Tuesday, October 7, 2008

Yang pertama di dunia


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
ahmadsyakir.sazili@kosmo.com.my


Antara daun herba yang digunakan dalam pembuatan tilam ini adalah daun mambu yang cukup terkenal dalam perubatan tradisional.


SEORANG pekerja menunjukkan lapisan tilam yang telah dimampatkan.

--------------------------------------------------------------------

SAKIT pada bahagian belakang badan sememangnya memeritkan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang semakin berumur. Berdasarkan kajian, penyakit yang kerap dialami oleh kebanyakan orang dewasa ini berpunca daripada banyak faktor.

Paling utama, ia disebabkan otot abdomen belakang tubuh yang lemah kesan terlalu lama duduk, berdiri atau membongkok, selain kurang bersenam.

Gejala ini juga boleh terjadi apabila berlaku pergerakan yang salah atau secara tiba-tiba, terlalu banyak tekanan, misalnya tersalah teknik mengangkat barang berat.


SETIAP lapisan tilam herba akan dimampatkan menggunakan mesin pemampat bagi menghasilkan tilam setebal tujuh inci atau lain-lain saiz yang ditempah pelanggan.

--------------------------------------------------------------------

Selain penyakit tulang, sendi atau penyakit-penyakit semula jadi lain seperti arthritis atau ketumbuhan, kegemukan yang melampau turut memberi bebanan kepada tulang belakang secara konsisten sekali gus menjadi penyebab penyakit tersebut.

Namun tanpa disedari, sejak sedekad lalu, jumlah individu yang mendapat sakit belakang yang berpunca daripada berbaring dan tidur semakin meningkat. Dikatakan tilam yang digunakan tidak mampu memberi sokongan kepada struktur badan.

Justeru itu, tidak hairanlah, kini terdapat pelbagai jenis dan jenama tilam di pasaran yang dikatakan mampu membendung masalah sakit belakang. Rata-ratanya memperkenalkan tilam yang agak lembut, selain menggunakan spring berteknologi tinggi yang didakwa mampu mengurangkan masalah sakit belakang.

Berbeza dengan tilam konvensional yang terdapat di pasaran, sebuah syarikat produk kesihatan tempatan, Herbal Fame Sdn. Bhd. telah mengeluarkan tilam herba pertama di dunia yang dikatakan mampu membendung masalah sakit belakang. Produk yang dibuat daripada pelbagai jenis akar dan daun herba ini juga dikatakan berupaya meningkatkan metabolisme tulang belakang.


FABRIK yang digunakan sangat bermutu tinggi dan berupaya menghalang bakteria masuk ke dalam tilam.

--------------------------------------------------------------------

Pemilik syarikat berkenaan, S. Nyanahsegaran berkata, sebagai pengeluar tilam herba pertama seumpamanya di dunia, tilam yang dipasarkan atas jenama Herbal sejak tiga tahun lalu berjaya menarik perhatian ribuan pelanggan dari seluruh negara.

"Antara daun herba yang digunakan dalam pembuatan tilam ini adalah daun mambu yang cukup terkenal dalam perubatan tradisional.

"Berdasarkan kajian yang saya lakukan, daun mambu boleh digunakan untuk merawat demam campak dan meredakan demam panas. Malah, daun mambu juga bersifat anti-serangga," katanya kepada Kosmo! di pejabatnya di Selama, Perak baru-baru ini.

Menurutnya, idea untuk memperkenalkan tilam herba diperoleh selepas beliau melakukan kajian mendalam mengenai jenis-jenis dan keberkesanan herba lebih sedekad lalu. Katanya, hasil kajian menunjukkan tilam yang diproses bersama daun-daun istimewa tersebut mampu melancarkan peredaran darah dalam tubuh manusia.

"Tilam ini tidak menggunakan span, sebaliknya ia diperbuat daripada bahan organik semula jadi iaitu ekstrak sabut kelapa yang diproses dengan teliti. Campuran getah berkualiti menjadikan permukaan tilam ini dipenuhi dengan herba yang terpilih.

"Haruman herba-herba yang mampu bertahan sehingga 10 tahun ini dapat mengurangkan tekanan individu, seterusnya menukarkan suasana tempat tidur kepada sesuatu yang menenang dan mendamaikan," katanya.



SETIAP lapisan asas setebal satu hingga dua inci akan diselang-selikan dengan daun dan akar herba.

--------------------------------------------------------------------

Wartawan Kosmo! yang berpeluang meninjau proses pembuatan Herbal baru-baru ini nyata kagum dengan teknologi yang digunakan. Setiap proses bermula daripada penghasilan lapisan tilam sehinggalah dinyah kuman dalam ketuhar vakum khas sebelum dijahit serta dibungkus. Kesemua kerja-kerja ini dipantau oleh kakitangan kilang yang berpengalaman.

"Setiap lapisan asas setebal satu hingga dua inci akan diselang-selikan dengan daun dan akar herba. Kemudian, ia akan disadur menggunakan cecair getah bagi memperkukuhkannya. Lapisan-lapisan ini kemudiannya dimampatkan menggunakan mesin pemampat, seterusnya menghasilkan tilam setebal tujuh inci atau lain-lain saiz yang ditempah pelanggan," katanya.


HARUMAN herba-herba ini mampu bertahan sehingga 10 tahun.

--------------------------------------------------------------------

Pastinya, daun dan akar herba yang diperoleh Nyanahsegaran dari beberapa kawasan di Selama ini akan dimasukkan ke dalam ketuhar nyah kuman. Katanya, hanya dedaun yang benar-benar tersejat akan digunakan dalam pembuatan tilam Herbal.

"Semua peringkat pemprosesan juga dipastikan antibakteria, antihama dan keseluruhannya hanya tilam yang benar-benar selamat akan dipasarkan kepada orang ramai," katanya yang mempunyai lesen paten yang sah untuk produk berkenaan.

Mengulas mengenai pasaran Herbal, Nyanahsegaran memberitahu, antara 600 hingga 800 unit tilam berjaya dipasarkan setiap bulan dan jumlah itu semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Apa yang menarik mengenai Herbal jelasnya, tilam yang dihasilkannya sentiasa memberikan udara yang segar melalui lubang ultra segar yang terhasil semasa proses pembuatan. Sekiranya anak kecil terkencing dan sebagainya, air kencing tersebut tidak akan diserap di dalam tilam, malah akan terus mengalir keluar.

"Fabrik yang digunakan sangat bermutu tinggi dan berupaya menghalang bakteria masuk ke dalam tilam. Pemilik Herbal hanya perlu mencucinya dengan air panas dan mengeringkannya di bawah kipas tanpa perlu mengusung dan menjemurnya di bawah terik matahari," katanya.

Ditanya mengapakah kelibat Herbal tidak kelihatan di kedai-kedai perabot mahupun premis menjual tilam, Nyanahsegaran yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam perniagaan mengakui produknya kurang mendapat 'bantuan' daripada peniaga-peniaga tersebut.

"Mungkin ia merupakan keluaran syarikat tempatan. Apatah lagi, ia diusahakan dengan jenama yang masih baru. Lagipun, saya sendiri lebih selesa dengan teknik pemasaran yang dijayakan sekarang. Kebanyakan pelanggan memperoleh maklumat melalui saudara-mara dan rakan taulan yang telah membeli dan menggunakan Herbal sebelum ini," katanya.


DIPERBUAT daripada ekstrak sabut kelapa yang telah diproses dengan teliti.

--------------------------------------------------------------------

Beliau berhasrat melantik wakil pengedar di setiap negeri bagi memudahkan lebih ramai orang merasai keunikan Herbal dan seterusnya menjadikan tilam ini sebagai aksesori wajib di bilik tidur di setiap rumah di Malaysia.

