagai seorang detektif, sarjan di bahagian jenayah dibenar membawa balik senjata api dan tindakan anggota itu adalah mengikut prosedur.

“Namun, tindakan diambil terhadap anggota itu bergantung kepada pihak tatatertib bahagian pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM),”
katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis menyiasat kemungkinan wujud faktor kecuaian dalam kejadian tembakan terbabit.

“Polis menyiasat jika remaja berkenaan memperoleh pistol itu disebabkan kecuaian bapanya yang bertugas sebagai detektif,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, polis mempunyai prosedur pengeluaran senjata api yang kemas dan ketat kepada pegawai dan anggota, bagaimanapun kadangkala berlaku kemalangan disebabkan kecuaian.

“Jadi kita siasat kes itu merangkumi semua aspek termasuk faktor kecuaian anggota terbabit dalam penyimpanan senjata berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, remaja terbabit dikatakan melepaskan tembakan rambang terkena rusuk kanan ibunya selepas gagal mengawal perasaan akibat berselisih faham dengan bapanya yang bertugas di IPD Petaling Jaya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081127094450/Article/index_html

‘Rasul Melayu’ turun ajaran kepada anak

KUALA LUMPUR: Pengasas ajaran sesat Rasul Melayu, Abdul Kahar Ahmad atau Haji Abdul Kahar (HAK) dikesan cuba menurunkan semua ilmu ajaran menyeleweng terbabit kepada anak lelakinya yang kini dilatih sebagai waris bagi mengembangkan ajaran sesat terbabit.

Difahamkan Abdul Kahar yang berusia 58 tahun itu cuba untuk membentuk anak sulungnya yang berusia 30-an bagi mengikut jejak langkahnya dalam merosakkan akidah umat Islam.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Muhammed Khusrin Munawi, yang bimbang sekiranya penyebaran ajaran sesat terbabit berupaya menarik ramai orang Islam.

Menurutnya, Abdul Kahar bersama anaknya itu, cuba menggunakan sebuah resort yang baru dibuka di sebuah perkampungan Orang Asli, Hulu Klang sebagai markas baru bagi menyebarkan fahaman songsangnya itu.


Difahamkan Abdul Kahar sebelum ini bukan hanya mengaku sebagai utusan Tuhan ke bumi, malah turut mengaku sebagai satu-satunya ‘Rasul Melayu’ yang diutus untuk menyelamatkan umat akhir zaman.


“Hasil siasatan mendapati anak lelaki Abdul Kahar mengetuai aktiviti resort berkenaan bagi menjalankan kegiatan berdakwah dan menyampaikan ceramah kepada pengikutnya.

“Namun ketika serbuan dilakukan, dia dipercayai baru meninggalkan kawasan terbabit selepas menyedari pihak berkuasa mahu menyerbu tempat berkenaan,” katanya.

Dia berkata Abdul Kahar yang menggelarkan dirinya sebagai Rasul Melayu itu dipercayai ‘menurunkan’ segala ilmu sesatnya kepada anak sulungnya, Zulhelmi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081127094547/Article/index_html

Siti Fairus tuntut RM200,000


TELITI...Siti Fairus (kanan) dan Farahiyah melihat dokumen
yang difailkan, semalam.


SHAH ALAM: Penyanyi popular 80-an, Siti Fairus Sheikh Mohamed yang popular dengan lagu ‘Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu’ memfailkan permohonan tuntutan mutaah daripada bekas suaminya bernilai RM200,000.

Selain itu Siti Fairus, 44, selaku plaintif turut memfailkan tuntutan harta sepencarian daripada Mohamad Zainuddin Kordi, 45, (defendan) membabitkan 10 harta alih dan tidak alih yang dibeli sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Siti Fairus yang ditemani seorang anaknya Farahiyah Amirah, 17, memfailkan kedua-dua tuntutan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dekat sini, pada jam 3 petang melalui peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.

Dalam pernyataan tuntutan mutaah yang difailkan mengikut peruntukkan Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Siti Fairus menyatakan sudah banyak berkorban demi kebaikan defendan dan rumah tangga.

Plaintif sanggup berkorban atas kehendak defendan untuk berhenti daripada terbabit dalam bidang hiburan ketika popularitinya sedang meningkat dan meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan.

Malangnya dia mendakwa pengorbanannya itu tidak dihargai apabila bekas suami menjalinkan hubungan bersama seorang perempuan Indonesia sebelum mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuannya.

Defendan kemudian meninggalkan rumah dan membiarkan plaintif terumbang-ambing keseorangan menguruskan keluarga dengan segala hutang yang ditinggalkannya, selain kini bergelar ibu tunggal dan perlu berdepan dengan masyarakat.

Dalam tuntutan mutaah itu, plaintif percaya defendan seorang berkemampuan dan mempunyai pendapatan yang lumayan serta mempunyai harta-harta lain dan mengakui tidak pernah disabitkan nusyuz.

Siti Fairus turut menuntut harta sepencarian daripada defendan membabitkan 10 harta alih dan tidak alih yang dibeli sepanjang tempoh perkahwinan mereka termasuk sebidang tanah di Subang Indah Petaling Jaya dan Tiara Beach Resort Pasir Panjang, Negeri Sembilan.

Plaintif juga menuntut sebidang tanah di Bukit Merah Laketown, Simpang Ampat Semanggol, Perak; dua bidang tanah di Mukim Damansara, sebuah rumah di Bandar Sri Damansara, Mutiara Damansara dan Seksyen 24 dekat sini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081127094932/Article/index_html

Urut on-line


Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Kaedah melanjutkan pelajaran melalui Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) sudah lama diamalkan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Namun, seorang bomoh canggih didapati mengendalikan kursus rawatan urut batin secara PJJ dari rumahnya pada waktu dipersetujui ‘pelajarnya’ termasuk di kalangan pakar kecantikan dan golongan berminat menjadikan bidang terbabit sebagai perniagaan.

