Thursday, November 27, 2008

'Kami sedia beri kerjasama'

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammarjazlan.madlela@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Kalangan pengusaha dan pengamal yoga di negara ini mengalu-alukan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi memastikan tidak timbul tanggapan negatif terhadap senaman yoga.

Ia berikutan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka.

Personaliti dan jurulatih yoga, Ninie Ahmad, 26, berkata, perbincangan dengan pihak berkuasa agama penting memandangkan kebanyakan pengusaha dan jurulatih yoga di negara ini hanya mengamalkan yoga berasaskan senaman tanpa melibatkan sebarang unsur mentera atau pemujaan.

"Yoga hari ini telah mengalami transformasi yang berkait rapat dengan unsur saintifik dan sains perubatan, ia tidak mempunyai kaitan langsung dengan agama atau bangsa seseorang berbanding ketika ia diasaskan lebih 5,000 tahun dahulu.

"Tidak hairanlah kini ia diminati pelbagai kaum di negara ini, malah kini ramai tenaga pengajarnya yang terdiri daripada orang Islam, malah golongan profesional, selebriti dan VVIP juga semakin menggemari senaman ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tambah Ninie, selain itu, pihak berkuasa boleh mewujudkan satu garis panduan kepada pengusaha dan jurulatih yoga bagi memastikan senaman ini tidak bercanggah dan bertentangan dengan Islam.

Bagi pengusaha Maya Yoga Studio, Datin Suleiha Merican, 56, beliau tidak bersedia bertukar kepada perniagaan lain memandangkan perniagaan itu merupakan mata pencariannya sekeluarga.

"Saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, mereka boleh datang dan melihat sendiri kelas yoga yang saya adakan di premis di Damansara Perdana sama ada ia bercanggah dengan Islam atau pun tidak.

"Lagi pun saya sudah lama berkecimpung dalam yoga iaitu sejak berumur empat tahun, ahli keluarga saya juga turut mengamalkan yoga, namun sehingga kini saya yakin akidah saya tetap sama dan tidak pernah berubah kerana ia dilihat sebagai alternatif dalam penjagaan kesihatan semata-mata,"
katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_13.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...