Selain didatangkan dengan jaminan servis selama 10 tahun, orang ramai yang berminat untuk membeli Herbal hanya perlu menempah melalui telefon dan bayaran boleh dilunaskan sebaik sahaja set tilam berkenaan tiba di pintu rumah.

"Sebutlah sejauh mana pun di Semenanjung Malaysia, set tilam yang ditempah akan dihantar terus tanpa sebarang kos. Pengangkutan percuma ini merupakan nilai tambah syarikat yang tentunya berbeza dengan pengeluar tilam lain," katanya.

Didatangkan dalam saiz 5 x 7 kaki seunit, Herbal dijual pada harga RM799 dan setiap pembelian diberikan percuma dua unit bantal berteknologi tinggi bernilai RM99 setiap satu. Pembeli juga menerima perlindungan insurans bernilai RM10,000 selama setahun secara percuma.

Sebarang pertanyaan mengenai Herbal boleh dibuat melalui talian 05-8396088 dan 019-4144228 atau datang sendiri di premis syarikat berkenaan di Bangunan Majlis Daerah Selama, Jalan Menteri, Selama, Perak.

http://www.kosmo.com.my/07102008

Risiko runtuhan batu


Penduduk di Istabl Antar terperangkap dalam kemiskinan sekali gus menyebabkan mereka berhadapan bahaya fizikal ditimpa tanah atau runtuhan batu.


JENIS batu yang terdapat di kawasan kediaman penduduk di Duwaiqa, Kaherah, Mesir ini mudah dihakis oleh air sekali gus membentuk gua batu kapur yang mudah runtuh.

--------------------------------------------------------------------------------

DALAM menghadapi kehidupan sehariannya, Manal Mohamed sentiasa peka dengan tanda-tanda tanah yang mungkin bergerak. Beliau bimbang kejadian batu menghempap sebuah rumah di daerah Duwaiqa, Kaherah pada bulan lalu berulang kembali.

"Saya mahu tinggalkan kawasan ini, tetapi saya tidak berjaya mendapatkan sebuah rumah di mana-mana pun," katanya sambil berdiri di atas runtuhan batu di Istabl Antar, tidak jauh dari Duwaiqa di mana batu besar terjatuh dari bukit lalu menghempap berpuluh-puluh buah rumah sehingga membunuh lebih 100 orang pada 6 September lalu.

Penduduk memberitahu antara 100 hingga 600 mayat masih berada di bawah serpihan batu di dasar tebing curam.

Istabl Antar merupakan sebahagian kawasan paling melarat di Muqattam Hills di selatan dan timur pinggir Kaherah. Ia sebuah bandar yang dihuni sekitar 16 juta penduduk di mana perkembangan ekonomi yang luas telah melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Sesetengah daerah mempunyai lebih kurang 100,000 populasi dalam setiap kawasan 41,000 kilometer persegi dan penduduk mengatakan mereka telah menderita sejak beberapa dekad yang lalu kerana diabaikan kerajaan.

Kawasan kejiranan yang tidak tersusun ini tersekat disebabkan cabaran sosial yang dihadapi oleh kerajaan dalam negara Arab yang paling ramai penduduk itu meskipun sewaktu ekonomi semakin berkembang.

Populasi di Mesir telah mencecah 76 juta sekali gus menyaksikan perkembangan yang begitu pantas berbanding ekonomi yang boleh menampung jumlah tersebut. Kos sara hidup bertambah tinggi dengan harga urban mencecah 23.6 peratus sehingga Ogos lalu.

Disebabkan itu, kerajaan di bawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak berhadapan tindakan dipecat kerana gagal merapatkan jurang yang besar di antara golongan kaya dan miskin.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, jumlah penduduk yang hidup dalam kemiskinan tahap melampau telah meningkat walaupun taraf ekonomi berkembang sekitar 7 peratus setahun sejak dua tahun lalu.

Penduduk di Istabl Antar merupakan antara yang terbelenggu dalam kemiskinan sekali gus menyebabkan mereka berhadapan bahaya fizikal ditimpa tanah atau runtuhan batu.

Risiko berulangnya runtuhan batu tetap ada. Namun, kebanyakan mereka tidak mempunyai wang untuk berpindah ke tempat lain.

Sistem paip kediaman mereka amat daif yang dibuat di retakan dinding bangunan, menyebabkan kebocoran air ke tebing curam. Perkara ini menjadikan batu-batu itu mungkin akan retak dan runtuh.

"Kebimbangan saya adalah terhadap orang-orang di bawah sana. Mala petaka atau bencana pasti akan berlaku jika ia jatuh menimpa mereka di sini," kata salah seorang rakan Manal sambil menunjuk ke arah puluhan rumah yang dibina pada jarak 20 meter di kaki tebing curam.

Runtuhan batu yang berlaku pada awal bulan lalu bukanlah yang pertama di sini. Hampir 15 tahun lalu, dianggarkan lebih 3,000 tan batu jatuh menimpa puluhan rumah dan membenam sekurang-kurangnya 50 orang penduduk di Manshiyet Nasser yang juga terletak di daerah Duwaiqa.


KEMISKINAN menyebabkan penduduk terus tinggal di rumah yang terdedah kepada risiko runtuhan batu.

--------------------------------------------------------------------------------

Jenis batu yang terdapat di kawasan ini mudah dihakis oleh air sekali gus membentuk gua batu kapur, menurut Goelogical Survey of Egypt.

Meskipun persekitarannya tidak selamat, namun kawasan tersebut telah pun dihuni oleh ramai keluarga dari generasi ke generasi.

"Ayah saya telah menetap di sini sejak 30 tahun lalu. Jadi, tiada tempat lain yang boleh kami tinggal selain di sini. Tambahan pula, kekangan kewangan menyebabkan kami akur dengan apa yang berlaku," jelas Manal lagi.

Sementara itu, mangsa bencana di Duwaiqa menerima bantuan daripada kerajaan apabila mereka bersedia untuk menempatkan mangsa yang terselamat di sebuah pangsapuri baru yang terletak tidak jauh dari kawasan tersebut.

Pihak berkuasa juga telah memulakan proses pemindahan 80 buah keluarga dari lokasi berbahaya di Istabl Antar. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/07102008

Inflasi jejas sambutan

Harga pasaran gandum yang berlipat dua kali ganda sejak setahun lalu menyebabkan hanya segelintir sahaja yang mampu membeli jeruk, manisan dan roti-roti istimewa yang ditawarkan.


PENINGKATAN harga makanan dan minyak telah mengehadkan kuasa berbelanja untuk keraian berbuka puasa.

--------------------------------------------------------------------

DI dalam kediaman-kediaman Muslim di seluruh Asia, krisis inflasi ternyata begitu membayangi bulan Ramadan yang baru berlalu. Ini menjadikan pengalaman berbuka puasa sebagai satu peristiwa yang tidak seberapa indah untuk dikenang.

Dari Afghanistan ke Malaysia, harga makanan yang tinggi memaksa golongan kurang mampu 'tidak kenyang' menjamah hidangan berbuka puasa dan bersahur manakala inflasi yang berlaku turut mengehadkan tempahan bufet-bufet berbuka yang mewah daripada golongan berada, berbanding semasa zaman ekonomi sejahtera.

Di pasar-pasar dan bazar Ramadan, keadaan suram dalam suasana peniaga merungut bilangan pelanggan yang berkunjung ke gerai mereka berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Keadaan ini berlaku apabila orang ramai mengurangkan perbelanjaan mereka dalam menyediakan juadah berbuka.