Dia menggunakan kamera web dan set telefon telinga untuk memudahkan pelajar mengikuti kursus itu.

Kursus yang dihebahkan menerusi blog bomoh terbabit disifatkan sebagai ‘kursus istimewa’ kerana membolehkan seseorang peserta mempelajari kemahiran itu dalam sehari dengan bayaran RM280.

Pelajar diberi sijil segera kononnya diiktiraf sebagai pengamal perubatan Islam.

Seorang pakar kecantikan, Zahnita Arwadi, 36, berkata kursus kendalian lelaki berusia 40-an itu menerima sambutan luar biasa, termasuk dari Singapura berikutan kaedah pembelajaran menyeronokkan dan boleh disertai tanpa mengira jantina dan had umur.

Menurutnya, bomoh terbabit mendakwa memiliki ijazah tertentu dan berpengalaman lebih lapan tahun dalam bidang mengurut.

“Individu yang berminat mengikuti kursus itu tidak perlu bersusah payah ke rumahnya di Petaling Jaya, Selangor, sebaliknya hanya melayari Internet.

“Bomoh terbabit memaparkan kaedah urut batin dan gambar grafik bagi membolehkan pelajar mudah memahaminya.

“Demonstrasi menggunakan kamera web dan rakaman video dianggap latihan praktikal manakala nota memuatkan teori kursus akan dipos ke rumah peserta.

“Terdapat beberapa kaedah rawatan urut batin diajar antaranya rawatan mati pucuk, cepat klimaks, lemah zakar dan kurang nafsu,”
katanya.

Bomoh itu mendakwa kaedah urut batinnya mampu menguatkan zakar serta melancarkan perjalanan darah di sekitar urat zakar.

Dia berkata, pelajar juga didedahkan kaedah urut persediaan berkahwin bagi mengelakkan ejakulasi awal pada malam pertama selain mampu menambahkan tahap ereksi zakar.

Sebagai tarikan tambahan, bomoh itu menyediakan kursus ulangan percuma jika mereka masih tidak mahir dan diberi sebuah laman web percuma berkaitan urut batin.

Kata Zahnita, terdapat kursus lain ditawarkan bomoh terbabit iaitu khidmat pulih jodoh dan kursus merawat masalah gangguan jin seperti sihir, saka dan histeria.

Beberapa rakannya seolah-olah taksub dengan kaedah pembelajaran secara on-line itu dan sanggup menyertainya berulang kali.

Sementara itu, pembantu bomoh terbabit ketika dihubungi, berkata pelajar kursus itu perlu memasukkan wang dalam akaun bomoh terbabit sebelum sesi pembelajaran dimulakan.

Ketika diminta mengulas mengenai sijil, dia mendakwa pihaknya boleh memberi sijil kursus itu tanpa mendapatkan kelulusan jabatan tertentu.

“Apabila mempelajari kaedah urut batin menerusi on-line, peserta boleh menawarkan khidmat berkenaan kepada orang ramai dan menjana pendapatan lumayan melebihi RM3,000 sebulan.

“Ini mendorong lebih ramai yakin dengan kursus itu, termasuk sepasang suami isteri dari Singapura yang sudah mula mendapat pelanggan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20081127084557/Article

Dulu di laut, kini di kolam

Selepas dua dekad bekerja di pelantar cari gali minyak, Abdul Wahab nekad mahu menceburkan diri sebagai usahawan.


KERJA menternak ikan air tawar memberi kepuasan berbeza kepada Abdullah.

--------------------------------------------------------------------------------

KEPUASAN bekerja bukan terletak pada wang ringgit. Itulah konsep dan pandangan hidup seorang Abdul Wahid Abdul Wahab, 46, yang bekerja sebagai pegawai pelantar cari gali petroleum di sebuah syarikat multinasional.

Baginya, pengalaman bekerja lebih dua dekad di laut termasuk dengan sebuah syarikat petrokimia Jepun sentiasa mengajarnya menjadi berani menempuh cabaran dan saingan.

Demi mencari kepuasan bekerja, Abdul Wahid memulakan langkah mengusahakan kolam ternakan ikan air tawar. Kolam tersebut dibina di atas tanah seluas empat ekar milik keluarganya di Kampung Sungai Batu, Chetok dekat Pasir Mas.

"Sebenarnya, saya anak kampung yang sudah sebati dengan selut dan lumpur, jadi saya tetap kembali ke asal," ujarnya berbekalkan modal RM100,000.

Mengakui tidak sukar mengusahakan ternakan tersebut, hasratnya cuma satu. Beliau mahu menjadikan kolam ternakannya itu sebagai antara lokasi eko-pelancongan yang terkenal di negeri ini suatu hari nanti.

Setelah bercuti tanpa gaji selama enam bulan mengusahakan ternakan ikan air tawar ini, bapa kepada dua anak ini nekad berhenti daripada kerjayanya pada tahun depan.

Beliau menerima bantuan berupa peralatan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan.

"Pengalaman paling sukar dilupakan semasa bertugas di pelantar ialah ketika diserang taufan Typhon di perairan Taiwan semasa bekerja di sebuah pelantar cari gali di sana beberapa tahun lalu.

"Setiap bulan saya belayar dan telah menjejakkan kaki hampir ke seluruh pelosok dunia untuk tugasan yang mencabar ini. Meskipun gajinya lumayan tetapi lama-kelamaan ia bertukar rasa jemu,"
ujarnya.

