Thursday, November 27, 2008

Kesunyian syurga liburan


Industri pelancongan di Caribbean berdepan dengan krisis paling sukar dalam sejarahnya apabila ribuan pekerja mula diberhentikan dan pembinaan vila baru tidak diteruskan.


--------------------------------------------------------------------------------

LAUTNYA bersinar dengan air berwarna firus. Deruan ombak kecil menghempas pantai berpasir putih yang dipenuhi dengan deretan sempurna pepohon palma.

Ratusan vila-vila mewah tersusun menghadap pemandangan indah itu, tetapi tiada tetamu yang kelihatan.

Tiada juga bumbung, di sudut luar kelihatan beberapa ikatan jubin merah. Angin menghentam pintu dan kedengaran desiran surat khabar yang dilekatkan di tingkap setiap kali vila terselak.

Pemandangan kerja terhenti di resort Cap Cana, iaitu sebuah projek pembangunan yang turut melibatkan empat buah hotel mewah, tiga padang golf dan sebuah marina kapal layar mewah. Ia merupakan mangsa krisis kewangan global yang telah melanda industri pelancongan di Caribbean.

Bulan lalu Cap Cana terpaksa memecat 500 pekerjanya selepas Lehman Brothers mengisytiharkan muflis dan kegagalan mendapatkan pinjaman sejumlah RM906 juta.

Perbincangan semula minggu lalu untuk mendapatkan pinjaman jangka masa pendek berjumlah RM362 juta gagal dan dijangkakan lebih banyak kakitangan akan kehilangan kerja mereka.

"Projek kami telah menerima kesan tsunami ekonomi yang telah melumpuhkan pasaran kewangan global," kata Presiden Cap Cana, Ricardo Hazoury.

Pembinaan Resort Ritz-Carlton Molasses Reef di Caicos Barat juga lumpuh, dengan 60 pekerja Chinanya telah memberontak untuk menuntut gaji mereka.

Kira-kira 160 pekerja sudah dihantar pulang ke China dan masih tidak jelas bila kerja-kerja pembinaan hotel, marina dan kondominium yang kini siap tiga perempat itu akan disambung.

Baha Mar Resorts Ltd. telah membuang kira-kira 40 orang kakitangan di Resort Sheraton Bahamas dan 40 orang lagi di Resort Wyndham Nassau.

Kesatuan Katering Hotel dan Pekerja Bersekutu Bahamas telah mengadakan demonstrasi baru-baru ini, menuntut bantuan kerajaan.

"Saya telah berkecimpung dalam perniagaan ini selama 38 tahun. Saya melihat impak Perang Teluk dan kemerosotan yang berlaku pada tahun 1980-an. Sudah tentu sekali peristiwa 11 September.

"Tetapi tidak melibatkan keadaan global, yang menjadikan situasi kewangan masa kini lebih membimbangkan
," kata Robert Sands, Timbalan Presiden Kanan Perhubungan Luar Baha Mar.



DESTINASI Cap Cana kini dilanda kesunyian ekoran kekurangan pengunjung.

--------------------------------------------------------------------------------

Di Puerto Rico, Caribe Hilton telah memecat lebih 50 orang kakitangannya bulan ini kerana peningkatan kos dan kadar tetamu hotel yang lembap. Kali terakhir hotel tersebut terpaksa membuang pekerjanya ialah selepas serangan 11 September, kata Pengurus Besar Jose Campo.

"Apa yang membimbangkan saya ialah keadaan ini akan berlanjutan," katanya.

"Kami sedang menjalankan kempen yang agresif tetapi kita tidak boleh mengubah situasi ini."

Malah, musim perayaan yang biasanya sibuk juga dijangka agak sepi.

"Masih terdapat ruang untuk musim perayaan ini dan selanjutnya. Kini biasanya merupakan masa di mana bilik-bilik hotel penuh dan mereka yang bercuti mencari sebarang tempat kosong," kata Alec Sanguinetti, Ketua Pegawai Operasi Persatuan Perhotelan dan Perlancongan Caribbean.

Para pekerja menghabiskan waktu cuti mereka mencari kerja di luar lingkaran industri pelancongan. Selebihnya telah pun dihantar pulang.

Victor Felipe Feliz, 24, menyara kehidupan beliau dan kedua anaknya dengan berhutang di kedai sejak kehilangan kerja di tapak binaan Cap Cana bulan lalu.

"Saya perlu bekerja agar dapat membeli napkin dan makanan. Sejak beberapa bulan saya tidak dapat membeli pakaian. Saya tidak mampu membeli apa-apa," keluh beliau.

Cap Cana merancang untuk memecat 1,000 pekerja lagi dalam bulan-bulan terdekat, menurut seorang pegawai syarikat itu yang enggan dikenali kerana tidak diberikan kuasa untuk memberikan maklumat tersebut.

Namun, Presiden Cap Cana, Ricardo Hazoury, berkata beliau menjangkakan projek tersebut diteruskan memandangkan syarikat tersebut mendapatkan khidmat luar terhadap perkhidmatan tertentu.

Pembangunan seluas 130 kilometer persegi itu terletak kawasan paling timur Dominican Republic, di tengah-tengah hutan. Pemajunya termasuk Deutsche Bank, Trump Organization dan Ritz Carlton Hotel Company.

Cap Cana dikendalikan seperti sebuah bandar berbanding sebuah pembangunan persendirian. Ia menghasilkan tenaga dan airnya sendiri, mempunyai ratusan buah vila dan kondominium serta sebuah sekolah.

Ada di antara vila-vila dan hotel itu didiami, tetapi kebanyakan masih lagi dalam fasa pembinaan.

"Kami pernah mempunyai bilangan pekerja yang banyak - pekerja buruh, tukang paip dan juruelektrik. Majoriti mereka telah meninggalkan tempat ini dan pulang," kata Wilkin Cuevamato yang telah dibuang kerja tetapi kemudian diambil semula di satu lagi hartanah Cap Cana.

Krisis tersebut turut memberi kesan kepada sektor penerbangan. American Airlines, syarikat penerbangan utama ke Puerto Rico, telah mengurangkan penerbangan sebanyak 44 peratus.

Sungguhpun demikian, syarikat-syarikat lain memenuhi kekosongan untuk mengurangkan jumlah kejatuhan kepada 14 peratus.


PARA pekerja menghabiskan waktu cuti mereka mencari kerja di luar lingkaran industri pelancongan.

--------------------------------------------------------------------------------

Sesetengah hotel menawarkan promosi murah saat akhir. Scott Berman, seorang penasihat pelancongan untuk Pricewaterhouse Coopers di Miami berkata keadaan selepas musim perayaan ini kelihatan suram.

"Agak adil untuk diperkatakan bahawa tahun 2009 akan menjadi tahun yang sukar," kata beliau. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...