"Strategi perniagaan kami pada tahun ini ialah hanya untuk kekal menyara kehidupan," kata Azahari Wahab sambil menyediakan ikan bakar di sebuah bazar Ramadan di Kuala Lumpur.

Katanya lagi, "Saya telah berniaga di bazar-bazar selama 20 tahun dan tahun ini adalah yang terburuk bagi saya. Biasanya saya menyediakan kira-kira 100 kilogram ikan sehari tetapi kali ini, ia turun kepada 30 hingga 40 kilogram."

Selain kekurangan pelanggan, Azahari berkata, faktor harga barangan yang 'meningkat lebih 100 peratus turut menjejaskan jualannya.

Di Afghanistan, salah sebuah daripada negara termiskin dunia menyaksikan pasar-pasar dipenuhi dengan pelbagai hidangan yang mempesonakan. Namun, harga pasaran gandum yang berlipat dua kali ganda sejak setahun lalu menyebabkan hanya segelintir sahaja yang mampu membeli jeruk, manisan dan roti-roti istimewa yang ditawarkan.

"Sebelum Ramadan dan Syawal, kami tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Bagi kami, keadaan tetap sama dengan bulan-bulan yang lain.

"Bagi golongan miskin pula, tentulah ia begitu terasa pada bulan Ramadan dn Syawal," kata pemandu bas, Mohammad Gul.

Dalam krisis yang diburukkan lagi oleh pemberontakan Taliban yang menghalang pembangunan dan penghantaran bantuan makanan, badan kebajikan British, Oxfam telah mengeluarkan amaran bahawa sehingga lima juta rakyat Afghanistan akan berhadapan dengan kekurangan makanan yang teruk dengan kehadiran musim sejuk tidak lama lagi.


BOLEH dikatakan jualan di bazar di seluruh dunia menyusut ekoran inflasi.

--------------------------------------------------------------------

"Harga makanan sangat tinggi. Sukar untuk golongan miskin membelinya. Harga yang ada amat menakutkan," kata kakitangan awam, Ghulan Haidar di Kabul.

Indonesia, negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar dunia, melihat harga makanan yang naik mendadak menjelangnya bulan puasa, meletakkan tekanan kepada keluarga yang sememangnya ditampar dengan peningkatan mendadak harga minyak subsidi.

Keluarga-keluarga di Jakarta berkata, peningkatan harga makanan dan minyak telah mengehadkan kuasa berbelanja untuk keraian berbuka puasa mereka.

"Saya selalu menghidangkan pencuci mulut untuk keluarga saya untuk berbuka sebelum kami menikmati hidangan utama yang terdiri daripada nasi. Tetapi, kini segalanya telah menjadi amat mahal dan kami tidak mampu lagi menyediakan pencuci mulut," kata Nena, seorang ibu kepada enam orang anak.

Di serata benua, hotel-hotel bertaraf lima bintang dan majlis-majlis kerajaan masih menawarkan hidangan berbuka yang enak tetapi tidak ramai pengunjung yang hadir dan harga telah dikurangkan.

"Perniagaan agak perlahan pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya iaitu sekurang-kurangnya 20 sehingga 30 peratus," kata Rosihan Anuar Ahmad, Pengarah Jualan di JW Marriott Kuala Lumpur di mana sajian bufet Ramadannya berkos separuh berbanding hotel-hotel lain.

"Kami mengenakan harga bufet secara strategik untuk menarik pelanggan datang dan menikmati hidangan di sini. Selain itu, kami juga berharap syarikat-syarikat besar memilih hotel ini untuk belanja kakitangan mereka berbuka," kata beliau lagi.

Di Bangladesh, harga makanan biasanya meningkat mendadak semasa bulan Ramadan telah memaksa kerajaan menyediakan 7,500 pasar istimewa.

Pasar-pasar tersebut menjual beras subsidi dan makanan ruji lain sungguhpun negara tersebut berhadapan dengan harga makanan yang naik 45.5 peratus berbanding setahun lalu.

"Kami cuba untuk tidak menaikkan harga item-item biasa agar golongan miskin tetap datang," kata peniaga, Mohammad Shukkor Miah di Chawkbazar yang terletak di kuarter lama ibu negara, Dhaka.

"Jumlah pelanggan yang datang adalah separuh daripada sebelum ini manakala keuntungan yang diraih pula lebih rendah. Kami terpaksa menaikkan harga item-item khusus dan tidak ramai yang membelinya."

Pembelian tradisi pakaian baru untuk sambutan Aidilfitri telah menjadi antara perkara pertama yang dikorbankan oleh keluarga Muslim yang berhadapan dengan kesukaran ekonomi ini.

"Kami tidak mendapat respons yang baik pada tahun ini. Terdapat pengurangan drastik pelanggan di bazar-bazar," kata Irfan Beg, pemilik sebuah gedung pakaian di ibu negara Pakistan, Islamabad.

"Tahun lalu, kami terpaksa mengupah pembantu jualan untuk memenuhi kekalutan Aidifitri tetapi pada tahun ini, pelanggan berkurangan. Ramai yang berkata, mereka tidak mampu membeli item-item tradisional iftar, jadi bagaimana mereka mampu membeli kemewahan barangan Aidilfitri?"

Sementara pemimpin-pemimpin negara dan editorial akhbar mengesyorkan mereka yang beribadat mengadakan keraian yang lebih ringkas tahun ini, ada yang merasakan kekangan kewangan harus diketepikan semasa musim ini.

"Apa maknanya Aidilfitri tanpa makanan, biskut dan pakaian baru? Ia adalah masa untuk diraikan dan bersyukur kepada Allah atas segala rezeki yang diberikanNya," kata Raina Samat, seorang pembantu jualan di Kuala Lumpur. - AFP

http://www.kosmo.com.my/07102008

Artikel berkaitan Altantuya ditulis Raja Petra

KUALA LUMPUR - Perbicaraan penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin (gambar) yang dituduh menerbitkan artikel memfitnah dalam blognya bermula semalam di Mahkamah Sesyen di sini dengan seorang pakar dipanggil untuk memberikan keterangan.

Harme Mohamed yang merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa dan Pengarah Jabatan Keselamatan, Amanah dan Pentadbiran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MMC), merupakan saksi pertama.

Harme, 39, dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa Raja Petra telah memuatkan artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell yang diterbitkan dalam www.malaysia-today.net pada 25 April.

Saksi itu berkata, beliau membuat rumusan itu berdasarkan Laporan Pemeriksaan Oleh Unit Siasatan Forensik Komputer MMC yang jelas menunjukkan nama Raja Petra ditulis dalam artikel itu sebagai penulis dan nama domain ialah malaysia-today.net.

"Berdasarkan dokumen (laporan itu) yang tertera di barisan kedua di atas dokumen itu, nama domain yang dinyatakan ialah malaysia-today.net," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor.

Kepada soalan Roslan sama ada beliau tahu siapa pentadbir nama domain laman web itu, Harme berkata: "Dari dokumen itu, saya tidak tahu."

Raja Petra, 58, dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

http://www.kosmo.com.my/07102008

Intip Nasha, penyelia dipenjara



PUTRAJAYA - Rayuan berakhir ke penjara.
Begitulah nasib penyelia dan pengurus selenggara, Ahmad Bakhtiar Abdul Kayoom yang dihantar ke Penjara Kajang semalam untuk menjalani hukuman selama enam bulan.

Ahmad Bakhtiar gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan menceroboh dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam apartmen sewaan peragawati terkenal, Nasha Aziz enam tahun lepas.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 2004 terhadap Ahmad Bakhtiar.

Beliau memerintahkan Ahmad Bakhtiar menjalani hukuman itu mulai semalam.