Kata beliau, kedua-dua bidang ini memberinya kepuasan berbeza. "Kerja cari gali minyak memberi saya gaji puluhan ribu setiap bulan, tetapi menternak ikan air tawar bergantung kepada ketekunan dan kerajinan," jelasnya.

Abdul Wahid yang berasal dari kampung Penambang, Kota Bharu kini menetap di Kampung Sungai Batu, Chetok. Beliau mahu menumpukan kepada perusahaan menternak dan menjual benih ikan air tawar kepada peniaga dan pengusaha ikan.

Tambah Abdul Wahid, antara jenis-jenis ikan yang banyak diternak dan dijual benihnya ialah ikan patin, ikan keli Afrika, ikan puyu dan iikan hiasan.

Beliau bercadang untuk menjadikan kawasan kolamnya itu sebagai lokasi pelancongan. "Saya bercadang mahu menyediakan kemudahan penginapan desa kepada pengunjung.

"Saya akan daftarkan kawasan ini sebagai salah satu pusat pelancongan dengan aktiviti memancing sambil menikmati keindahan alam sekitar,"
katanya yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambahnya, dia mahu buktikan kepada remaja kampung hari ini bahawa mereka mampu mengubah nasib sendiri dengan syarat mempunyai semangat dan iltizam tinggi. - ABDULLAH AWANG

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm

'Askar Malaya anakku'


Kongo yang kembali bergolak mengimbau kembali kenangan tiga askar negara yang pernah bertugas di sana.


--------------------------------------------------------------------------------

SUDAH hampir lima dekad berlalu, namun bumi Republik Demokratik Kongo (Kongo) masih berpaksikan peperangan dan pertumpahan darah yang tidak bernoktah.

Kongo yang tidak pernah mengecapi kestabilan hingga ke hari ini merupakan negara di bawah tanah jajahan Belgium. Ia dikategorikan sebagai negara ketiga paling luas di Afrika yang kaya dengan khazanah bumi.

Pada pilihan raya umum pertamanya pada 31 Mei 1960, gerakan kemerdekaan Kongo di bawah pimpinan Patrice Lumumba menang dan diisytiharkan sebagai Perdana Menteri. Kongo diisytihar merdeka pada 31 Jun 1960.

Bagaimanapun kemenangan Lumumba mengundang rasa tidak puas hati pihak Barat, lantas menaja kumpulan pemberontakan.

Pada tahun yang sama, Malaya (kini Malaysia) yang baru tiga tahun mencapai kemerdekaan yang diterajui Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman membuat keputusan untuk menghantar tentera negara ini ke Kongo bagi membuktikan kesungguhan negara ini sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagi mengimbas kenangan ketika berada di negara itu, tiga orang veteran berkongsi pengalaman mereka ketika mencurah khidmat sebagai tentera pengaman PBB. Mereka dikenali sebagai Pasukan Khas Malaya selama lapan bulan bermula Oktober 1960.

Tergolong dalam senarai kumpulan pertama untuk menyertai misi pengaman PBB di Kongo, Sarjan Bakar Ismail, 75, menyahut cabaran itu dengan gembira.

"Ketika mendapat peluang itu hati saya teruja untuk ke sana. Ketika itu tidak ada istilah takut," katanya.

Perjalanan kumpulan tentera seramai 800 orang ke Kongo menaiki kapal bermula di Pelabuhan Klang menuju ke India, kemudian berlabuh di Mathadi iaitu sempadan Kongo.


SEBAHAGIAN pingat yang diterima Bakar Ismail sepanjang beliau berkhidmat selama 21 tahun sebagai anggota tentera.
--------------------------------------------------------------------------------

Seminggu menetap di situ, kemudian ke Kasisi dan akhirnya menaiki kereta selama lapan jam untuk tiba di Goma, Kongo.

"Di sana saya ditugaskan untuk meronda dan menjaga kawasan tersebut. Pada masa itu Perdana Menteri Kongo Patrice Lumumba diikat dan dibunuh oleh askar yang berkuasa dan pergolakan berlaku," katanya.

Selama lapan bulan berada di Kongo, beliau dapat melihat kekejaman yang dilakukan tentera Belgium terhadap masyarakat Kongo.

"Masa saya pergi itu mereka bergolak sesama sendiri, Belgium sangat berkira soal warna kulit, orang Kongo tak boleh lalu di jalan tar, bas tak boleh naik, orang putih saja, sebab itu orang Kongo sakit hati, mereka dijajah sebegitu, mereka sangat marah pada Belgium," katanya.

Melihat keadaan Kongo yang kembali bergolak, mengimbau kenangan Bakar ketika di negara itu.

"Sedih bila dengar Kongo kembali bergolak, kemudian teringat saat saya bertugas di sana, saya lihat semula gambar-gambar kenangan di sana, di mana tempat saya berkhemah dan melakukan rondaan," katanya.

Dia turut melahirkan rasa sedih kerana menerima elaun saguhati sepanjang lapan bulan di sana hanya RM500 sahaja.

Sebagai anak kampung yang membesar di Kampung Sungai Jernih, Lubuk China, Melaka, Sarjan Mustafa Jantan, 70, tidak pernah termimpi untuk ke luar negara, jauh sekali untuk menjejakkan kaki ke benua Afrika.

MUSTAFA Jantan menceritakan pengalamannya ketika berkhidmat sebagai tentera pengaman PBB.
--------------------------------------------------------------------------------

Katanya, MSF telah menjalankan tugas pengamannya dengan cemerlang sehingga sangat dihormati oleh PBB, tentera pengaman dari negara lain seperti Indonesia, India dan Filipina serta penduduk tempatan.

"Fizikal askar kita yang agak kecil dan keramahan kita membuatkan kebanyakan wanita tempatan menganggap kami sebagai anak mereka sendiri dan sering menyebut 'askar Malaya anakku'.

