Thursday, November 27, 2008

'Dia bukan sengaja nak tembak'

Oleh ATIKAH DALI
berita@kosmo.com.my



KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

GOMBAK - 'Dia bukan sengaja dan saya maafkan dia'.

Demikian luahan seorang ibu yang cedera di rusuk kanan selepas terkena satu das tembakan tersasar yang dilepaskan anaknya di rumah mereka di Country Homes, Rawang kelmarin.

Noriza Abdul Rahman, 45, berkata, sebelum kejadian pukul 7 malam itu, anak lelakinya yang berusia 15 tahun dikatakan berselisih faham dengan suaminya.

"Melihat keadaan yang semakin tegang, saya cuba memujuk kedua-duanya dengan menyuruh suami saya mengalihkan kereta di luar rumah sebagai alasan.

"Selepas kedua-duanya beredar, saya kemudian keluar ke halaman untuk melihat suami saya mengalihkan kereta,''
katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh semalam.

Menurut Noriza, sangkaannya bahawa perselisihan faham antara dua beranak itu berakhir rupa-rupanya meleset apabila anak sulungnya itu bertindak masuk ke dalam bilik dan mengambil pistol jenis Glock.

Difahamkan, remaja terbabit bertindak memecahkan almari untuk mengambil pistol milik bapanya yang merupakan seorang anggota polis berpangkat Sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Sebelum melepaskan tembakan, remaja yang baru selesai menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu dipercayai sekali lagi berselisih faham dengan bapanya ketika berada di halaman rumah tersebut.

"Saya ingat dia hanya mahu menakutkan saya dan tak sangka dia (anak) akan berbuat demikian (lepas tembakan).

"Saya tahu dia (anak) tidak berniat untuk bertindak demikian dan saya memang sudah memaafkannya sejak kejadian itu lagi," katanya yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Jelas wanita itu lagi, sebaik tembakan yang dilepaskan dari arah belakang terkena pada rusuk kanannya, remaja itu menjerit meminta pertolongan jiran.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...