Sebelum ini Ahmad Bakhtiar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di mahkamah lebih tinggi dan penangguhan hukumannya yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret.

Zaki berkata, tidak berlaku pelanggaran undang-undang walaupun Majistret Ida Hanani Abdul Karim terus mendengar perbicaraan itu selepas beliau dipindahkan ke Pejabat Peguam Negara sebagai Peguam Persekutuan di bahagian pendrafan.

"Ahmad Bakhtiar telah menceroboh hak peribadi orang, beliau (Nasha) adalah aktres terkenal, letakkan diri anda dalam keadaannya, semasa sedang mandi, adakah anda suka," kata Zaki.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama-sama Zaki ialah dua hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk James Foong Cheng Yuen dan Datuk K.N. Segara.

Ida Hanani mendapati Ahmad Bakhtiar, 31, bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh masuk ke dalam apartmen Nasha yang nama sebenarnya ialah Noraisha A.Aziz, di Shahzan Court di Jalan Nipah Off Jalan Ampang dan menceroboh hak peribadinya dengan memasang kamera litar tertutup antara April dan Julai pada 2002.

Ahmad Bakhtiar dihukum penjara selama enam bulan bagi setiap kesalahan.

Bagaimanapun, Majistret Ida Hanani memerintahkannya menjalani hukuman itu serentak.

Usahanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu di Mahkamah Tinggi juga tidak berjaya.

http://www.kosmo.com.my/07102008

Tiada niat saman cuma mahu pembelaan


Keratan Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Saya bukan nak glamor atau tamakkan wang, cuma mahu penjelasan sewajarnya," demikian ujar Ahmad Khariri Al-Hadi Md. Yusop mengenai tindakannya tampil kepada media apabila mendakwa suratnya tidak dihantar ke destinasi yang sewajarnya.

Lagi pun, menurut Khariri, pihak Pos Malaysia Berhad berjanji mahu menyiasat punca kejadian sejak dari bulan Jun lagi dan sehingga kini dia tidak menerima sebarang jawapan.

"Saya hanya mahu penjelasan kerana sebelum ini ketika saya bertemu dengan pegawai di Pejabat Pos di Shah Alam dan mereka memberitahu surat-surat saya tidak mempunyai masalah berat.

"Saya cuba mendapatkan pegawai penyiasat yang terlibat tetapi masih tidak mempunyai jawapan oleh itu saya mengambil keputusan untuk tampil ke media," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Khariri, beliau tidak berhajat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pos Malaysia tetapi mahu mengetahui keputusan siasatan penuh dan menuntut ganti rugi tauladan sebagai pengguna perkhidmatan," katanya yang telah meletakkan setem bernilai 30 sen pada setiap suratnya.

Khariri yang merupakan seorang penderma hati semalam dilaporkan kecewa kerana kesemua surat permohonannya untuk menjadi penceramah di 150 buah sekolah didapati tidak sampai ke destinasi.

Sebaliknya beliau dimaklumkan bahawa kesemua surat itu didapati 'terdampar' di sebuah premis di Shah Alam.

http://www.kosmo.com.my/07102008

Punca mereka 'tersangkut' - Ejen hantu guna agensi pekerja asing yang gulung tikar untuk beroperasi

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.abdulmajid@kosmo.com.my



SEBAHAGIAN warga Bangladesh yang terus 'tersadai' di bawah jejambat berhampiran LRT Damai Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Agensi atau ejen yang didakwa mengambil kesempatan membawa pekerja asing dari luar menjadi punca kenapa semakin ramai warga Bangladesh tertipu dan akhirnya 'terdampar' di negara ini.

Menurut sumber, modus operandi kebanyakan 'ejen hantu' itu ialah menggunakan agensi pekerja asing yang sudah gulung tikar bagi mengelakkan identiti sebenar mereka diketahui.

Dengan taktik itu, mereka dikatakan bekerjasama dengan ejen di negara luar mengaut keuntungan atas angin tanpa menghiraukan nasib pekerja luar.

Kalau ada pun syarikat yang mengambil mereka bekerja ia tidak lama kerana syarikat berkenaan akan mengeluarkan surat pembebasan kepada warga asing itu mencari pekerjaan lain di negara ini.

Ia seterusnya menjadi punca kenapa semakin ramai warga Bangladesh yang 'terdampar' di sini termasuk di stesen transit aliran ringan (LRT) Damai di sini sejak sembilan bulan lalu.

Menurut sumber itu lagi, keadaan di stesen itu dijangka semakin sesak dengan kehadiran lebih ramai 'muka baru' selepas cuti Aidilfitri ini kerana kononnya ada permintaan daripada sebuah agensi di negara ini.

Tembelang itu pecah apabila sumber Kosmo! yang juga seorang majikan mendakwa dia sendiri yang menggaji pekerja warga asing pernah didatangi oleh seorang warga Bangladesh bernama Ali (bukan nama sebenar) untuk memohon kerja baru-baru ini.

"Dia (Ali) menunjukkan satu surat daripada syarikat di mana dia bekerja awalnya yang mengesahkan dia diberi kelulusan oleh syarikatnya untuk berkerja di mana-mana tempat.

"Dia juga kata majikannya sudah ambil 300 orang pekerja Bangladesh dan kemudiannya melepaskan mereka dengan memberi surat pembebasan," katanya semalam.

Katanya, Ali mendakwa lebihan warga Bangladesh yang dibawa oleh agensi berkenaan yang terletak di Semenyih dekat sini 'bersepah' dan ada yang telah menjadi pengemis.

"Pekerja yang sama memaklumkan pada saya bahawa terdapat 120 pekerja Bangladesh lagi akan datang ke Malaysia selepas hari raya ini dan 120 orang lagi telah dapat visa dengan rujukan Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Bagi memastikan kesahihannya, wartawan Kosmo! meninjau sendiri lokasi pejabat ejen tersebut dan mendapati ia merupakan sebuah kilang yang sebahagiannya sudah roboh.

Sementara itu, tinjauan di LRT Damai mendapati semakin ramai 'muka baru' warga Bangladesh menjadi penghuni di LRT Damai dan dianggarkan ia kini telah mencecah 200 orang.

Sebelum ini akhbar ini melaporkan mengenai limpahan warga Bangladesh yang berkampung di situ setelah pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh penuh gara-gara warganya lari kerana tidak puas hati dengan layanan majikan.

http://www.kosmo.com.my/07102008

Harga minyak terendah AS$88.89 sejak Februari

LONDON – Harga minyak mentah jatuh bawah AS$90 (RM313.88) setong semalam iaitu yang terendah dalam tempoh lapan bulan berikutan tekanan akibat ramalan bahawa krisis kredit global akan menyebabkan kejatuhan mendadak dalam permintaan.

Minyak mentah light Amerika Syarikat (AS) bagi penghantaran November jatuh sebanyak AS$4 (RM13.94) setong kepada AS$89.88 (RM313.47) pada pukul 9 malam waktu Malaysia semalam.

Ia kemudian menurun kepada AS$88.89 (RM310) setong iaitu yang terendah sejak Februari lalu.

Harga minyak menurun hampir 40 peratus selepas meningkat kepada AS$147.27 (RM513.59) pada 11 Julai lalu.

Minyak mentah Brent London turut menurun AS$3.54 (RM12.34) kepada AS$86.74 (RM302.49) setong.

Permintaan minyak di AS iaitu pengguna tenaga utama di dunia, mengalami kejatuhan pada tahun ini manakala penggunaan di Jepun serta Eropah juga lemah.