"Ada juga yang menyangka kami adalah pelajar dan bukannya askar," katanya yang lebih dikenali sebagai Pak Mus dan kini berkhidmat sebagai pemandu teksi.

Mustafa berkata, kebolehan bertutur serba sedikit bahasa Lingala hanya setelah dua minggu berada di negara itu berjaya menyelamatkan seorang pegawai pasukannya.

"Semasa tiba di kem Kindu, pegawai saya (yang dikenali sebagai Leftenan Anwar) diacu benet di lehernya oleh seorang askar Armee Nationale Congolaise (ANC) sebaik keluar dari kereta.

"Saya terus menepis benet itu kerana saya bertanggungjawab mengiring pegawai saya itu dan berkata kepada pegawai ANC itu:
'Buat apa macam ni, aku kawan, bukan musuh.

"Selepas itu saya keluarkan rokok dan berikan kepadanya dan hisap rokok bersama untuk redakan keadaan. Kemudian kawan-kawannya juga saya berikan rokok dan kami berjabat tangan dan berdamai selepas itu," katanya.


LOW KONG MING menunjukkan gambar-gambarnya ketika berkhidmat sebagai tentera pengaman PBB.

--------------------------------------------------------------------------------

Pengalaman yang hampir sama juga dikongsi oleh Sarjan Low Kong Ming, 69. Dia sering mengumpul keratan akhbar mengenai pergolakan di Kongo hingga ke hari ini.

Beliau yang pada ketika itu berumur 23 tahun dan baru mendirikan rumah tangga tidak dapat melupakan penduduk Kongo akibat pergolakan yang tidak berkesudahan itu.

"Penduduk asli Kongo hanya menggunakan tombak dan panah bagi mempertahankan diri daripada serangan peluru pemberontak.

"Anak-anak kecil juga kelaparan sehinggakan ada yang menadah tangan ketika kami (tentera) ingin membuang lebihan makanan yang tidak habis dimakan ke dalam tong sampah," katanya.

Low yang kini menjalankan perniagaan makanan berkata, tentera Malaysia perlu dihantar kembali ke negara itu sebagai pengaman PBB seperti yang dilakukan 48 tahun lalu. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Kesunyian syurga liburan


Industri pelancongan di Caribbean berdepan dengan krisis paling sukar dalam sejarahnya apabila ribuan pekerja mula diberhentikan dan pembinaan vila baru tidak diteruskan.


--------------------------------------------------------------------------------

LAUTNYA bersinar dengan air berwarna firus. Deruan ombak kecil menghempas pantai berpasir putih yang dipenuhi dengan deretan sempurna pepohon palma.

Ratusan vila-vila mewah tersusun menghadap pemandangan indah itu, tetapi tiada tetamu yang kelihatan.

Tiada juga bumbung, di sudut luar kelihatan beberapa ikatan jubin merah. Angin menghentam pintu dan kedengaran desiran surat khabar yang dilekatkan di tingkap setiap kali vila terselak.

Pemandangan kerja terhenti di resort Cap Cana, iaitu sebuah projek pembangunan yang turut melibatkan empat buah hotel mewah, tiga padang golf dan sebuah marina kapal layar mewah. Ia merupakan mangsa krisis kewangan global yang telah melanda industri pelancongan di Caribbean.

Bulan lalu Cap Cana terpaksa memecat 500 pekerjanya selepas Lehman Brothers mengisytiharkan muflis dan kegagalan mendapatkan pinjaman sejumlah RM906 juta.

Perbincangan semula minggu lalu untuk mendapatkan pinjaman jangka masa pendek berjumlah RM362 juta gagal dan dijangkakan lebih banyak kakitangan akan kehilangan kerja mereka.

"Projek kami telah menerima kesan tsunami ekonomi yang telah melumpuhkan pasaran kewangan global," kata Presiden Cap Cana, Ricardo Hazoury.

Pembinaan Resort Ritz-Carlton Molasses Reef di Caicos Barat juga lumpuh, dengan 60 pekerja Chinanya telah memberontak untuk menuntut gaji mereka.

Kira-kira 160 pekerja sudah dihantar pulang ke China dan masih tidak jelas bila kerja-kerja pembinaan hotel, marina dan kondominium yang kini siap tiga perempat itu akan disambung.

Baha Mar Resorts Ltd. telah membuang kira-kira 40 orang kakitangan di Resort Sheraton Bahamas dan 40 orang lagi di Resort Wyndham Nassau.

Kesatuan Katering Hotel dan Pekerja Bersekutu Bahamas telah mengadakan demonstrasi baru-baru ini, menuntut bantuan kerajaan.

"Saya telah berkecimpung dalam perniagaan ini selama 38 tahun. Saya melihat impak Perang Teluk dan kemerosotan yang berlaku pada tahun 1980-an. Sudah tentu sekali peristiwa 11 September.

"Tetapi tidak melibatkan keadaan global, yang menjadikan situasi kewangan masa kini lebih membimbangkan
," kata Robert Sands, Timbalan Presiden Kanan Perhubungan Luar Baha Mar.



DESTINASI Cap Cana kini dilanda kesunyian ekoran kekurangan pengunjung.

--------------------------------------------------------------------------------

Di Puerto Rico, Caribe Hilton telah memecat lebih 50 orang kakitangannya bulan ini kerana peningkatan kos dan kadar tetamu hotel yang lembap. Kali terakhir hotel tersebut terpaksa membuang pekerjanya ialah selepas serangan 11 September, kata Pengurus Besar Jose Campo.

"Apa yang membimbangkan saya ialah keadaan ini akan berlanjutan," katanya.