Seorang penganalisis tenaga dengan firma Purvin & Gertz di Singapura, Victor Shum berkata, permintaan minyak di negara-negara maju sudah perlahan sejak Mei lalu iaitu sebelum kegawatan kewangan melanda AS pada bulan lalu.

“Ini meningkatkan sentimen bahawa kita akan melihat ekonomi perlahan atau kemelesetan dan ia tidak baik untuk permintaan minyak,” katanya.

Presiden Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Chakib Khelil berkata, OPEC akan membuat keputusan untuk berusaha mengimbangi bekalan minyak pada Disember ini.

Menurutnya, permintaan minyak sudah jatuh tiga juta tong sehari berikutan kekurangan keperluan di negara-negara utama pengguna manakala bekalan masih lagi stabil.

Berdasarkan kajian agensi berita Reuters, bekalan minyak OPEC jatuh untuk bulan lalu iaitu penurunan buat pertama kali sejak April lepas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/07102008

Panik landa bursa saham dunia


SEORANG broker termenung melihat skrin di Bursa Saham Frankfurt semalam.

--------------------------------------------------------------------

LONDON - Bursa saham dunia merudum semalam, mencatatkan kejatuhan terburuk dalam tempoh empat tahun berikutan panik di kalangan pelabur berhubung sama ada pakej untuk menyelamat krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) akan meredakan krisis kewangan global.

Pasaran saham di London, Frankfurt dan Paris merudum lebih enam peratus sebelum melonjak semula manakala bursa saham di Moscow digantung buat kali kedua.

Sejumlah syarikat di Britain kehilangan nilai saham £60 bilion (RM364 bilion) dalam tempoh beberapa minit.

"Terdapat suasana panik," kata seorang penganalisis strategi dengan firma ING, Andrian van Tiggelen.

"Setiap orang berharap selepas pakej menyelamat di AS dan usaha menyelamat dilakukan di Eropah, semua suasana akan kembali tenang tetapi terdapat kebimbangan kuat akan berlakunya teori domino," tambahnya.


BROKER-BROKER saham berkumpul di Bursa Saham New York semalam.

--------------------------------------------------------------------

Iceland menggantung perniagaan dalam saham kewangan termasuk tiga bank utama ketika terdapat laporan bahawa kerajaan menyelamatkan sektor perbankan.

Di Asia, indeks bursa saham Tokyo menurun 4.25 peratus ketika Hong Kong jatuh lima peratus, Seoul merosot 4.3 peratus dan Sydney merudum 3.3 peratus.

Indeks bursa saham terbesar Arab di Riyadh menurun hampir 10 peratus dan pasaran saham di beberapa negara di Teluk juga merudum termasuk Kuwait.

Bursa saham di New York turut menurun apabila indeks Dow Jones jatuh di bawah paras 10,000 mata buat pertama kali dalam tempoh empat tahun.

Keadaan itu berlaku ketika pelabur-pelabur bimbang krisis kredit akan mengheret ekonomi menjadi kemelesetan.

Antara saham perkhidmatan kewangan yang jatuh adalah Bank of America sebanyak lebih sembilan peratus.

Ketegangan berterusan dalam pasaran kredit meningkatkan kebimbangan mengenai masa depan ekonomi manakala tindakan menyelamatkan bank-bank di Eropah mencetuskan kebimbangan berhubung institusi kewangan global.


PELABUR-PELABUR meneliti indeks saham di bandar raya Kuwait semalam.

--------------------------------------------------------------------

Sementara itu di Brazil, pasaran saham digantung selama beberapa minit ketika dibuka selepas indeks jatuh lebih 10 peratus.

Pasaran saham di Prague, Republik Czech jatuh 8.46 peratus yang merupakan kejatuhan terbesar sejak 1993.

Kejatuhan itu berlaku selepas pakej menyelamat AS diluluskan.

Ia diluluskan berikutan krisis kewangan menyebabkan Bank Lehman Brothers muflis manakala firma gergasi insurans, American International Inc., (AIG) terpaksa diselamatkan oleh Rizab Persekutuan AS. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/07102008

Eropah bergelut selamatkan bank


SEORANG wanita berjalan melepasi Bank Hypo Real Estate di Berlin baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------

STOCKHOLM - Kerajaan-kerajaan di Eropah semalam bergelut untuk menyelamatkan bank-bank yang gagal sehari selepas para pemimpin di empat benua berkenaan mendesak lebih banyak peraturan ketat dilaksanakan untuk menghadapi krisis kewangan.

Di Berlin, kerajaan Jerman menganjurkan perbincangan berhubung krisis kewangan selepas runtuhnya pelan penyelamat bank hartanah Hypo Real Estate AG.

Bank itu merupakan yang pertama meminta pertolongan kerajaan selepas menghadapi masalah pada pertengahan bulan lalu selepas kredit dibekukan di pasaran antarabangsa.

Pegawai-pegawai kerajaan dan ketua perbankan di Iceland turut mengadakan perbincangan kemungkinan menyediakan pelan penyelamat untuk bank-bank komersial.

Baru-baru ini, kerajaan mengambil alih bank ketiga terbesar Iceland, Glitnir di mana keputusan itu menyebabkan beberapa agensi panarafan menurunkan rating pinjaman empat buah bank utama.

Kerajaan Belgium dan pegawai-pegawai perbankan juga bergelut untuk menyelamatkan operasi Bank Fortis NV di mana operasinya di Belanda dimilik negara kerana bimbang ia mungkin tidak mampu beroperasi.

Pilihan sedia ada adalah tindakan untuk membeli bank itu oleh Belgium atau mencari bank lain untuk mengambil alih operasi.

Ketua Perbendaharaan Britain, Alistair Darling berkata, beliau bersedia untuk mengambil beberapa langkah besar untuk membantu negaranya menghadapi krisis pinjaman kewangan.

Sebelum ini, kerajaan di negara itu pernah bertindak untuk memiliknegarakan Bank Northern Rock dan Bardford & Bingley.

Darling memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa kerajaan menyediakan berbilion-bilion pound sterling bagi membantu sektor perbankan.

Kerajan Perancis kelmarin mencadangkan pelan penyelamat berbilion-bilion dolar tetapi diketepikan selepas kerajaan Jerman menyatakan bank-bank perlu mencari sendiri jalan keluar untuk meneruskan operasi. - AP

http://www.kosmo.com.my/06102008

Coklat ada melamin

HONG KONG – Sebuah agensi pemantau makanan Hong Kong semalam menyatakan dua coklat buatan China dijual di pulau berkenaan oleh pembuat gula-gula Cadbury mengandungi bahan melamin tahap berbahaya .

Menurut satu kenyataan agensi itu, coklat Dairy Milk Cookies Chocolate dan Dairy Milk Hazelnut Chocolate mengandungi kadar melamin yang tidak dapat diterima berdasarkan piawaian kesihatan.

Kedua-dua produk itu merupakan antara 11 barangan yang ditarik balik oleh Cadbury di Hong Kong, Taiwan dan Australia pada minggu lalu. – AFP

http://www.kosmo.com.my/06102008

Pakej menyelamat institusi kewangan lebih dua trilion dolar

NEW DELHI - Selepas satu demi satu institusi kewangan menjadi mangsa krisis kredit global, pakej menyelamat yang diumumkan oleh kerajaan-kerajaan di dunia kini menghampiri jumlah dua trilion dolar (RM6.9 trilion) iaitu dua kali ganda saiz ekonomi India, lapor sebuah akhbar semalam.

Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan bantuan AS$700 bilion (RM2.4 bilion) untuk institusi-institusi kewangan bermasalah di negara itu manakala kerajaan AS sendiri mengumumkan pakej penyelamatan berjumlah AS$990 bilion (RM3.4 trilion).