"Kami sedang menjalankan kempen yang agresif tetapi kita tidak boleh mengubah situasi ini."

Malah, musim perayaan yang biasanya sibuk juga dijangka agak sepi.

"Masih terdapat ruang untuk musim perayaan ini dan selanjutnya. Kini biasanya merupakan masa di mana bilik-bilik hotel penuh dan mereka yang bercuti mencari sebarang tempat kosong," kata Alec Sanguinetti, Ketua Pegawai Operasi Persatuan Perhotelan dan Perlancongan Caribbean.

Para pekerja menghabiskan waktu cuti mereka mencari kerja di luar lingkaran industri pelancongan. Selebihnya telah pun dihantar pulang.

Victor Felipe Feliz, 24, menyara kehidupan beliau dan kedua anaknya dengan berhutang di kedai sejak kehilangan kerja di tapak binaan Cap Cana bulan lalu.

"Saya perlu bekerja agar dapat membeli napkin dan makanan. Sejak beberapa bulan saya tidak dapat membeli pakaian. Saya tidak mampu membeli apa-apa," keluh beliau.

Cap Cana merancang untuk memecat 1,000 pekerja lagi dalam bulan-bulan terdekat, menurut seorang pegawai syarikat itu yang enggan dikenali kerana tidak diberikan kuasa untuk memberikan maklumat tersebut.

Namun, Presiden Cap Cana, Ricardo Hazoury, berkata beliau menjangkakan projek tersebut diteruskan memandangkan syarikat tersebut mendapatkan khidmat luar terhadap perkhidmatan tertentu.

Pembangunan seluas 130 kilometer persegi itu terletak kawasan paling timur Dominican Republic, di tengah-tengah hutan. Pemajunya termasuk Deutsche Bank, Trump Organization dan Ritz Carlton Hotel Company.

Cap Cana dikendalikan seperti sebuah bandar berbanding sebuah pembangunan persendirian. Ia menghasilkan tenaga dan airnya sendiri, mempunyai ratusan buah vila dan kondominium serta sebuah sekolah.

Ada di antara vila-vila dan hotel itu didiami, tetapi kebanyakan masih lagi dalam fasa pembinaan.

"Kami pernah mempunyai bilangan pekerja yang banyak - pekerja buruh, tukang paip dan juruelektrik. Majoriti mereka telah meninggalkan tempat ini dan pulang," kata Wilkin Cuevamato yang telah dibuang kerja tetapi kemudian diambil semula di satu lagi hartanah Cap Cana.

Krisis tersebut turut memberi kesan kepada sektor penerbangan. American Airlines, syarikat penerbangan utama ke Puerto Rico, telah mengurangkan penerbangan sebanyak 44 peratus.

Sungguhpun demikian, syarikat-syarikat lain memenuhi kekosongan untuk mengurangkan jumlah kejatuhan kepada 14 peratus.


PARA pekerja menghabiskan waktu cuti mereka mencari kerja di luar lingkaran industri pelancongan.

--------------------------------------------------------------------------------

Sesetengah hotel menawarkan promosi murah saat akhir. Scott Berman, seorang penasihat pelancongan untuk Pricewaterhouse Coopers di Miami berkata keadaan selepas musim perayaan ini kelihatan suram.

"Agak adil untuk diperkatakan bahawa tahun 2009 akan menjadi tahun yang sukar," kata beliau. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Nasib malang anak luar nikah


Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Dilahirkan sebagai anak luar nikah, Sakina terpaksa mengharungi kehidupan yang berliku. Bagaimanakah dia dapat mengubah masa depannya?

* Nama yang tersiar dalan artikel ini adalah nama samaran tetapi berlandaskan cerita sebenar. Identiti sebenar individu terbabit adalah dirahsiakan. – PENGARANG


--------------------------------------------------------------------------------

BERAT hati yang bertanya, berat lagi hati yang menjawab. Begitulah perasaan yang bergelodak ketika mengajukan beberapa soalan penting.

Tergambar kepedihan di wajahnya kepedihan kala bertentangan mata. Enggan memulakan bicara pada mulanya, isi hati yang terbuku di hati wanita berusia 29 tahun ini sukar dikongsi dengan sesiapa, lebih-lebih lagi dengan orang yang tidak dikenali.

Dia hanya memperkenalkan namanya sebagai Sakina. Seperti wanita seusianya, Sakina tampil sederhana bersama bakal suami, yang dikenali sebagai Gavin di tempat pertemuan seperti yang dijanjikan.

Sakina membuka bicara dengan menunjukkan sijil kelahiran yang diperoleh hasil bantuan Gavin pada pertengahan tahun lalu.

Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiranya. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.


--------------------------------------------------------------------------------

Kata Sakina, dia sendiri tidak mengesyaki apa-apa sehingga keluarga angkatnya secara tidak sengaja membuka rahsia. Semuanya disebabkan oleh desakan hidup.

"Bapa angkat saya kerap minum arak dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Dia mempunyai sembilan orang anak lain dan apabila semuanya masuk sekolah, wang menjadi isu."

"Lalu perangai sebenarnya terserlah. Bergaduh dengan ibu dan marah tak tentu pasal. Satu hari terpacul dari mulutnya bahawa saya bukan anak kandungnya," kata Sakina yang ketika itu berusia 15 tahun.

Memandangkan kos sara hidup keluarga yang kian meningkat, bapa angkatnya menghalaunya keluar dari rumah dan terpaksa mencari jalan untuk menyara hidup sendiri.

Tanpa mengetahui sama ada ibu bapa kandungnya pernah kahwin atau tidak, dia hanya diberitahu oleh neneknya bahawa ibunya meninggal dunia akibat sakit mental, manakala bapanya tidak dapat dikesan.

Sakina terus tinggal dengan nenek tua itu sehingga dewasa. Memandangkan dia tidak pernah ke sekolah, Sakina menjalani kehidupannya tanpa mendapatkan pertolongan sesiapa. Kekangan hidup menyebabkan Sakina tidak ke sekolah dan akhirnya menjadi buta huruf.


--------------------------------------------------------------------------------

"Sudah berpuluh-puluh kali saya naik turun kilang untuk diterima bekerja sebagai pekerja kilang. Tak seorang pun mahu mengambil saya bekerja kerana saya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya yang ketiadaan sijil kelahiran dan kad pengenalan diri.

Akibat tertekan Sakina berkali-kali cuba bertindak membunuh diri. Mujur, niatnya itu terbatal setelah Gavin memberi harapan. Berpacaran sejak tiga tahun yang lalu, jejaka ini menerima Sakina seadanya.

Gavin banyak membantu Sakina mendapatkan sijil kelahiran dengan membawa ibu dan bapa angkat untuk mengangkat sumpah di mahkamah.

"Jika diteliti kes sebegini, yang harus dipersalahkan ialah ibu bapa kandungnya. Anak yang tidak bersalah terpaksa mengharungi detik-detik hidup yang perit," ujar Presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Mira Samantha ketika diminta mengulas mengenai kes seumpama ini.

"Jangan persalahkan mereka sekiranya mereka menyembunyikan identiti masing-masing. Itu hak mereka. Cerminlah diri kita sendiri yang meminggirkan mereka atas alasan dan sebab yang tidak munasabah. Haruskah mereka menanggung aib?" tegas Mira.

Mira mengingatkan umum bahawa mereka adalah manusia biasa seperti orang lain. "Dia bukannya berpenyakit! "Biar dia hidup. Biar dia mencapai cita-citanya. Biar dia membuat pilihan sendiri."

Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf.

Berdasarkan kepada laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 257, 000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai yang lalu.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat.

Melihat kegentingan situasi yang dihadapi, banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan tampil menguar-uarkan bantuan yang disediakan. Saravanan M. Sinapan, Pengarah Pembangunan Komuniti, Era Konsumer Malaysia (ERA), menerima sekurang-kurangnya 20 masalah berkaitan dengan pemerolehan sijil kelahiran dan enam daripadanya melibatkan anak luar nikah.

"Banyak faktor yang mempengaruhi 'wabak penyakit' ini. Cuma jika tidak dibendung, ia boleh merebak dengan cepat," katanya yang secara peribadi menganggap terma 'anak luar nikah' agak kasar.

Baru-baru ini, kes Sakina yang dibawa ke perhatiannya, ditangani. Sakina mendapatkan kad pengenalan hijau yang tertera pemastautin sementara.

"Buat masa ini, dia ada dokumen. Kita akan cuba untuk menukarkan statusnya kepada warganegara tetap ia mengambil masa. Kita perlu kerjasama saksi yang dapat mengangkat sumpah bahawa dia anak kepada siapa," jelas Saravanan.



SAKINA menaruh harapan masa depannya akan berubah selepas berkahwin dengan Gavin.

--------------------------------------------------------------------------------

Dengan adanya kad pengenalan itu, Sakina berharap dia diberi peluang untuk bekerja dan menjalani kehidupan normal.

"Sekarang, saya boleh menulis dan membaca bahasa Tamil dan dengan kemahiran menjahit, saya mahu menggalas sebahagian beban kebajikan Siva terhadap saya dan keluarganya," katanya menutup bicara.

Negeri Sembilan paling ramai sakit mental

Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my


SEREMBAN - Negeri Sembilan mencatatkan jumlah pesakit mental mental, diabetes dan obesiti paling tinggi di seluruh negara di kalangan orang dewasa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ismail Taib berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan 2006 lalu yang mendapati seramai 15.33 peratus penduduk negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas dikesan menghidap diabetes, diikuti masalah kesihatan mental (21.1 peratus) dan obesiti (18.6 peratus).

"Peratus bagi tiga penyakit itu meletakkan Negeri Sembilan pada kedudukan pertama berbanding negeri lain seluruh negara," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Awaluddin Said (BN-Kota) mengenai status kesihatan rakyat negeri ini pada Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini, semalam.

Beliau yang juga ADUN BN Linggi memberitahu, masalah kesihatan mental kanak-kanak dan remaja seramai 31.2 peratus dan berada pada kedudukan kedua seluruh negara.

Ujarnya, masalah berat badan berlebihan di kalangan kanak-kanak pula pada kedudukan ketiga tertinggi berbanding negeri lain.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_15.htm

'Kami sedia beri kerjasama'

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammarjazlan.madlela@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Kalangan pengusaha dan pengamal yoga di negara ini mengalu-alukan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi memastikan tidak timbul tanggapan negatif terhadap senaman yoga.

Ia berikutan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka.

Personaliti dan jurulatih yoga, Ninie Ahmad, 26, berkata, perbincangan dengan pihak berkuasa agama penting memandangkan kebanyakan pengusaha dan jurulatih yoga di negara ini hanya mengamalkan yoga berasaskan senaman tanpa melibatkan sebarang unsur mentera atau pemujaan.

"Yoga hari ini telah mengalami transformasi yang berkait rapat dengan unsur saintifik dan sains perubatan, ia tidak mempunyai kaitan langsung dengan agama atau bangsa seseorang berbanding ketika ia diasaskan lebih 5,000 tahun dahulu.