Jumlah itu dijangka terus meningkat selepas beberapa negara Eropah mengumumkan pakej serupa dalam usaha menyelamatkan entiti kewangan bermasalah di rantau tersebut.

Terdapat ramalan bahawa lebih banyak bantuan akan disediakan oleh kerajaan di Eropah ketika krisis kewangan semakin merebak dengan pantas di benua berkenaan.

Bagaimanapun, kesan krisis kewangan itu tidak akan dirasai oleh India.

Dari AS sehingga ke Eropah, kegawatan kewangan itu menyebabkan beberapa nama besar dalam institusi perbankan pelaburan tumbang seperti Bank Lehman Brothers.

Bank Merril Lynch turut dibeli oleh bank of America manakala gergasi insurans, American International Group Inc., (AIG) diselamatkan oleh kerajaan AS.

Sementara itu, AS menduduki tempat pertama dengan pakej menyelamat AS$990 bilion setakat ini, diikuti oleh kerajaan Ireland yang meletakkan AS$572 bilion (RM1.9 trilion) sebagai jaminan untuk liabiliti bank di negara berkenaan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/06102008

Lanun enggan serah senjata


GAMBAR yang dirakam pada 30 September lalu menunjukkan seorang pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat memantau kapal kargo Ukraine yang ditawan lanun di luar perairan Somalia.

--------------------------------------------------------------------

MOGADISHU - Sekumpulan pejuang Islam menuntut diberikan sebahagian senjata yang berada dalam sebuah kapal kargo Ukraine tetapi lanun-lanun enggan menyerahkannya, kata seorang pegawai tempatan semalam.

Pejuang-pejuang daripada kumpulan Al-Shabaab yang menentang kerajaan sementara Somalia turut menerima lima peratus daripada AS$1.5 juta (AS$5.2 juta) yang dibayar untuk pembebasan sebuah kapal Sepanyol beberapa bulan lalu.

Kira-kira dua minggu lalu, lanun-lanun bersenjata menawan kapal kargo MV Faina dekat bandar Hobyo di tengah Somalia dan menuntut wang sebanyak AS$20 juta (RM69.63 juta).

Beberapa kapal perang Amerika Syarikat (AS) kini memantau kapal kargo itu yang turut membawa 33 kereta kebal bagi memastikan tidak ada sebarang senjata dipindahkan.

"Al-Shabaab mahu sebahagian daripada senjata berada dalam kapal itu tetapi lanun-lanun menolak tuntutan tersebut," kata seorang pegawai.

"Kumpulan berkenaan beredar selepas permintaan itu ditolak oleh lanun-lanun dan penduduk. Saya pasti anggota-anggota kumpulan itu berada tidak jauh daripada kawasan ini," katanya.

Lanun-lanun Somalia sudah merampas lebih 30 buah kapal di luar perairan negara mereka setakat ini dan menerima antara AS$18 juta (RM62.67 juta) hingga AS$30 juta (RM104.45 juta) dalam bentuk wang tebusan.

Penduduk-penduduk mengesahkan kebimbangan sebelum ini bahawa bayaran yang diperoleh lanun itu diserahkan kepada pergerakan Islam dan membiayai pemberontakan menentang kerajaan Somalia pimpinan Presiden Abdullahi Yusuf.

Seorang penduduk dan seorang saudara seorang lanun yang menawan kapal kargo Ukraine menyatakan anggota-anggota Al-Shaabab menerima lima peratus bahagian wang tebusan tetapi mereka kemudian meminta jumlah lebih banyak.

- Reuters

http://www.kosmo.com.my/06102008

Gara-gara Cat sambut salam


Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my


INILAH bakal suami Cat, Shaharuddin Mokhtaruddin.

--------------------------------------------------------------------

PERKENALAN singkat pertama kali di sebuah studio di Bangsar, Kuala Lumpur ketika masing-masing mempunyai tugasan di sana akhirnya mempertemukan cinta antara mereka. Dan Sabtu lalu, ikatan suci itu dikukuhkan dengan tanda janji dengan majlis pertunangan yang meriah.

Bermula dengan pertembungan mata secara tidak sengaja, Shaharuddin Mokhtaruddin, 29, yang mengenali gadis di hadapannya seorang dramatis terkenal tanah air kemudian memberanikan diri menghulurkan salam perkenalan.

Salam bersahut, kata bersambut, pelakon Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 28, atau lebih dikenali sebagai Catriona Ross atau Cat, bagaimanapun menganggap itu tidak lebih sebagai perkenalan biasa.

Menceritakan kembali detik perkenalan kedua-duanya, penerbit dan pengarah saluran Astro itu berkata, ketika pertemuan itu Cat masih bertongkat dan baru pulih daripada kecederaan yang dialaminya akibat kemalangan jalan raya tahun lalu.

"Saya kenal dia (Cat) walau pun ketika itu dia tidak bersolek, dan selepas turun ke lobi studio berkenaan saya terfikir kenapa tak sapa semula bagi bertanya khabar?

"Tak sangka Cat menyambut salam saya, dia peramah lalu kami bertukar-tukar nombor telefon dan sekiranya saya tak naik semula ke studio tersebut tak mungkin berlangsungnya majlis (pertunangan) yang meriah hari ini.

"Selepas berkenalan, saya dan Cat mempunyai keserasian kerana masing-masing boleh berkomunikasi dengan baik dan saya tertarik dengan semangat juangnya yang tinggi untuk meneruskan hidup seperti biasa selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lepas," katanya mengerling ke arah Cat.

Catriona yang tersenyum kelihatan anggun mengenakan kebaya moden hijau muda dengan kain jenis fabrik sari sifon yang dihadiahkan oleh kenalan lamanya, Ruby yang juga pemilik Ruby Fashion House yang terletak di Kota Bharu.

Malah, untuk majlis itu, Ruby menyiapkan sendiri rekaan kebaya tersebut untuk dipakai oleh Cat yang telah lama menggunakan khidmat pereka fesyen yang tersohor di Kelantan itu.

Tiada perasaan pada awalnya

Sementara itu, Cat pula berkata, dia tertarik dengan ciri-ciri yang dimiliki Shaharuddin antaranya sentiasa memberi kata-kata semangat untuk terus bangun daripada trauma akibat kemalangan tersebut.

"Saya tak ada rasa apa-apa pun masa mula-mula kenal dengan Shaharuddin, yang bezanya dia kerap hubungi saya selepas pertemuan kali pertama itu.

"Percaya atau tidak, sepanjang tempoh lima bulan pertama perkenalan itu kami hanya berhubungan melalui telefon sahaja atau istilahnya perkenalanan jarak jauh.

"Ketika itu saya di Kota Bharu kerana menjalani rawatan susulan di sana sedangkan Shaharuddin di Kuala Lumpur. Secara jujur, selain kata-kata semangat daripada ibu, Siti Zawiyah Abd. Rahman, 50, serta anggota keluarga lain, Shaharuddin turut memberi kata perangsang serupa.

"Alhamdulilah, berkat doa semua yang ingin lihat saya kembali seperti biasa memberi kekuatan kepada saya untuk bangkit semula walau pun pada mulanya agak sukar," ujar Cat.


TERMETERAI SUDAH. Bersama bakal ibu mentuanya yang menyarung cincin pertunangan ke jari manis Cat.

--------------------------------------------------------------------

Jelas Shaharuddin pula, mulanya Cat tidak banyak bercerita mengenai kemalangan jalan raya yang dialaminya pada 14 April 2007 itu seolah-olah ingin melupakan tragedi hitam itu.

Sesuatu yang melucukan menurutnya, dalam temujanji pertama dengan dramatis itu, Shaharuddin membawa DVD lakonan Cat dalam satu program di Astro dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu semata-mata ingin berjumpa dengannya.