"Tidak hairanlah kini ia diminati pelbagai kaum di negara ini, malah kini ramai tenaga pengajarnya yang terdiri daripada orang Islam, malah golongan profesional, selebriti dan VVIP juga semakin menggemari senaman ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tambah Ninie, selain itu, pihak berkuasa boleh mewujudkan satu garis panduan kepada pengusaha dan jurulatih yoga bagi memastikan senaman ini tidak bercanggah dan bertentangan dengan Islam.

Bagi pengusaha Maya Yoga Studio, Datin Suleiha Merican, 56, beliau tidak bersedia bertukar kepada perniagaan lain memandangkan perniagaan itu merupakan mata pencariannya sekeluarga.

"Saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, mereka boleh datang dan melihat sendiri kelas yoga yang saya adakan di premis di Damansara Perdana sama ada ia bercanggah dengan Islam atau pun tidak.

"Lagi pun saya sudah lama berkecimpung dalam yoga iaitu sejak berumur empat tahun, ahli keluarga saya juga turut mengamalkan yoga, namun sehingga kini saya yakin akidah saya tetap sama dan tidak pernah berubah kerana ia dilihat sebagai alternatif dalam penjagaan kesihatan semata-mata,"
katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_13.htm

Adik pelakon jadi ejen - Mangsa

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my



KERATAN Kosmo! Ahad 23 November.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Nampaknya bukan golongan artis dan VIP sahaja yang terjerat dan diperdaya oleh ejen pelaburan yang menggunakan nama sebuah syarikat rokok antarabangsa malah golongan kebanyakan juga terpedaya.

Malah ada antara mangsa mendakwa pelaburan mereka dibuat melalui adik seorang pelakon.

Seorang mangsa, Zalina Hilaluddin berkata, dia dan keluarganya kerugian melebihi RM100,000 dan sehingga kini tidak mendapat keuntungan dari pelaburan itu.

"Kisah kami lebih kurang sama dengan penyanyi Amy dan rakan-rakannya namun saya tidak pasti sama ada kami ditipu oleh ejen yang sama atau pun tidak," dakwanya melalui e-mel yang dihantar ke Kosmo! semalam.

Menurut Zalina, rakannya itu memberitahu dia merupakan orang tengah kepada rakannya yang bekerja di syarikat rokok tersebut dan mereka akan melabur di bawah lot saham pekerja.

"Saya menyertai saham tersebut tanpa ada dokumen hitam putih sejak Februari 2006 tanpa sebarang masalah malah saya dijanjikan keuntungan 50 peratus setiap dua bulan dari jumlah yang dilaburkan.

"Tetapi sehingga April 2008, adik artis tersebut masih bertanyakan sama ada mahu mengeluarkan keuntungan saham atau menambah pelaburan.

"Tapi sejak bulan Jun dia seakan mendiamkan diri. Panggilan telefon bimbit tidak dijawab, mesej tidak balas dan akhir sekali saya hubungi pejabatnya dan saya dapat bercakap dengannya,"
katanya lagi.

Bagaimanapun, adik artis tersebut memberitahu saham tersebut sudah tidak aktif sejak Julai dan Ogos lalu dan katanya pembayaran ambil masa kerana duit dalam akaun syarikat itu tidak boleh dikeluarkan.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan beberapa orang artis tempatan mengadu kerugian apabila jutaan ringgit yang dilaburkan melalui seorang ejen wanita membabitkan syarikat rokok terkemuka lesap begitu sahaja.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Isteri hilang lepas sebulan kahwin


Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my




KENG YAK menunjukkan gambar isterinya pada sidang akhbar anjuran Biro Pengaduan Awam MCA negeri di Melaka semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

MELAKA - Baru sebulan berkahwin namun isteri yang dikenali melalui agensi mencari jodoh sudah menghilangkan diri.

Itulah nasib yang menimpa seorang tukang masak, Lok Keng Yak, 27, apabila isterinya, Ngu Yen Thien My Lien, 19, seorang warga Vietnam yang dikahwininya pada 8 Oktober menghilangkan diri sejak 12 November lalu.

Menurut Keng Yak, beliau mengenali isterinya itu melalui agensi mencari jodoh di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

"Setelah beberapa kali bertemu, saya akhirnya mengambil keputusan untuk mengahwini My Lien," katanya pada sidang akhbar anjuran Biro Pengaduan Awam MCA negeri di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Biro Pengaduan Awam Kebangsaan, Wong Nai Chee.

Keng Yak yang enggan menyatakan jumlah yang telah dibayar kepada agensi tersebut memberitahu, perkahwinannya dengan My Lien turut dihadiri bapa isterinya yang menetap di Vietnam.

Dia yang bekerja di salah sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor pulang ke rumahnya di Kuala Sungai Baru, Melaka seminggu sekali berkata, pelbagai usaha telah dilakukannya untuk mengesan My Lien termasuk menghubungi keluarga isterinya di Vietnam namun tidak berhasil.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

'Dia bukan sengaja nak tembak'

Oleh ATIKAH DALI
berita@kosmo.com.my



KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

GOMBAK - 'Dia bukan sengaja dan saya maafkan dia'.

Demikian luahan seorang ibu yang cedera di rusuk kanan selepas terkena satu das tembakan tersasar yang dilepaskan anaknya di rumah mereka di Country Homes, Rawang kelmarin.

Noriza Abdul Rahman, 45, berkata, sebelum kejadian pukul 7 malam itu, anak lelakinya yang berusia 15 tahun dikatakan berselisih faham dengan suaminya.

"Melihat keadaan yang semakin tegang, saya cuba memujuk kedua-duanya dengan menyuruh suami saya mengalihkan kereta di luar rumah sebagai alasan.

"Selepas kedua-duanya beredar, saya kemudian keluar ke halaman untuk melihat suami saya mengalihkan kereta,''
katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh semalam.

Menurut Noriza, sangkaannya bahawa perselisihan faham antara dua beranak itu berakhir rupa-rupanya meleset apabila anak sulungnya itu bertindak masuk ke dalam bilik dan mengambil pistol jenis Glock.

Difahamkan, remaja terbabit bertindak memecahkan almari untuk mengambil pistol milik bapanya yang merupakan seorang anggota polis berpangkat Sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Sebelum melepaskan tembakan, remaja yang baru selesai menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu dipercayai sekali lagi berselisih faham dengan bapanya ketika berada di halaman rumah tersebut.

"Saya ingat dia hanya mahu menakutkan saya dan tak sangka dia (anak) akan berbuat demikian (lepas tembakan).

"Saya tahu dia (anak) tidak berniat untuk bertindak demikian dan saya memang sudah memaafkannya sejak kejadian itu lagi," katanya yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Jelas wanita itu lagi, sebaik tembakan yang dilepaskan dari arah belakang terkena pada rusuk kanannya, remaja itu menjerit meminta pertolongan jiran.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

'Ikan rakyat biasa' mahal


Oleh WARTAWAN Kosmo!
berita@kosmo.com.my



IKAN kembung yang dijual RM9 sekilogram di Pasar Pudu, Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Sudahlah kalangan peniaga begitu liat menururnkan harga barangan walaupun harga minyak telah lima kali turun, perangai yang sama juga 'dicontohi' peniaga ikan.

Malah tinjauan Kosmo! mendapati harga ikan-ikan tertentu terutama yang membabitkan 'ikan-ikan yang dimakan rakyat biasa'seperti cencaru, selar dan kembung melambung harganya.

Jika dahulu alasan yang diberikan kerana harga minyak naik, namun kini mereka mencari alasan lain pula termasuk faktor bulan mengambang menyebabkan tangkapan berkurangan.

Bukan mahu menakutkan mana-mana pihak, namun itu realitinya. Tinjauan di beberapa pasar utama di seluruh negara mendapati rata-rata ikan mengalami kenaikan harga dan sesetengahnya sehingga 50 peratus.

Malah jangan harap pelanggan akan membeli ikan kembung berharga RM6 sekilogram seperti yang dapat dinikmati setahun lalu sebaliknya kini telah melambung sehingga RM12 sekilogram.

Peniaga ikan menuding jari kepada pemborong kerana didakwa meletakkan harga yang tinggi manakala pemborong pula menyalahkan pembekal.

Pembekal pula menyalahkan nelayan dan nelayan mendakwa faktor bulan mengambang punca bekalan semakin susut sejak kebelakangan ini.

Apa pun, kenaikan harga ikan ini didakwa terburuk berlaku sepanjang 10 tahun kebelakangan ini dan akibatnya permintaan terhadapnya semakin menurun mendadak termasuk di kalangan peniaga kedai makan.


--------------------------------------------------------------------------------

Di Lembah Klang, tinjauan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur mendapati, rata-rata peniaga mendakwa keengganan pemborong menurunkan harga menjadi punca dan mereka sendiri hairan dengan apa yang berlaku.

Antara jenis ikan yang menunjukkan kenaikan mendadak ialah seperti kembung, tenggiri dan kerisi sehingga memaksa peniaga menjualnya dalam kuantiti sedikit bagi mengelak kerugian.

Di Pasar Borong Selangor dekat Seri Kembangan pula, harga ikan didapati mula naik melambung sehingga 50 peratus sejak minggu lepas dan ia diakui sendiri oleh para peniaga.

Rata-rata peniaga mendakwa, kenaikan harga ikan tidak dapat dielakkan terutama bagi ikan kecil yang dahulu dijual rendah seperti selayang, selar dan cencaru.

Di Kuantan pula, harga ikan di negeri ini juga naik mendadak sehingga 20 peratus lebih tinggi bermula kelmarin berikutan kesan musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur.

Antara jenis ikan yang mengalami peningkatan harga termasuklah kerisi, kembung, cencaru, selar, gelama, selayang dan tenggiri.

Rata-rata peniaga ditemui mendakwa, kenaikan harga tersebut langsung tidak mempunyai kaitan dengan harga bahan api.

Malah tindakan peniaga yang terus memborong ikan dari negeri di Pantai Timur juga tidak dapat keuntungan besar kerana jumlah tangkapan yang semakin menurun dan dikaitkan dengan bulan mengambang dan air naik.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Malaysian PM wades into yoga row


Agence France-Presse - 11/26/2008 10:38 AM GMT

Malaysia's Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi on Wednesday waded into a row over a ban on yoga for Muslims, saying they could practise the exercise as long as it had no spiritual elements.

Malaysia's highest Islamic body, the National Fatwa Council, on Saturday banned yoga for Muslims, saying it could erode their faith.

But the decision triggered uproar from moderate Muslims, and from royal state rulers who are considered the guardians of Islam in the country and are demanding that they consider the issue before it is banned.

"I wish to state that a physical regime with no elements of worship can continue, meaning, it is not banned. I believe that Muslims are not easily swayed into polytheism," Abdullah told state media.

Abdullah said Muslims who performed yoga exercise without chanting Hindu mantras could carry on with their activity as it was good for their health.

"What I understand from the decision of the National Fatwa Council is that it was aimed at explaining to Muslims the implications of yoga practice," he said.

He also said that the "fatwa" or religious edit banning yoga would only be implemented if it received consent from a council of state rulers.

Once a state gazettes the fatwa, it will become part of the law.

Malaysia's population is dominated by Muslim Malays, and the ethnic Chinese and Indian minorities are becoming concerned over rising "Islamisation" of the multicultural country.

http://news.my.msn.com/regional/article.aspx?cp-documentid=1804729
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...