"Sebenarnya saya boleh hantar dengan kurier ke sana, tetapi alasan ingin berjumpa Cat menyebabkan saya sanggu memandu lapan jam ke Kota Bharu.

"Yang pasti Cat kini telah bangkit, dan itu yang benar-benar kagumkan saya kerana sukar untuk temui insan yang berjiwa kental seperti dia," jelasnya lagi.

Pada majlis pertunangan yang diadakan di rumah keluarga Cat di Jalan Guchil, Kampung Teluk Baru dekat Kota Bharu itu, Cat menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak lelaki yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan dibalas tujuh.

Pihak lelaki memilih tema biru putih untuk barangan hantaran antaranya sirih junjung, sepasang persalinan, kasut, barangan kecantikan MAC, coklat, kek dan sebentuk cincin berlian.

Manakala pihak perempuan membalas dulang berhias bunga coklat keemasan berupa sirih junjung, wangian, buah-buahan, manisan, songket, kasut, kek, coklat dan sebentuk cincin.

Majlis dimulakan dengan perbincangan kedua-dua belah pihak dan upacara menyarung cincin yang disempurnakan oleh bakal ibu mentua Cat, Azizam Ahmad, 51, di atas pelamin rekaan rakan baiknya, Chi Chi.

Sementara ayah Cat, Bahrin Ross Abdullah, 56, menyarung cincin ke jari Shaharuddin, yang merupakan anak seorang kenamaan yang juga cucu kepada seorang bergelar Tan Sri sambil disaksikan oleh kaum keluarga terdekat dan sahabat handai.

Kahwin Jun 2009

Menurut Cat lagi, majlis yang berlangsung sebelah petang pada Aidilfitri keempat itu berlangsung agak meriah memandangkan kedua-duanya merupakan anak sulung dalam keluarga masing-masing.

"Majlis ini sengaja dibuat meriah kerana kami anak sulung dalam keluarga dan selain majlis pertunangan ia juga meraikan saudara mara dan teman rapat sempena hari raya," katanya ketika ditemui selepas majlis berakhir.

Menurutnya lagi, hasil perbincangan, kedua-dua belah pihak bersetuju mengikat tali pertunangan selama lapan bulan dan dijangka melangsungkan perkahwinan Jun tahun depan.

Bagaimanapun ketika ditanya jumlah wang hantaran, Cat pantas memberitahu tidak meletak sebarang harga kerana baginya itu adalah hadiah ikhlas daripada pihak bakal suami.

"Soal itu, saya serah semuanya kepada Shaharuddin tetapi apa yang difahamkan perkara itu akan diputuskan kelak pada pertemuan antara keluarga menjelang hari pernikahan nanti," jelasnya sambil mengutumkan senyuman.


--------------------------------------------------------------------

Cat yang ketika ini sedang menghabiskan pengambaran drama Bonda memberitahu, masih belum merancang mengenai persiapan hari pernikahan dan persandingannya kelak.

"Selepas Bonda, ada satu lagi penggambaran menanti iaitu untuk drama Bara, jadi buat masa sekarang ini jadual lakonan agak padat, lagipun tempoh pertunangan ini pun masih panjang.

"Sudah semestinya saya inginkan majlis yang meriah kerana ia satu hari yang cukup besar ertinya kepada kami berdua, keluarga, sahabat handai dan buat saya pula, ia juga hadiah kepada para peminat yang banyak memberi sokongan selama ini.

"Selepas bergelar isteri nanti saya masih berhasrat meneruskan karier dan tidak akan membataskan sebarang tawaran, apatah lagi Shaharuddin pun memberi keizinan dan faham cinta yang mendalam dalam bidang ini.

"Namun begitu, saya akan menjadualkan semula karier lakonan dengan memberi keutamaan kepada keluarga agar kehidupan sebagai suami isteri lebih teratur kerana telah ada tanggungjawab yang lebih besar," tuturnya mengakhiri bicara.

http://www.kosmo.com.my/06102008

Roshada semakin ceria walaupun belum pulih


WAJAH terbaru Roshada ketika dirakamkan di rumahnya di Alor Star pada 25 September lalu.
--------------------------------------------------------------------

ALOR STAR - "Dia masih belum pulih tetapi syukurlah penyakitnya tidak lagi membimbangkan seperti dulu.''

Demikian kata Razali Shafie, bapa kepada Roshada, 25, gadis manis yang diserang penyakit misteri sejak berusia 11 tahun sehingga menyebabkan beliau berkelakuan aneh seperti makan tulang ikan, cebisan tikar serta berkemampuan menumbuk pintu peti sejuk sehingga kemek tanpa tercedera.


KERATAN Kosmo! 13 Jun 2007.

--------------------------------------------------------------------

Razali berkata, anaknya itu masih menerima rawatan di Pusat Kesihatan Alor Star dengan memakan dua biji pil ubat setiap hari.

"Dia tidak mengamuk seperti dahulu tetapi memberontak jika diganggu tanpa sebab.

"Namun kami sekeluarga tetap bersyukur kerana anak saya ini lebih ceria berbanding dahulu,'' ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pegawai di sini baru-baru ini.

Kosmo! pada 13 Jun 2007 pernah melaporkan mengenai sikap misteri Roshada yang sering mengamuk sehingga merosakkan perabot selain gemar memakan tulang ikan serta cebisan tikar telah merunsingkan keluarganya.

http://www.kosmo.com.my/06102008

'Bukan berubat tradisional tapi upacara bersih dosa'


KERATAN Kosmo! 3 Oktober.

--------------------------------------------------------------------

GEORGE TOWN - "Sofiah yang sedar daripada pengsan terkejut dan menangis melihat kedua ibu bapanya terbaring berlumuran darah."

Demikian cerita Mohd. Ali Kader Mydin, (gambar), 48, mengenai kematian adiknya, Mohd. Ibrahim, 47, dan iparnya, Rosina S. M. Mydin Pillay, 41, dipercayai dipukul anak saudara sendiri di Flat Seri Sarawak, Jalan Imbi, Kuala Lumpur Rabu lalu.

Menurutnya, Sofiah kemudiannya menjerit meminta pertolongan sehingga mengejutkan jiran-jiran di situ yang kemudiannya menghubungi polis.

Mohd. Ali memberitahu, pasangan tersebut meninggalkan tiga orang anak iaitu Sofiah, 21, Mohd. Nizam, 20, dan Mohd Kamil, 14.

Dalam kejadian tersebut, pasangan suami isteri itu mati selepas dipercayai dipukul seorang dukun yang juga merupakan anak saudara mereka.

Cerita Mohd. Ali lagi, beliau difahamkan upacara pada pagi Aidilfitri itu bukan perubatan tradisional tetapi upacara bagi 'membersih dosa' berikutan kepercayaan kepada sebuah kumpulan ajaran sesat.

"Saya syak mereka mungkin dirasuk dan kejadian berlaku tanpa sedar.Tidak ada anak saudara atau anak sendiri sanggup memukul orang lain sehingga mati,'' katanya semasa ditemui semalam.

Menurutnya, semasa upacara itu berjalan dikatakan terdapat 11 ahli keluarga dan kesemua mereka terkena pukulan kecuali seorang anggota keluarga yang berusia lapan tahun.

Jelas Mohd. Ali, Sofiah turut dipukul dan dia cedera di muka serta belakang kepala.

http://www.kosmo.com.my/06102008

Harga minyak mungkin turun lagi

JOHOR BAHRU - Keputusan bagi menurunkan lagi harga minyak hanya boleh dibuat selepas mesyuarat Kabinet akhir bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Bercakap kepada pemberita semasa rumah terbuka Hari Raya yang dianjurkannya di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee di sini semalam, beliau berkata, harga minyak runcit di pasaran dunia pada masa ini menunjukkan penurunan yang menggalakkan.

"Dalam tempoh tiga hari ini harga minyak runcit di pasaran berada di bawah AS$100 setong dan jika ini berterusan sehingga akhir bulan ini kita boleh turunkan harga minyak," katanya.

Pada 24 September lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol dan diesel diturunkan sebanyak 10 sen.

Berikutan itu, harga minyak petrol jenis RON 97 turun kepada RM2.45 seliter, RON 92 kepada RM2.30 seliter, manakala diesel kepada RM2.40 seliter. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/06102008

Jangan lupakan saya - Pak Tam


Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my



HADIAH meletakkan bingkai gambar Pak Tam (gambar kecil) untuk melepaskan rindu di rumahnya di Kampung Paya Embun, Pekan Nenas, Johor.

--------------------------------------------------------------------

PONTIAN - "Maaf, Pak Tam tidak dapat hulurkan duit belanja raya tapi akan cuba hulurkan khabar gembira."

Demikian antara bait-bait ayat dalam surat Sheikh Faeizan Omar, 19, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Tam yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Taiwan kerana didapati bersalah membawa keluar heroin seberat 2.1 gram.

Malah, dalam suratnya itu, Pak Tam turut meminta keluarganya agar tidak melupakan dirinya terutama pada Aidilfitri ini ketika menikmati ketupat bersama ayam masak kicap kegemarannya.

Ibunya, Hadiah Gondit, 48, yang tidak dapat menahan kesedihan setiap kali menatap surat anaknya itu turut memberitahu, setiap kali menerima surat dari Taiwan, hatinya pasti berdebar-debar.

Katanya, walaupun Pak Tam menyatakan keadaan dirinya sihat, naluri keibuannya sentiasa mengingati anaknya itu sarat dengan perasaan rindu, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Syawal ini.

"Saya juga tak sanggup dengar lagu raya terutama lagu Aishah (Pulanglah) dan Sudirman (Dari Jauh Ku Pohon Maaf) kerana perasaan sebak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Embun, di sini baru-baru ini.

http://www.kosmo.com.my/06102008

Kahwin lari jadi adat 'perwira'

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my


JIKA di Malaysia mereka mungkin menerima tohmahan tetapi di Lombok, Nasrudin dan Noor Fadilah bagai diraikan.

--------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Rata-rata penduduk kepulauan Lombok, Indonesia tidak ada masalah dengan tindakan segelintir lelaki mereka melarikan anak gadis asing khususnya dari Malaysia untuk dikahwini.

Malah ada yang mempertahankannya dengan alasan ia tradisi yang menggambarkan 'keperwiraan' lelaki Lombok.

Tinjauan Kosmo! di wilayah itu baru-baru ini mendapati 'adat' tersebut begitu kuat dipegang dan diwarisi dari generasi ke generasi sejak ratusan tahun dahulu.

Seorang penduduknya yang hanya mahu dikenali sebagai Jumiati, 27, yang juga melarikan diri daripada keluarga di satu tempat di Indonesia tiga tahun lalu, yakin bahagia kerana lelaki pilihannya yang juga seorang warga Lombok.

"Saya berbangga memiliki lelaki seperti ini kerana mengikut adat kami, lelaki akan mempertahankan wanita yang dilarikannya dengan apa cara sekalipun," katanya.

Kes terbaru yang membabitkan seorang rakyat Malaysia, Noor Fadilah Ahmad, 18, dilarikan oleh pemuda Lombok, Nasrudin Dahrom, 24.



--------------------------------------------------------------------

Nasrudin juga pernah menyatakan dia berpegang teguh kepada adat tersebut dan bersedia mempertahankan Fadilah dengan apa cara sekalipun.
Bagi seorang lagi penduduk, Erni, 26, adat orang Sasak itu sejak zaman berzaman masih kental.

"Saya tidak setuju jika kerajaan Indonesia menghapuskan adat seperti ini," ujarnya.

Dewa Ayu Kramas Untari, 19, pula memberitahu, adat tersebut unik dan perlu dipertahankan.

"Mungkin orang lain tidak faham tetapi ia satu pengorbanan suci dan murni oleh orang-orang di sini.

"Saya sendiri sudah dua kali diajak lari tetapi saya masih belum bertemu dengan jejaka pilihan hati," jelasnya.

Bagaimanapun bagi Rohmini, 25, dia mempunyai pandangan berbeza kerana menganggap perbuatan kahwin lari bertentangan dengan hukum Islam dan undang-undang negara.

"Jika mengikut agama Islam, syarat sah untuk satu pasangan berkahwin harus mempunyai wali yang sah dan mengikut undang-undang negara pula, perbuatan itu boleh dianggap menculik," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/06102008

Surat kena 'buang' - Punca permohonan penderma hati tidak pernah berbalas

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my


AHMAD KHARIRI menunjukkan salinan surat aduan kepada Pos Malaysia berhubung dakwaan kes surat-suratnya yang tidak dihantar ke lebih 150 sekolah di Shah Alam semalam.

--------------------------------------------------------------------

SHAH ALAM - Beliau seorang penderma hati yang ingin menampung hidup dengan kerjaya sebagai penceramah sambilan.

Namun, laluan Ahmad Khariri Al-Hadi Md. Yusop masih berliku apabila surat-surat yang dihantar kepada lebih 150 sekolah sejak tiga tahun lalu untuk mendapatkan kebenaran berceramah, tidak pernah berbalas.

Disebabkan itu, beliau bukan sahaja sukar mendapatkan wang tambahan bagi menanggung kos perubatannya sehingga kini tetapi juga niat melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara juga tergendala.

Perasaan kecewa beliau yang baru mendapat kerja sebagai penyelia asrama itu akhirnya bertukar marah apabila beliau mendapat panggilan dari seorang wanita baru-baru ini yang akhirnya memberinya jawapan punca surat-suratnya tidak pernah berbalas.

"Wanita itu memaklumkan banyak surat yang dipos oleh saya ke alamat yang berasingan dijumpai terkumpul di premisnya di Seksyen 6, Shah Alam.

"Saya terkejut kerana semua surat itu tersimpan rapi dan patutlah tidak ada satu pun dibalas," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Ahmad Khariri, 31, pernah mendapat perhatian masyarakat di negara ini apabila menyumbang sebahagian hatinya kepada adik Atiqah Najwa Mohd. Shariff dan adik Mohd. Yohit Mohd. Farhan pada tiga tahun lalu.


KERATAN Kosmo! 18 April 2007.

--------------------------------------------------------------------

Kesan daripada kedua-dua pembedahan tersebut, beliau sehingga kini menanggung kesakitan pada bahagian tulang belakang dan lemah-lemah badan tidak dapat meneruskan rawatan susulan akibat kekangan kewangan.

Menceritakan semula kejadian itu, Ahmad Khariri memberitahu, beliau mula menghantar surat untuk memohon menjadi penceramah di merata-rata sekolah sejak 2005.

Pada asalnya beliau tidak menaruh prasangka buruk ekoran tiada reaksi positif daripada mana-mana sekolah.

"Tapi pelik juga kerana dalam tempoh tiga tahun, banyak surat yang saya pos ke pelbagai sekolah untuk dapat kebenaran berceramah, tapi satu pun tiada balasan.

"Rupa-rupanya ia tidak sampai, dan saya syak mereka telah membuang surat-surat itu kerana ia dijumpai di premis lain," katanya.

http://www.kosmo.com.my/06102008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...